Jun 10, 2010

TUK BAL

Datuk Salleh duduk tegak di kerusi. Fokus pandangan disasar jauh ke hujung pemandangan. Menikmati suasana pagi sambil menghirup kopi panas yang disediakan Puan Kamaliah, setiausaha peribadinya. Keindahan panorama tampang berbeza dari tingkat teratas bangunan 48 tingkat ini. Segar! Dalam keasyikan menjana semangat positif pada reseptor emosi, dia akhirnya tersengih sendiri. Kenangan lama terpamit, dan dia tersungging lagi.

“Salleh! Oi, Salleh!”

Salleh segera tersentak apabila tangannya disiku teman yang duduk di sebelahnya. Menyebabkan bayangan di dalam awan fikirannya hilang. Mengeluh dia kerana tidak berkesempatan ‘menerima’ ijazah daripada Tuanku Canselor sekejap tadi sebagai hadiah buat penerima Anugerah Diraja. Kecewa! Berkecai terus gambaran indah itu, seperti kaca yang tergelincir dari atas almari lalu bersepai di lantai. Dengan nafas yang mendesah, dia menoleh ke arah temannya.

“Kenapa, Man?”

“Itu, Puan Sofea. Dia panggil kau sejak tadi, tahu?”

“Ha? Kenapa kau tak cakap awal-awal?”

“Mohd Salleh! Saya tanya kamu sekali lagi, boleh atau tidak kamu jawab soalan saya ini?”

“Er, maaf Puan. Saya kurang dengar soalan Puan tadi. Boleh Puan ulang semula soalan itu?”

“Ulang semula? Rasanya sudah tiga kali saya ulang soalan itu, dan awak minta saya sebut lagi untuk kali keempat? Kasihan rakan-rakan kamu yang lain nanti. Suara saya bukannya sedap. Semua orang tahu suara saya terkenal nyaring. Kamu tidak kasihankan kawan-kawan kamu ke, sampai minta saya lontarkan ayat yang sama lagi?”

Aduh! Terkena dia. Pedas sungguh bicara pensyarah wanita yang mempunyai suara bernada tinggi itu. Rasa seperti mahu cair tahi telinga mendengar kata-katanya itu. Panas! Sangat makan dalam! Mahu tidak mahu, dia perlu bertindak juga. Biarlah epidermis wajahnya tebal pagi ini, asalkan dia tidak perlu lebih bertebal muka menghadap wanita itu pada akhir semester nanti. Lantaklah kalau kapilari darahnya mengembang kali ini, daripada nanti jantungnya terpaksa mengepam lebih banyak darah apabila dia terpaksa mengejar langkah wanita itu merayu markah di hujung penggal nanti.

“Saya minta maaf sangat-sangat Puan. Rakan-rakan, saya mohon maaf juga. Nampaknya, saya terpaksa mohon jasa baik Puan untuk ulang soalan itu juga. Anggapkan sahaja saya sebagai si bebal yang perlu mendengar sesuatu perkara itu sehingga empat kali untuk memahaminya. Saya mohon, Puan. Berikan kelonggaran untuk kali ini.”

“Baiklah, kali ini sahaja. Peringatan untuk semua pelajar! Jangan berangan di dalam kelas saya! Kalau rasa tidak berminat untuk mengikuti kelas saya, sila buat keputusan untuk tidak hadir. Itu lebih baik daripada kamu datang tetapi tidak belajar apa-apa! Faham! Mohd Salleh, kamu faham? Atau perlu saya ulang ayat ini sehingga empat kali?”

Salleh mengangguk berkali-kali dengan laju selepas berkata tidak perlu, tanda dia faham kata-kata amaran yang tegas dan keras itu. Kalau diperhatikan dari arah tepi, sudah seperti gaya seekor burung belatuk sahaja perlakuannya itu. Jika pensyarah di hadapan bukan Puan Sofea, sudah pasti ada suara-suara sumbang yang berani melepaskan tawa melihatnya. Namun, Salleh tahu mereka menyimpan ‘sesuatu’ untuknya.

Sejak itu, dia lebih terkenal dengan gelaran ‘Tuk Bal’. Maksudnya, Belatuk Bebal. Salahnya sendiri, kerana dia secara terang-terangan mengakui dirinya bebal di hadapan semua teman. Entah bagaimana pula mereka sepakat memanggilnya begitu. Apabila ada peluang berkumpul, dirinya pasti tidak lepas dari menjadi bahan bualan untuk diketawakan beramai-ramai. Pelajar-pelajar wanita pula, akan tersenyum-senyum penuh makna setiap kali melihat atau bertentang mata dengannya. Dia tahu, mereka sukar melupakan peristiwa itu, kerana dia sendiri masih mengingatinya.

Seperti seorang yang setia menyanjung hormat adat bangsanya, Salleh hanya diam dan tersenyum ramah setiap kali digelar begitu. Fikirnya, itu akan menjadi kenangan manis untuk semua suatu hari nanti. Sekurang-kurangnya, ada sedikit sumbangannya di situ. Jadi, dia tidak peduli kalau dijadikan bahan sendaan sekarang. Dia tahu, perkara ini mengakrabi jarak sosial mereka.

Ketukan yang bergema di pintu menariknya ke kamar realiti. Dia masih di tingkat yang sama. Membetulkan nafas di alur tenggorok, dia menyediakan diri menerima kunjungan tetamu. Mengangkat wajah, Kamaliah muncul di pintu. Tangannya erat mendakap jambangan bunga. Sekujur, kenangan silam menyeka ingatan.

“Nama awak Salleh, bukan?

Suara halus itu lembut menyapa telinga. Dia lantas menoleh, mencari titik asas aroma enak yang menerpa hela nafas. Seorang wanita cantik sedang berdiri di situ, menanti bicara.

“Er.. iya, saya Salleh. Boleh saya bantu cik?”

“Suzana. Cukup dengan Suzana, tidak perlu ber’cik-cik’ dengan saya. Saya sekadar mahu bertanya, kenapa kawan-kawan panggil awak Tuk Bal? Untuk apa?”

“Oh, Suzana mahu tahu tentang itu? Mari kita duduk di kafe itu. Saya akan bercerita.”

Ekspresi luar sedar, dia mudah menyingkap pekung di hadapan wanita kecil molek itu. Nyata, Suzana gagal menyembunyikan tawa sebaik maklum tentang batu asas panggilan manja namanya itu. Tidak berkecil hati, dia hanya melukis senyum di hujung bibir.

“Maaf. Saya terbawa-bawa dengan kisah awak. Jadi, apa yang awak lakukan untuk menepis semua sokongan negatif itu?”

Soalan yang keluar dari mulut kecilnya menusuk. Umpama bilah-bilah jarum yang panjang mencucuk tangkai jantung. Halus dan pedih. Salleh hanya memandang kaku. Suzana yang sedar soalannya tiada jawapan, hanya melirik pandang, dalam nafas resah yang cuba diperlahankan.

Takdir sebuah perkenalan mengubah persepsinya. Dia mula gigih, mahu membuktikan sesuatu. Dia Tuk Bal yang bangkit! Tetapi, kesedaran yang agak lewat itu tidak memungkinkan awan fikiran yang pernah berkecai itu bercantum. Dia tidak merangkul Anugerah Diraja. Bukan juga pelajar terbaik fakulti. Dia masih orang biasa, tetapi cergas mencipta usaha luarbiasa.

Terjun ke bidang perniagaan, dia tuntas mengukir nama. Bekerjasama dengan pihak Taiwan, dia membawa teknologi rawatan air ke dalam negara. Kecanggihan inovasi yang beriring ketinggian ilmu mengheret perubahan kepada alir sungai Klang yang legam. Dalam masa tidak sampai lima tahun, nama syarikatnya sudah terpapar di atas papan BSKL. Rekodnya bersih tanpa dihambat pesona Ringgit, sejernih hati wanita yang jujur membetulkan kecondongan laluannya dahulu.

“Datuk Salleh, Datin Suzana sedang menanti di tingkat bawah.”

Dia bangun. Mengambil jambangan bunga mawar merah dari tangan Kamaliah, selajur membuka langkah menuju ke lif.

Di luar lif tingkat paling bawah menara mewah itu, Datin Suzana menanti dengan senyuman megah. Matanya lembut memandang nama yang gagah berdiri sendiri itu terukir cantik di pintu lif. TUK BAL Association. Akronim bagi ‘The Ultimate Key to Bridge Active Lifestyle’ yang menjadi sebutan ramai sejak 25 tahun lalu. Dia bangga menjadi insan di sebalik kejayaan Pengerusi syarikat besar itu.. Mereka berdua sependapat memilih nama itu sebagai pemangkin pembangunan yang diketengahkan. Rakan-rakan lain semuanya sudah lama terdiam dalam hembusan nafas sedar bahawa manusia berubah atas usaha.

Pintu lif terbuka luas. Senyuman Datin Suzana melebar hingga ke pipi.

Glosari
Tersungging – terlukis (senyuman)

1 comment:

Anonymous said...

best but story agak tergantung.. Yg sy phm kat sni.. Biar ap pun gelaran yg kt sandang tp jgn la krn gelaran tu kt leka.. Bukti kn pd mrk kt bkn bgt.. Jdi yg terbaik dr yg baik.. ( RD )