Feb 17, 2010

GITAR TUA DI TEPI TANGGA

Dia terpacak di situ. Menanti tangan-tangan berseni halus datang menyentuh. Membelai semula batang tubuh yang kian kaku. Seperti dahulu. Kalau memang tiada tangan seni yang mahu menjamah, tak mengapalah jika tangan yang baru belajar memegang datang. Tak kisahlah walau tangan yang memegang itu tangan-tangan asing yang tidak pernah meraba badannya sebelum ini. Tak kisahlah kalau jari-jemari yang menekan nanti kecil-kecil dan kurus mahupun gemuk-gemuk dan pendek. Asal sahaja mereka mahu memanjai dia yang sudah lama tegak di sini. Dia sendiri sudah tidak pasti bagaimana rupa suara yang bakal keluar dari peti bunyinya sendiri. Dia sudah lupa nada yang bergema apabila not pada setiap tali yang melintanginya lehernya dipetik. Masih bertenagakah gema yang terhasil? Atau sudah lari nada-nadanya dan bunyinya tidak lagi selincah yang dulu? Masih tegangkah tali yang memegang kunci bernada hebat itu? Apa sudah kendur dimakan usia? Entah. Dia tidak tahu.

Dia masih terpacak di situ. Saat ini, dia mula mengimbau-imbau sejarah gemilang di pentas kenangan. Semasa jemari gagah lelaki muda yang tampan itu dengan lincahnya menari-nari memetik not dan nada. Menghasilkan pelbagai rentak yang digilai para gadis dan anak remaja. Terkinja-kinja mereka dalam lolongan luarbiasa yang diasak minda luar sedar. Minta sahajalah muzik yang bagaimana, kami akan berpadu dengan mantap dalam ikatan irama. Mahu yang keras? Sila tadahkan telinga. Ingin yang sentimental dan mendayu-dayu? Bersedialah untuk terawang-awang atau menyapu airmata. Hendak yang rancak lagi bertenaga? Penuhkan sahaja lantai dansa di depan sana. Pendek kata, semuanya ada. Asal sahaja ada yang mahu meminta. Cukup dengan gabungan tiga petikan chord berlainan nada, dia sudah boleh mengeluarkan bunyi merdu yang mencengkam nostalgia. C major, A minor, atau E minor? Padukan sahaja. Tentu muziknya nanti akan membuai, meliuk-lintuklah sesiapa yang mendengarnya. Penuhkan sahaja ruang dengan gema petikan chord F, G dan A. Tentu anak-anak muda akan melonjak-lonjak kegirangan di pentas dansa. Selajur rentak yang laju bertukar perlahan, mereka akan ikut terbuai. Menggoyang-goyang pinggul lebar masing-masing, menggelek-gelek anggota yang ada. Konon-kononnya itu gerak yang gemalai. Berpeluk sakan, berpegang tangan sepanjang irama. Dari intro sampailah ke outro.

Semua itu siapa yang menggalakkan? Dia! Dia yang seronok digeletek tangan sasa tuannya, dan semakin galak dia berbunyi nyaring menguasai suasana. Sekejap syahdu, sekejap keras. Sekejap rentak perlahan, sekejap rancak. Setiap saat, semakin jauh jiwa-jiwa muda yang kosong ini dibawa pergi ke alam khayal. Setiap detik, semakin banyak hati-hati yang luntur dari suara-suara keimanan dicambahkan. Setiap hari, saban malam hinggalah subuh menjelang. Ketika itu, dia hanya bergetar bangga. Pada waktu yang sama, dia asyik menanam riyak kerana menyumbangkan semua itu. Bodoh! Kenapa dia begitu tolol untuk tidak menyedari semua itu? Tega dia bertepuk riang dengan kejayaan yang tidak ke mana? Sanggup dia bersorak girang melihat terbenamnya sebuah generasi ke dasar jahil? Entah siapa yang menghakimi, dan menyetujui pendapat yang muziknya itu hebat. Muziknya itu hanya suara-suara yang sumbang! Kenapa dia bangga dengan irama yang tiada indahnya itu? Sesungguhnya dia terlupa akan sebuah fakta. Dia menjadi punca yang melalaikan bangsa! Astaghfirullah! “Ampunkan aku, wahai Allah!”, dia meratap dalam diamnya. Dia menangis dalam sendunya. Dalam kerinduan mahu beralun semula, ada malu datang menerpa. Menghembus angin keinsafan, menghela nafas resah yang memberat sukma. 

Iya, benar. Dia rindu mahu beraksi. Dia rindu mendengar lagu petikan tali-tali halus pada badannya sendiri. Dia mahu digeletek lagi, terus dikelek ke sana ke mari. Betul dia sudah tua. Benar dia sudah usang. Tetapi bukankah tua itu banyak ilmu dan pengalamannya? Dia mahu tua seperti itu. Mahu terus mengharung hari dengan berbakti. Kali ini dengan tekad yang lebih murni. Dia mahu bernada lagi. Nada syahdu yang memuji Ilahi. Irama baru yang mengajak manusia sedarkan diri dan mengingati Tuhan. Irama itu lebih indah. Lebih baik. Leka di dalamnya memberi pahala. Itulah muzik yang baik untuknya. Baik untuk anak-anak muda. Baik untuk jiwa kosong yang hampa. Baik untuk hati yang basah dengan girang. Baik untuk sesiapa jua. Maka, dia mahu membunyikan irama itu. Maka, dia mahu berbakti lagi. Tangga ini bukan tempatnya. Dia jauh lebih berharga untuk terus terpacak di sudut sepi ini. Dia enggan tua begini. Dia tidak mahu bersandar lagi.

05022010, PWTC, 1245 – 06022010, SG. BULOH, 0115

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape