Feb 28, 2010

Sinar Cinta-Nya

Aku duduk
Termenung
Mengarah pandang ke sudut yang sama
Mencari jawapan yang hilang
Memerhati sinar keruh
Di hujung garisan langit
Merenung pintu harapan
Mengharap bahagia berkunjung
Bunga riang mengelopak kudup
Mekar kembang melerai duka.


Kumat-kamit mulut
Mengucap zikir berlagu syahdu
Dalam esak tangis
Menangisi dosa
Khilaf pada tuhan
Menginsafi diri
Yang sering lupa pada hak-Nya
Yang sering menzalimi diri
Yang kerap menepikan ibu bapa
Yang selalu mengabaikan ukhuwwah fillah
Yang sentiasa pendek akal
Yang terkadang mendahulukan bicara
Melebihi lunas fikiran waras
Menggarit halus hati manusia
Tanpa sedar
Aku menempah saham
Melonjak tangga menuju neraka.


Ketukan deras bergema
Mengejutkan aku
Menjalar kembali rasa
Membuka semula gedung insani
Perlahan
Aku meniti titian usang persahabatan
Yang hampir roboh
Kerana sirnanya ikhlas
Berbaki cebisan ihsan yang rompong
Semoga ada yang sudi
Masih rela menghulur salam
Menyambut langkah yang kian goyah
Menampal jubah cinta yang koyak.


Dengan hembusan nafas yang payah
Dengusan yang kian semput
Aku mendaki pintu taubat
Meruntuhkan timbunan mazmumah
Yang telah lama menggunung
Menjalin sakinah
Dengan ranting-ranting halus persaudaraan
Menggapai cita-cita dan cinta
Di hujung kaki pelangi
Menuju Ilahi.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape