May 12, 2010

HB 9607

 
Proton Saga bercat merah putih itu meluncur laju keluar dari UKM. Menuju ke ruangnya menunggu penumpang di stesen Komuter. Jarak yang memakan masa 10 hingga 15 minit itu terasa lama apabila memandu berseorangan pada awal-awal pagi seperti ini. Murah rezekinya hari ini. Pagi ini sahaja sudah lima kali dia berulang-alik dari stesen komuter ke universiti tersohor itu. Rata-rata destinasinya adalah Fakulti Pendidikan, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Ekonomi. Ramai juga pelajar yang tinggal di luar, atau mungkin sahaja mereka baru pulang dari berhujung minggu di kampung masing-masing.

Sudah dua tahun dia membawa kenderaan berplat H di sekitar Bangi ini. Sejarah hidupnya payah. Sejak memegang gelaran janda, kesenangan seperti menjauh dari hidupnya. Dugaan hidup semakin berat sejak dia kematian suami tujuh tahun lalu. Bertitik-tolak dari peristiwa menyedihkan itu, ibu mertuanya terpaksa meminta dia keluar daripada keluarga mereka kerana tidak tahan mendengar taburan fitnah jiran tetangga. Kononnya dia menjalin hubungan dengan abang arwah suaminya yang sudah beristeri. Maka, tercampaklah dia ke lubang derita. Ibu mertuanya lebih mementingkan pendapat dan mendengar cerita dari orang-orang luar yang tidak senang melihat kebahagiaan mereka. Dia menurut sementelah ikatan dengan keluarga itu cuba diputuskan. Dia tiada anak untuk terus mengikat dirinya kepada keluarga itu. Kalau kepergiannya membahagiakan mereka, dia akan berbahagia dengannya.

“Maisarah, kamu bukan lagi sebahagian daripada kami. Keluarlah kamu dari kehidupan kami. Emak mohon, janganlah kamu kembali lagi. Tidak perlulah datang menjenguk-jenguk kami di sini. Tolonglah emak. Emak tidak sanggup andainya ada perpecahan dalam keluarga ini lagi.”

Selepas itu, bertatih-tatih dia belajar berdiri semula. Payah. Bertongkat dia cuba berjalan. Mujur ada teman yang sudi membantu anak yatim yang sebatang kara ini. Sejak itu, dia melompat dari kilang ke kilang di sekitar Lembah Klang dan Selangor sebagai operator bagi mencari rezeki untuk menyara hidup. Entah kenapa, hayatnya di sebuah kilang tidak pernah bertahan lama. Ada sahaja peristiwa yang menggugat kepercayaan majikan untuk terus mengekalkan dirinya berbaris panjang di bahagian operasi kilang. Selalu sahaja dia dikaitkan dengan punca pergaduhan teman-teman. Parasnya lawa sangatkah sampai dibenci begini? Rasanya biasa sahaja. Kadang-kadang, dia dapat bertahan untuk tiga bulan sahaja. Tidak sempat melepasi benteng percubaan untuk menjadi pekerja mahir pun. Apa lagi mahu belajar selok-belok kilang? Kirim salam sahajalah kalau ada hasrat begitu.

Pernah suatu ketika, seorang teman sekerja dengan sengaja tidak memasang satu komponen elektronik yang sepatutnya dipasang di atas papan litar. Akibatnya, habis semua pekerja di dalam sektor itu terpaksa bekerja lebih masa bagi membetulkan semula litar. Itu pun, setelah penyelia berpuas hati menjerit kuat-kuat kepadanya, menengkingnya dengan suara sekuat alam di hadapan semua pekerja lain. Alasannya mudah. Teman itu menabur cerita yang konon-kononya dia; Maisarah, cuai tidak memasang komponen kecil itu. Dua tiga orang teman di barisan yang sama turut menyokong kenyataan palsunya, seperti perkara itu sudah dirancang dari awal. Dia yang sememangnya jarang bersuara membantah tidak tahu untuk bertindak, hanya mematuk-matuk lantai dengan anggukan sewaktu dihujani amarah penyelia kepala angin itu. Sangat menyakitkan hati melihat rakan-rakan lain tersenyum sinis di tepi. Tetapi dia sabarkan diri kerana dia perlukan kerja ini. Semakin hari, semakin galak mereka menyakitkan hatinya. Sampailah suatu masa, cerita tentang dia menggoda seorang jurutera di kilang itu tersebar luas. Kebetulan jurutera itu sedang berkawan rapat dengan penyelianya yang kepala angin itu. Habis! Sekali lagi dia menjadi mangsa amukan tanpa tahu hujung-pangkal cerita. Teruknya mereka! Dimusuhi penyelia! Itu semestinya perkara terakhir yang perlu berlaku sebelum melalui hari yang kosong daripada ketenangan. Tidak perlu menunggu lama, dia terpaksa kembali menganggur.

Setelah beberapa lama dia bertahan mendepani cerita yang hampir sama setiap kali bertukar kerja, dia jadi bosan. Dia jadi penat. Empangan airmatanya yang kukuh pecah juga. Sekali lagi bahu teman rapatnya, Azizah menjadi tempat dia menghambur tangis. Melepaskan tekanan yang menghentam perasaan wanitanya. Perasaannya yang sudah letih melempar senyuman pemanis wajah tatkala hati penuh muram. Dia yang sudah penat menjaga banyak hati teman-teman yang tidak pernah berhenti menyeksa perasaannya. Dia yang sudah letih berfikir kaedah terbaik mengelakkan provokasi dan tekanan negatif menghurung hari-harinya yang bisu. Tetapi, apa yang dia dapat? Semuanya jalan mati. Tiada satu pun yang menghalakan harapannya. Sebab itu dia menangis. Sebab itu dia bersedih. Sebab itu dia berduka.

Mengapa mereka memilih kebencian dan hasad? Banyak lagi ruang lain yang berasaskan kebaikan boleh digunakan. Aku bukan sekeji yang disangka. Aku boleh menjadi teman baik, dan sahabat karib mereka. Asal sahaja mereka berjiwa besar menerima kekurangan diri ini. Bukankah cinta itu penawar segalanya? Tetapi kenapa mereka menutup rasa itu dengan fikiran negatif yang menghitamkan jiwa yang sedia sempit? Ah, aku tidak mengerti.

Jelak. Aku perlukan udara baru. Tempat yang lebih segar untuk perubahan. Tapi ke mana?

“Mai, aku ada cadangan. Itu pun kalau kau setuju.”

“Cadangan apa Zah? Kalau baik, Insya-Allah aku pertimbangkan. Lebih baik daripada tiada.”

“Begini. Ada seorang teman aku di Bangi mahu sewakan teksinya. Proton Saga. Keluaran 1990. Kalau kau berminat, boleh aku hubungi dia untuk berunding.”

“Bawa teksi? Di Bangi? Peluang yang menarik untuk aku. Sudah tiga bulan aku tiada pekerjaan. Tetapi kalau aku ke Bangi, kau macam mana?”

“Jangan risau, aku akan bersama kau ke sana. Sebetulnya aku baru menerima tawaran kerja di sebuah institusi penyelidikan di sana. Jadi, kau tidak akan keseorangan.”

“Terima kasih Zah. Kau sahabat yang baik.”

Cik pemandu teksi. Gelaran popular itu dia sandang dengan perasaan bangga. Mengapa gelaran itu popular? Iya, gelaran itu sangat dikenali. Semua orang tahu tentang pemandu teksi. Sebuah perkhidmatan. Kenderaan awam yang penting selain bas dan tren. Sebab itu ia glamor. Boleh dikatakan lebih terkenal daripada artis, kerana ada sesetengah artis yang tidak dikenali semua orang. Ada juga nama yang tidak sempat diketahui semua orang. Tetapi pemandu teksi, semua orang tahu. Semua orang kenal. Inilah pekerjaannya sejak itu. Satu-satunya pekerjaan yang disandang lebih daripada tempoh biasa. Alhamdulillah, rezekinya di sini walau ada kesukaran pada awalnya.

Masih segar dalam kepala. Dia masih ingat betapa dia terkejut dengan perlakuan segelintir penumpang yang cuba-cuba berlaku miang kepadanya. Dugaan yang memberatkan langkahnya untuk berjuang. Namun, mengenangkan jumlah yang telah dilaburkan untuk menyewa teksi ini dia gagahkan juga. Sekali lagi Azizah menjadi pendengar yang baik. Ideanya juga bernas.

“Apa kata kau berbincang dengan rakan-rakan lain? Mana tahu mereka boleh bertoleransi dengan kau.”

“Berbincang? Maksud kau, Zah?”

“Begini. Cuba kau minta jasa baik teman-teman kau dari persatuan tu, kalau-kalau mereka boleh beri kelonggaran kau bawa penumpang wanita sahaja.”

“Baguslah cadangan kau. Terima kasih, Zah. Kau memang sahabat yang sangat baik.”

Cadangan daripada Azizah dia kemukakan kepada Persatuan Pemandu Teksi di Bangi. Mereka tidak bermasalah untuk memberikannya kelebihan itu. Tetapi kalau ada keterpaksaan seperti kekurangan teksi, dia perlu juga membawa penumpang lelaki. Maisarah bersetuju dengan ruang keselamatan yang disediakan untuknya itu. Dia tahu, dia diterima di sini. 

Nah, siapa kata dunia ini penuh dengan kekejaman? Ada ramai lagi insan yang penyayang.

Dia bangga dia seorang pemandu teksi. Dia sayang dengan pekerjaan ini. Biarlah dunia memandang enteng seorang wanita yang kerjanya membawa teksi seperti dirinya. Dia tahu kedudukannya sendiri. Dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Dia tahu sumbangannya untuk masyarakat. Dia memudahkan perjalanan ramai penumpang. Dia membantu ramai pelajar menuju ke tempat belajar mereka. Dia membantu ramai golongan terpelajar yang bakal memimpin negara menuju ke tempat mereka menuntut ilmu. Bukankah itu umpama memberi makan seorang musafir yang dahaga yang besar kedudukannya di sisi Tuhan? Sebab itu dia berbangga. Sebab itu dia sayangkan kerja ini.

“Kak, ke Institut Fuel Sel, UKM ya?”

Sapaan penumpang baru itu disambut dengan senyuman. Dia akan terus bertugas di sini.

1 comment:

Anonymous said...

nice story.. Kisah kehidupan org2 yg ad d sekeliling kt yg jrg kt pelajari.. Kisah nie m'bri pelajaran pd sy krn dlm hdp nie tdk ad yg mudah.. Belenggu mslh tdk pnh penat dlm dtg menghalangi tp berkat kesabaran akhir ny bahgia tu dtg jua... <3 u kak.. Secebis kisah yg menyentuh naluri sy sebagai pempuan..