Feb 2, 2010

KISAH 54

Persoalan itu tinggal tanda tanya sekali lagi. Emak dan ayah tidak dapat membantu menyelesaikan kemelut perasaan yang melanda hati yang selalu dirundung melankoli ini. Ayah kata, dia tidak mahu campur urusan peribadiku kali ini, kerana jawapan untuk pertanyaan yang aku atau Aiman ajukan, dia tidak dapat memberi sesuatu yang pasti. Semuanya bergantung kepada keinginan dan ketulusan hati sewaktu aku membuat rumusan yang mengakhirkan kekusutan yang melanda. Biarlah, kalau ayah pun tak dapat menolong. Fikiran ini juga sudah letih bermonolog sendiri, membincangkan keresahan yang mendangkal tindakan.

Abang Akram terbiar sendiri. Sekali lagi. Aku membatukan diri. Kembali menghembus nafas bisu. Sebuah jawapan yang aku temui bagi merungkai pertanyaan yang tidak punya penyelesaian. Memahami, dia tidak lagi bertanya lanjut selepas itu. Dia tahu aku masih belum bersedia untuk sebuah kehidupan baru bersamanya, walaupun Aiman dan aku masih kekal di dalamnya sejak awal. Atas tindakan diam yang aku pilih, dia juga memilih untuk tenggelam dalam lautan kerja yang bertimbun-timbun di pejabatnya sebagai terapi kegalauan perasaaannya sendiri. Pandangannya yang selalu penuh harapan itu selalu aku pandang, tetapi tiada rasa yang menjengah. Tiada nafsu yang tersentuh. Kalau ada pun, hanya keharuan yang berani menjentik. Itu pun setelah dipaksa, difikir-fikir sekian lama.

Kuasa Tuhan akhirnya menjadi penentu. Aku menemui sebuah jawapan yang selama ini bersembunyi dalam terang. Noktah yang selama ini dipandang sebagai titik, rupanya bukan tanda pengakhiran. Aku yang silap meneka. Bukan aku, kami yang salah. Kejadian yang hampir meragut nyawa itu menyentak pagutan bimbang yang menutup naluri. Aku buru-buru saat itu. Sedikit sesal kerana tidak cuba menyeluk lebih dalam. Tidak sudah-sudah dengan prejudis pada permukaan yang bergelora padahal isi dalamnya penuh dengan riak tenang.

Semuanya bermula apabila kedamaian suasana petang itu digugah dengan sebuah insiden kemalangan. Ketika itu aku membawa Aiman berjalan-jalan di sebuah taman permainan yang jaraknya sejauh mata memandang dari rumah Ayah Kamal. Aku seronok melihat anak yang semakin membesar itu gembira. Aku mahu melihatnya girang semedang begitu. Berlari-lari ke sana ke mari. Mengejar bola barunya yang berwarna merah hati dan berhias dengan gambar adiwira bergelar Spiderman, hadiah dari Papa Akramnya pada malam sebelumnya. Entah bagaimana, aku sedikit terleka melihat keletahnya. Fikiran aku mula menerawang entah ke mana-mana. Apabila aku sedar kembali, tidak ternampak Aiman di hadapan mata. Aku mula panik. Menoleh ke sana, berkalih ke sini. Tertoleh-toleh aku ke depan dan ke belakang. Mengharapkan Aiman ada berdekatan. Sejurus aku memandang sedikit jauh ke belakang, ternampak Aiman sedang berlari menuju ke jalanraya. Mengejar bolanya yang sedang bergolek-golek manja ke ruang jalan. Dari kejauhan pula, ada sebuah kereta sedang memecut laju menghala ke arah jalan yang balak dilintasi anakku. Masha-Allah!

Tanpa membuang masa, aku berlari ke arah Aiman. Selaju yang boleh. Rasa takut yang menggetar memberi kekuatan yang tak terjangka. Sampai sahaja di atas jalan, dengan sekuat rasa aku mendakap tubuh kecil Aiman yang sedang pegun dungu kerana terkejut dan takut. Kejang kakinya di atas jalan. Sehabis tenaga aku salurkan untuk mengangkatnya ke sisi, kerana aku sudah terlalu lelah setelah berlari dengan amat laju tadi. Panik yang memekat dalam rasa sangat memakan kekuatan. Dalam kepayahan berusaha, aku terasa tubuhku melayang. Ditolak kuat oleh suatu kuasa yang gagah. Aiman yang sedia dipeluk erat, aku dakap lebih rapat. Telingaku menangkap suara jeritan Aiman diikuti bunyi kuat yang berdentum sebelum kepalaku terhentak dan aku pengsan kerananya.

Sesudah tersedar, aku melihat sekeliling. Bilik yang penuh warna putih menyambut pandangan yang berbalam. Kepalaku sakit. Kesan hentakan mungkin. Menyusun penglihatan, aku nampak emak dan ayah. Ayah Kamal tidak ketinggalan. Semuanya berdiri di sisi kiri katil. Masing-masing mengulum senyum bagi menutup pandangan risau. Di sisi kanan, Aiman setia menanti dengan linangan tangis yang berjejeran ke pipi.

“Saya di mana?”

“Nisa di hospital. Rasa macam mana? Sakit lagi kepala tu?”

“Hospital? Saya dilanggar ke? Aiman? Sakit tak jatuh tadi?”


Anak itu diam sahaja. Tetapi airmatanya tidak putus-putus meleleh dari tadi. Aku risau. Aku dakap tubuhnya. Pipinya aku kucup berkali-kali. Dia tetap tidak berhenti menangis. Aku semakin tidak menentu.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape