Mar 15, 2010

Aku Mahu

Mahu sahaja aku tampar pipi gebunya
biar dia terjaga terus
tidak mengulang sikap yang sama
tidak membuat salah yang serupa
supaya aku boleh percaya
dia tidak berniat menghina.

Mahu sahaja aku tolak tubuhnya
biar dia terjelepok di sana
terngadah dengan sebuah kesedaran
bahawa dia telah melukakan
berkali-kali menikam dada
membuat aku terbungkam kecewa
sesak mencari akal yang hilang.

Mahu sahaja aku sepak kakinya
agar dia boleh meneka
ada yang kurang perlu dibela
kerana aku sudah lesu
darah yang merah masih mengalir
dari luka berulang yang sudah bernanah.

Mahu sahaja aku lemparkan semua
tetapi aku bukan dia
aku tega terus terluka
kalau dia bahagia dengannya
biarlah aku yang menderita
mencipta tabah di sisi dia
demi makna sebuah cinta
semoga bernilai di sisi Dia.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape