Feb 13, 2010

KISAH 57 (AKHIR)

Mengetahui yang aku perlukan bimbingan dan sokongan, emak dan ayah menasihatkan aku menerima Abang Akram sebagai suami. Abang Akram yang selalu berharap padaku. Abang Akram yang sering menyokong aku dalam semua segi. Abang Akram yang tidak pernah berhenti menyayangiku dan memberi kasih sayang seorang ayah kepada Aiman. Selepas 7 tahun, aku dinasihati sekali lagi supaya menjadi seorang isteri. Kata emak dan ayah, aku memerlukan Abang Akram. Aiman juga. Dia tidak pernah mahu berenggang dari Papanya itu. Sebab sejak kecil lagi, Abang Akramlah yang menjaga segalanya tentang dia. Mana tidaknya, ibu Aiman ketika itu sedang hanyut dalam lautan kenangan. Pemergian suami secara mengejut selepas lima bulan aku melahirkan Aiman, menyebabkan aku hilang pertimbangan dan sesat dalam hutan duka yang cukup tebal. Membuatkan aku lemas dalam kolam luka berjaring kecewa itu. Dalam tempoh itu, macam-macam usaha yang emak dan ayah buat untuk memulihkan tetapi aku tetap lena dalam pelangi angan-angan yang aku bina sendiri. Sehinggalah suatu hari aku tersedar, teresak-esak di bahu emak. Aiman sudah pun berusia dua tahun. Anak itu aku dakap kuat-kuat, dalam penyesalan kerana melepaskan janjiku pada arwah untuk menjaganya sebaik mungkin. Juga azamku pada diri sendiri, yang aku akan menjadi seorang ibu yang baik. Sesalnya aku melebih-lebihkan perasaan.

Iya, aku pernah mengahwini seorang lelaki bernama Shahizul Anuar Abdullah. Lelaki yang sangat aku sayangi. Cinta padanya lahir selepas kami menjejaki gerbang perkahwinan, kerana aku tidak pernah tahu bahawa dia yang menghantar wakil peminangan. Aku kagum pada semangat dan ketabahannya untuk menunggu aku menerimanya walau setelah hasratnya ditolak berkali-kali.  Setiap kali dia datang menagih cinta, semuanya aku tolak mentah-mentah. Membuatkan dia mengambil keputusan menghantar rombongan di luar pengetahuan. Ayah dan emak yang tidak tahu duduk perkara pula menerima sahaja dengan senang hati. Meninggalkan aku dengan hanya satu pilihan yakni setuju. Hasil keberaniannya yang langsung tak terjangka itu, kami akhirnya melayari sebuah kebahagiaan yang mengasyikkan. Aku dibawa ke dalam sebuah kehidupan yang meniup kembali keyakinan diri setelah sekian lama dihalang oleh kisah silam yang menutup pancaindera dan membungkus kemas kepercayaan diri.

Bahagia yang menular dalam diri membuatkan aku langsung tidak menyedari pandangan kasih Abang Akram. Tidak langsung menyangka perhatian dan prihatinnya padaku selama ini adalah kerana rasa cinta yang mekar dalam jiwanya. Sungguh aku sangkakan semua hanya kebaikan hati seorang majikan, juga keluhuran budi seorang teman. Segala rahsia perasaannya disimpan kemas seorang diri. Sehinggalah aku kembali sendiri, barulah dia tampil meluahkan. Itu pun selepas empat tahun aku bergelar ibu tunggal. Aku terkejut dengan kenyataannya. Sangat. Selama tempoh perkenalan kami, aku senang menganggapnya sebagai seorang abang. Apatah lagi dia sahabat rapat arwah suamiku. Tabahnya dia memendam sendiri. Namun, aku terpaksa mengambil masa dua tahun sebelum menerimanya menjadi penghuni hati ini yang telah suram disimbah keraguan. Rasa mahu dan enggan berselang-seli menghuni kalbu, kerana aku masih diburu ketakutan. Takut untuk menerima sebuah kepergian lagi, takut untuk mencintai lagi, takut tidak mampu menyayangi. Juga tidak berani mempertaruhkan sebuah kepercayaan lagi.

Akhirnya, aku berjaya menetapkan hati. Hati ini yang tetap tegar menolak walau lelaki itu pernah cuba berkorban nyawa. Kasih yang terpahat dalam hati masih untuk arwah suami tercinta. Bukan mahu melukakan hati anak sendiri, tetapi aku enggan terluka lagi. Aiman adalah anak yang bijaksana. Dia pasti akan menerima dan memahami maksud keputusan yang telah aku ambil. Dia juga tidak punya apa-apa untuk mengalami kerugian. Bahkan, dia memiliki pula seorang Mama baru untuk meminta sayang dan manja. Akram? Lelaki itu semakin dekat dalam hidupnya. Tidak pernah ke mana-mana sejak dahulu. Ya, dia masih Papa Aiman. Tiada sesiapa pun yang boleh merampas hak itu daripadanya walau aku tahu dia sekarang bahagia dengan kehadiran Kamal Asyraf dalam hidupnya. Anak kecil yang melengkapkan pasangan dia dan Kak Aina.

Aku? Aku lebih gembira kini. Meneruskan cabaran kehidupan menjadi seorang ibu tunggal, membesarkan Aiman berbiaskan sokongan padu dari keluarga bekas mertuaku. Mereka yang masih tetap menganggap aku salah seorang ahlinya walau kenyataannya kini aku hanyalah ibu kepada cucu angkat Tuan Kamal. Bersandarkan fakta yang tiada bukti saintifik yang kukuh itu, aku berkeras menggalas semua tanggungjawab bersendirian. Tidak lupa, sudah sampai masanya aku mengorak langkah menjadi seorang usahawan tani. Tanah abah di hujung kampung itu perlu dibela untuk sebuah kelangsungan. Aku sudah boleh mengakui yang aku telah kembali sepenuhnya. Aku telah bersedia fizikal dan mental untuk mengorak langkah terus ke hadapan, tanpa perlu menoleh lagi. Kalau pun aku terhenti, semuanya untuk yang terbaik. Sebab aku perlu mengumpul kekuatan sambil memperbaiki khilaf semalam, dalam usaha mencipta hari ini. Pastinya, aku tidak akan terus keseorangan. Setiap langkahku diiringi restu kedua orang tua, bekas bapa mertua, sokongan keluarga dan teman-teman rapat. Aku pasti, suatu hari nanti aku akan kembali menganyam bahagia. Nun di suatu daerah, seorang perwira yang gagah sedang mempersiap dan memperkasa dirinya untuk menjadi pembimbingku menuju syurga. Apabila saat itu tiba, aku tahu aku sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri, untuk kali yang kedua.  Gerimis yang menitis di hati selama ini sudah berhenti. Sekarang, aku sudah boleh nampak pelangi di mana-mana. Iya, aku bahagia. Rasa yang hadir setelah berhadapan pelbagai lapisan getir yang hampir meragut kesedaran. Aku sudah boleh tersenyum memandang bulan. Aku yakin, bulan juga sedang tersenyum memandangku.

3 comments:

Mardihah said...

saja membaca bab akhir, sudah terpikat? ini tak masuk penulisan2u kah dik?

Mardihah said...

*sudah terpikat. :)

rahmahmokhtaruddin said...

E-novel inilah yang saya kata dulu... Akhirnya saya publish sendiri di blog.

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape