Feb 13, 2010

KISAH 56

Perlahan-lahan, pelupuk mata aku buka. Silau. Aku katup kelopak mata semula. Berulang kali. Membiasakan diri dengan belauan cahaya yang memasuki mata. Tangan kanan aku gerakkan. Hanya jari yang terkalih. Selebihnya, aku tidak punya upaya yang mencukupi. Lemah tubuh ini. Tak bertenaga. Dalam angan, aku dengar suara. Emak. Ya, aku sudah punya emak sekarang. Emak dan ayah yang dipinjamkan oleh Nisa kepadaku. Dia tanpa bantahan dan kemarahan, malah dengan senang hati meminta emak dan ayahnya menjadi keluarga angkatku. Anugerah yang sangat disyukuri. Hadiah untuk sebuah keinsafan. Pandangan kuhalakan kepada emak. Dia masih terjerit-jerit memanggil ayah dan Abang Akram. Berselang-seli dengan panggilannya menyeru jururawat dan doktor supaya hadir segera. Nadanya kedengaran sebak. Tidak lama kemudian, 2 orang wanita muncul. Seorang dalam persalinan serba hijau dan seorang lagi dilapisi baju labuh berwarna putih. Haruslah itu doktor dan jururawatnya.

“Apa khabar Puan Aina? Saya Doktor Syifa. Macam mana Puan sekarang? Rasa lebih baik?”

Aku hanya tersenyum tawar dalam anggukan lemah. Dia kemudian senyum, mengambil bacaan tekanan darah dan mencatatkan sesuatu di fail kesihatan yang tercatat nama Nur Ainina Abdullah sebelum meminta pembantunya ke kamar bayi. Selepas itu, wanita muda berbaju hijau tadi datang semula dengan Abang Akram. Suamiku sedang mengendong seorang bayi yang sihat. Bayi lelaki. Air mata tumpah sebaik sahaja anak itu diletakkan di pangku. Ubun-ubunnya aku cium. Wangi. Wajahnya bersih, suci. Kulitnya cerah, seperti aku dan Abang Akram. Dia menangis apabila sahaja bibirku mencecah dahinya. Kuat. Lapar mungkin. Segera aku susukan anak itu, buat kali pertama. Agak gelojoh dia menghisap. Perlahan aku usap belakangnya, agar dia bertenang. Setelah kenyang, dia lena dalam pelukan. Sangat damai melihatnya. Bayi ini dinamakan Kamal Asyraf, seperti yang telah disepakati kami Mama dan Papanya ini.

Emak memberitahu yang aku tidak sedarkan diri hampir enam jam selepas pembedahan. Pembedahan yang terpaksa dilakukan kerana kedudukan Asyraf yang songsang dalam kandungan. Doktor terpaksa mengambil pilihan itu bagi mengurangkan risiko yang membahayakan nyawa kami berdua. Jika pun aku bersalin secara normal, ada kemungkinan kami berdua tidak terselamat. Pada awalnya, aku memaklumkan pada Dr. Syifa supaya selamatkan sahaja anak dalam kandunganku jika ada sebarang komplikasi semasa pembedahan nanti tetapi Abang Akram memilih untuk menyelamatkan aku. Sempat juga kami bertelagah pendapat seketika dalam suasana tegang itu, kerana aku mahu melahirkan zuriat dari benihnya. Sedang dia menyatakan dia tidak sanggup kehilangan aku. Dia tidak mahu keseorangan menjaga anak itu tanpa aku di sisi. Memanglah kami tidak mahu kehilangan sesiapa pun. Kami mahukan anak ini. Tetapi, jika terpaksa memilih bagaimana? Beratnya dugaan ini. Kalaulah aku tidak tergelincir dari kerusi pagi tadi. Tentunya aku tidak akan harus menghadapi pilihan berat seperti ini.

Alhamdulillah, hayat kami berdua masih panjang. Syukur tak terhingga. Aku dan Asyraf selamat. Semangatnya kental. Dia berjuang untuk hidup. Dr. Syifa memaklumkan yang bayiku sudah hampir lemas di dalam kandungan. Jika pembedahan terlambat dilakukan, berkemungkinan aku dan Abang Akram akan menghadiri sebuah pengkebumian pada hari ini. Terima kasih Tuhan. Berita yang sangat melegakan. Namun, ujian tidak berhenti di situ. Kami terpaksa menahan perit menerima sebuah berita buruk. Saluran peranakanku telah diikat dan dipotong disebabkan risiko yang terlalu tinggi kepada kesihatan aku dan bayi jika aku mengandung lagi selepas ini. Dalam kepayahan, kami belajar menerima sebuah ketentuan. Cuba meredhakan diri dengan hakikat pahit itu. Kenyataan pedih yang membawa makna bahawasanya aku tidak akan berpeluang melahirkan seorang anak perempuan. Aku tidak akan dapat merasai pengalaman menyisir rambut panjang puteriku. Aku tidak boleh melihat anak perempuanku bermain-main dengan anak patungnya yang comel-comel di ruang tamu rumah kami. Aku tidak boleh melihat dan memujuk anak perempuanku yang menangis pada hari perkahwinannnya. Juga aku tidak berpeluang melihat anak daraku menangis dalam pelukan Papanya sewaktu dia bersedih atau kecewa. Aku tidak boleh melihat suamiku mewalikan anaknya pada hari pernikahannya nanti. Sabarlah wahai hati.

 “Jika ada rezeki, kita usahakan anak angkat ya, sayang. Anak perempuan. Sekarang, kita jaga dan besarkan Asyraf dulu. Itu lebih utama buat masa ni.”

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape