Mar 8, 2010

BAJU KUNING & GITAR BIRU: PROLOG

"Oi, Mat Gelabah! Kau nak ke mana? Marilah rehat dan minum bersama kami di sini!”

“Tak mengapalah kawan-kawan. Aku ada urusan.”

Hari ini, dia sekali lagi gagal membentangkan hasil projek individunya dengan baik di hadapan kelas. Semua soalan yang diajukan pensyarah, dia tidak dapat menjawabnya sedangkan dia tahu semuanya. Teruk! Semua gara-gara dia gemuruh. Habis semua idea yang ada dalam kepala terbang.

“Hakimi, kenapa kamu gunakan kaedah penyejatan? Apa kelebihannya berbanding kaedah penyepuhlindapan?”

Sebab, kaedah penyejatan itu kosnya lebih rendah dengan masa tindakbalas yang lebih pendek untuk sampel saya ini. Tambahan pula, kalau gunakan kaedah penyepuhlindapan, ada kemungkinan sampel saya akan rosak.

Jawapan itu telah lama berlegar-legar dalam kepalanya. Sudah dijangka soalan itu akan ditanya. Sayang, kerana gugup dia hanya menjawab yang dia tidak pernah terfikirkan kaedah penyepuhlindapan. Itu pun, semua rakan kelas puas bergelak sakan kerana dia gagap tanpa sengaja.

“Aaa, aaa, aaa, kaedah penyepuhlindapan. Kaedah itu tak pernah terlintas dalam kepala Prof. Saya hanya fikirkan aaa, aaa, aaa, ...”

“Apa yang kamu fikir?”

“Saya fikir kaedah penyejatan, Dr.! Eh, Prof!”

Disebabkan bicaranya yang kalut itu, dia tidak mahu duduk bersama rakan-rakannya itu. Hakikatnya, dia memang sedang lapar dan sangat dahaga. Tetapi, fikirannya yang sedang kalut tidak mahu menerima kutukan saat ini. Dia tahu kalau dia menyertai kumpulan itu, dia akan menjadi bahan ketawa. Dialognya bersama Prof. tadi akan diulang berkali-kali. Ada baiknya dia pulang sahaja ke bilik. Makan sahaja di kafe hostel yang lebih murah. Sekurang-kurangnya, peluang bertemu rakan sekuliah kurang. Paling tidak, dia hanya akan bersua dengan Iskandar, sahabat karibnya.

“Kimi! Oi, Kimi!”

“Eh, Is. Maaf, aku tak perasan kau ada di belakang tadi.”

“Yang kau laju-laju mahu ke mana? Tak mahu makan dahulu? Pagi tadi, kau bukannya sempat ambil sarapan.”

“Aku mahu pulang ke Hussein. Makan tengahari di sana sahaja. Malaslah makan di sini. Kau pun tahu kenapa, bukan?”

“Iya, aku faham. Kalau begitu, aku ikut kau lah. Kita makan sama-sama.”

“Jom.”

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape