Feb 6, 2010

KISAH 55

“Emak, kenapa dengan Aiman ni? Kenapa dia menangis dari tadi?”

“Dia masih takut lagi tu. Jom Aiman, teman Tok Wan beli air.”

Selepas itu, emak berlalu membawa Aiman ke ruang lain. Memujuknya supaya kuat. Kasihan anak itu. Tentu dia trauma. Melihatkan emak sudah jauh membawa Aiman, ayah membuka mulut. Katanya, Akram sedang di wad Intensive Care Unit, ICU di hospital yang sama. Wad kecemasan. Dia dimasukkan beberapa jam yang lalu.

“Kenapa?”

“Dia yang selamatkan kamu berdua. Kesannya dia ditabrak kereta. Dia tolak kamu ke tepi jalan tadi. Kebetulan dia baru pulang dari pejabat. Ayah Kamal kamu bagitahu yang kamu bawa Aiman bermain-main di taman permainan. Langsung dia ke sana.”

Detik-detak yang keluar dari mulut ayah itu menjelaskan tangisan Aiman sejak tadi. Kepala yang sakit sejak terjaga tadi semakin berdenyut-denyut. Pandanganku gelap semula.

Tidak tahu berapa lama aku tidak sedar. Sebaik aku membuka mata semula, hanya Khiriah yang kelihatan. Itu pun sedang ketiduran di sisi katil. Sudah beransur malamkah? Aiman bagaimana? Abang Akram? Adikku itu mengangkat pandang. Tersedar kerana aku mula berkeluh-kesah.

“Kenapa akak? Sakit kepala ke?”

“Tak. Akak ok. Aiman mana? Sekarang pukul berapa?”

“Oh, Aiman dah pulang dengan emak dan ayah tadi. Sekarang mereka di rumah Ayah Kamal. Sekarang dah tengah malam. Akak tidurlah.”

“Aiman ok ke? Dia menangis lagi ke?”

“Jangan risaulah. Anak akak tu terkejut saja. Petang tadi lepas emak bawa dia jalan-jalan, dia dah boleh senyum sikit. Insya-Allah, keadaan dia akan semakin baik. Apa yang lebih penting buat masa ni, akak utamakan kesihatan diri.”

“Alhamdulillah, akak tak apa-apa. Terima kasih adik sudi teman akak malam ni.”

“Sama-sama. Emak yang minta saya temankan akak malam ni. Dia takut akak tersedar, lepas tu terkejut sebab tinggal seorang diri.”

“Em, boleh tak adik temankan akak pergi tengok keadaan Abang Akram sekejap?”

“Akak larat ke? Kalau akak kuat, saya ok je.”

Perlahan aku dan Khiriah berjengket-jengket keluar dari kamar pesakit, tidak mahu mengganggu pesakit lain yang sedang lena. Beberapa orang jururawat menegur dan meminta aku kembali semula ke katil. Mujur adik juga seorang doktor. Mereka melepaskan aku keluar sekejap setelah adik memberi jaminan. Setibanya di bahagian ICU, aku nampak Kak Aina. Tidak berfikir panjang, kami mendekati. Sangat lesu wajahnya. Kusam. Penuh bekas tangisan. Aku jadi belas melihatnya. Hasrat mahu berbicara aku tangguhkan kerana tujuan asal kami adalah untuk melawat Abang Akram. Adik juga melarang aku berlama-lama, khuatir aku masih belum cukup pulih. Berdiri di luar cermin, aku memanjangkan leher. Melihat sekujur tubuh Abang Akram yang sedang lemah terbaring, airmataku mula berlinang. Adik tanpa berlambat-lambat mengajak aku kembali semula ke katil. Tidak mahu aku dibebani tekanan yang boleh menambah kesakitan pada bahagian kepala yang terhentak tadi.

Sebaik berbaring di atas peraduan, adik mula membuka kisah. Katanya, luka Abang Akram agak parah. Kaki kanannya patah. Bahu kanannya juga. Bahunya terpaksa disimen. Parahnya! Aku harap dia kuat. Aku teresak di situ, membayangkan betapa dia seorang yang melindungi. Dia rela derita begitu untuk memastikan aku terus sihat. Berdosakah aku? Walaupun sudah berkeadaan seperti ini, perasaanku tetap sama. Hanya simpati yang menjengah, bukan rasa halus yang menerpa. Sedang aku mencerap maklumat, Khiriah menyambung lagi. Katanya Kak Aina sudah berada di situ sejak menerima berita kemalangan siang tadi. Tidak langsung dia berhenti menghambur tangis. Dia setia menunggu di luar kamar itu, memandang Abang Akram dari kejauhan. Dia hanya keluar apabila masuk waktu solat sahaja. Ah, aku bertambah belas terhadapnya. Tinggi betul kasihnya untuk Abang Akram. Mengertilah aku punca kebencian wanita itu. Kasih yang menggunung dalam atmanya ditidakkan lelaki itu. Menyebabkan dia hilang punca secara total buat sekejap saat. Ah, aku tidak boleh lagi pentingkan diri. Tiba-tiba aku disimbah cahaya walau hari sedang gelap. Aku sudah ada jawapan! Alhamdulillah. Akhirnya Kau tunjukkan jalan, Ya Allah.

Esok hari, emak datang dengan ayah. Katanya, Abang Akram sudah mula sedar. Aku juga sudah diberi kebenaran untuk pulang pada tengahari nanti. Sebelum balik, aku mengikut kedua emak dan ayah melawat Abang Akram. Sepanjang tempoh rawatannya yang panjang itu, aku sekadar bertepi-tepi melihat. Selebihnya, aku menggalakkan Kak Aina menjadi penawar yang menyembuhkan lukanya. Semoga sahaja dua hati ini bercantum semula. Laluan Abang Akram yang pernah terlencong itu harus diarahkan ke jalan yang lurus asalnya. Dia tidak mencintai aku. Aku cuba menerapkan keyakinan itu kepadanya. Dia hanya mengasihi aku kerana sebuah amanah. Matanya dibutakan cinta Kak Aina yang dalam selama ini. Sebab itu, dia terkeliru dan mindanya kemudian mengolahkan rasa itu sebagai kasih buat seorang adik sebagai jalan keluar tanpa menyedari yang dia hanya menambah penderitaan kepada dua hati yang saling menyayangi.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape