Oct 2, 2010

Suria dan Masa

Putaran dunia semakin pantas dirasakan dan gadis itu kelelahan mengejar masa. Jujur, dia enggan ditewaskan oleh masa kerana dia mahu sentiasa berada di hadapan. Sekurang-kurangnya, dia telah berlaku adil kepada dirinya sendiri dengan tidak membiarkan wktu terbazir tanpa melakukan apa-apa perkara yang berfaedah. 
Tetapi dia sedang tewas pada saat ini, kerana entah sudah berapa kali dia berkeluh sejak tadi. Semuanya gara-gara kiriman emel yang baru tiba dari adiknya yang sedang belajar jauh di perantauan itu. Sewaktu membacanya, dia terduduk dan tanpa dapat ditahan air matanya mengalir laju ke pipi.
"Di mana boleh aku mendapatkan wang sebanyak itu? Sudah tiga bulan aku tidak bekerja, mana mungkin aku dapat mencari wang itu dalam tempoh tiga puluh lima hari?" Akalnya yang dangkal kebuntuan mencari jalan.
Memikirkan kandungan emel itu yang penuh dengan harapan, dia menjadi semakin tidak menentu. Sekejap-sekejap dia bangun dan kemudian dia duduk semula. Terkadang, dia mundar-mandir di ruang yang sempit itu, dan tangannya tidak berhenti-henti meraup wajah yang entah berapa kali basah dengan peluh dan air mata itu.
"Kau kenapa, Suria? Dari tadi aku melihat kau berpusing-pusing dan keresahan." Tanya rakan serumahnya, Aqilah. Nadanya jelas prihatin dan garis-garis kerisauan tampak jelas pada wajahnya.
"Aku baru sahaja menerima emel dari adikku yang belajar di luar negara itu." Ujar Suria dengan nafas yang berat.
"Kenapa dengan adik kau? Dia meminta wang belanja lagi?" Tanya Aqilah lagi.
"Iya, kali ini lebih banyak dari biasa kerana wang biasiswanya baru sahaja dikurangkan kerana keputusan peperiksaannya yang kurang memberangsangkan pada semester lalu." Jelas Suria sebelum mengeluh sekali lagi.
Aqilah mendengus perlahan mendengarkan khabar berat dari rakan serumahnya itu. "Kasihan Suria." Detak hatinya. Masuk yang ini, sudah tiga semester rakannya itu menampung yuran adiknya di universiti. Dia tahu, rakannya itu memang tidak pernah kedekut mengeluarkan belanja, lebih-lebih lagi soal pendidikan adik kesayangannya itu. Tetapi dia juga maklum sudah tiga bulan sahabatnya itu tidak bekerja. Justeru, rasa kasihannya semakin menebal melihatkan lagak rakannya itu yang sudah seperti ayam berak kapur.
***
“Saya memohon maaf banyak-banyak, Cik Suria. Kami terpaksa menamatkan perkhidmatan awak di syarikat ini di atas masalah kewangan yang semakin meruncing. Pihak kami juga tidak mampu untuk membayar apa-apa bentuk pampasan buat masa ini. Diharapkan Cik Suria dapat memberikan kerjasama, memandangkan hanya cik seorang staf baru di jabatan ini.” Kata penyelianya dengan tegas, tanpa memikirkan langsung perasaan Suria yang dihempas kekecewaan itu.
Tanpa diberikan sebarang peluang, Suria diberhentikan dari terus berkhidmat di syarikat pembuatan itu. Sejak itu, dia berpusing-pusing di bandar bagi mencari peluang pekerjaan yang baru namun masih belum ada iklan jawatan kosong yang kelihatan di mana-mana. Ada masanya, dia menatap ruang iklan di akhbar perdana terkini namun semuanya masih belum ada jawapan. Iklan-iklan di media elektronik juga sudah dicuba tetapi semuanya masih negatif sehingga kini.
Disebabkan itu, Suria mengeluh lagi. Wang simpanannya sudah semakin susut dan dia tidak berani untuk mengirimkan wang yang hanya cukup-cukup untuknya itu buat belanja adiknya yang di luar negara itu.
***
“Berapa banyak yang adik kau minta kali ini? Boleh aku tahu jumlahnya?” Tanya Aqilah usai makan malam.
“Kali ini, dia minta aku kirimkan tiga ribu ringgit.” Balas Suria perlahan. Wajahnya yang murung itu langsung tidak diangkat.
“Ada dia beritahu tarikh akhir untuk menjelaskan yurannya?” Tanya Aqilah lagi.
“Katanya, wang itu perlu dijelaskan sebelum akhir bulan hadapan. Maksudnya, aku ada tempoh kurang dari tiga puluh lima hari.” Kata Suria kemudiannya.
Aqilah terdiam dan dahinya berkerut-kerut. Selepas itu, jari-jemarinya yang meruncing itu mula mengetuk meja menghasilkan irama tanpa nada yang sekata. Suria yang masih tertunduk memandang meja makan itu segera mengangkat wajahnya dan dia kemudiannya terleka memandang gerakan jari-jemari rakannya itu.
“Nanti aku tanyakan kawan-kawan aku, kalau tempat kerja mereka memerlukan staf baru. Kau tidak memilih jawatan, bukan?” Tutur Aqilah sesudah itu. Tangannya juga sudah berhenti mengetuk meja.
“Aku tidak kisah, kalau kerja mengemas pejabat pun aku rela. Itu lebih baik daripada aku duduk sahaja di rumah tanpa berbuat apa-apa seperti sekarang. Terima kasih, Qilah.” Balas Suria lalu tersenyum nipis.
***
Telefon bimbit Suria berdering nyaring sewaktu dia sedang mencuci pakaian di bilik air. Terkocoh-kocoh, dia berlari ke ruang tamu untuk mendapatkan telefonnya. “Minta-mintalah ini panggilan untuk tawaran kerja.” Tidak putus-putus hatinya berdoa supaya harapannya yang semakin malap itu menyala semula.
Sebaik sahaja dia tiba di ruang tamu, deringan telefonnya itu mati. Namun, telefon itu dicapai juga dan dia segera menyemak senarai pemanggil yang tidak sempat dijawab itu.
“Aqilah?” Dia berfikir-fikir, dan matanya segera bercahaya apabila perbualannya dengan Aqilah malam kelmarin terbayang di dalam fikiran.
Seketika kemudian, telefonnya berdering lagi dan sekali lagi nama Aqilah terpapar di layar skrin yang tidak berwarna itu. Pantas, dia menekan butang ‘jawab’ yang berwarna hijau dan melekapkan alat komunikasi itu ke telinganya.
“Assalamualaikum.”
“....”
“Aku sedang mencuci pakaian tadi. Ada apa kau panggil, sudah ada kerja kosong untuk aku?”
“....”
“Benarkah? Alhamdulillah, kalau begitu esok aku mula. Terima kasih banyak-banyak, Qilah!”
“....”
Usai berbual, Suria meletakkan semula telefonnya di atas meja kecil di tepi sofa ruang tamu rumahnya itu. Senyumannya meleret, dan dia kembali semula ke bilik air untuk menyambung pekerjaannya yang belum selesai itu.
***
Hari ini sudah tiga hari Suria bekerja sebagai pembantu am di pejabat sederhana besar itu. Tugas utamanya adalah membersihkan ruang kerja majikannya selain menguruskan segala kerja fotokopi dan menghantar surat antara jabatan di dalam syarikat itu. Pekerjaannya banyak mengerah tenaga wanitanya dan meletihkan, tetapi dia tetap bersyukur kerana itu lebih baik daripada dia masih ternanti-nanti peluang kerja lain yang belum tentu ada dalam tempoh ini.
Semalam, Aqilah memohon maaf kerana dia gagal mencari peluang yang lebih baik untuk Suria. Katanya, orang lulusan universiti seperti Suria harus mempunyai pekerjaan yang lebih baik tetapi Suria pantas menidakkan kerana menurutnya, peluang dan rezekinya hanya setakat itu buat masa ini. Aqilah hanya tersenyum pahit mendengar bicaranya.
“Suria, nanti tolong bersihkan bilik Encik Jalal. Dia ada tetamu petang nanti.” Kata setiausaha Encik Jalal, sewaktu Suria menyerahkan surat-surat dari jabatan pemasaran kepadanya. Suria hanya menganggukkan kepalanya dan cepat-cepat dia berlalu untuk mengedarkan surat-surat yang masih ada di tangannya.
Sejurus selesai mengedarkan semua surat itu, Suria segera menuju ke bilik Encik Jalal. Kebetulan, lelaki itu berada di biliknya sewaktu Suria masuk. Sesudah mendapat keizinan dari lelaki itu untuk mengemaskan ruang pejabatnya, Suria terus bekerja tanpa mempedulikannya. Sambil berkemas, dia mencongak-congak wang yang perlu ditokok bagi menampung yuran adiknya seteloah ditolak jumlah pendapatan yang bakal diterima dengan tugasnya di pejabat itu. Sesekali, dia berkerut dahi dan menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Kenapa dengan kamu, Suria? Ada masalah?” Tanya Encik Jalal prihatin.
“Ha? Tiada apa-apa. Saya baik-baik sahaja.” Ujar Suria lalu tersenyum nipis.
“Saya tahu kamu ada masalah, sebab Aqilah itu sahabat baik saya. Dia kata awak lulusan universiti dan awak terpaksa menerima pekerjaan ini kerana ada masalah kewangan.” Kata Encik Jalal.
Mendengarkan kata-kata Encik Jalal itu, Suria berhenti mengemas lalu berdiri tegak di hadapan lelaki itu. Wajahnya tertunduk memandang lantai bilik itu dan mulutnya terkunci dari berbicara walau sepatah kata.
“Kenapa awak diam? Ceritalah dengan saya, insya-Allah saya cuba membantu mana yang mampu.” Ujar Encik Jalal lagi.
“Setakat mana yang Encik Jalal sudah tahu mengenai masalah saya dari Aqilah?” Tanya Suria kemudiannya. Anak matanya memandang tepat ke arah lelaki itu.
“Saya cuma tahu yang awak mempunyai masalah kewangan yang agak berat, itu sahaja.” Kata Encik Jalal lembut.
Lalu Suria menceritakan masalahnya secara ringkas kepada lelaki itu yang mendengar dengan penuh perhatian tanpa mencelah walau sedikit.
“Berat juga masalah awak. Beginilah, saya tidak boleh menjanjikan apa-apa buat masa ini tetapi apa kata esok awak serahkan kepada saya resume terkini awak. Insya-Allah, saya akan membincangkan dengan pihak atasan kalau-kalau ada jawatan kosong di mana-mana jabatan.” Kata lelaki itu dengan seulas senyuman manis terhias di bibirnya.
“Terima kasih, Encik Jalal.” Kata Suria terharu.
“Seperkara lagi, mulai hari ini awak jangan lupa tunaikan solat sunat Dhuha. Insya-Allah, pintu rezeki awak akan terbuka luas kalau awak meminta dari-Nya dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.” Ujar Encik Jalal lagi.
***
Hari ini, sudah tiga tahun Suria menjadi staf di jabatan pemasaran syarikat itu. Dia sangat bersyukur menerima bantuan dari rakan serumahnya yang prihatin itu, juga Encik Jalal yang baik hati. Dia dipanggil bekerja untuk jawatan eksekutif pemasaran beberapa hari selepas itu, kerana secara tiba-tiba salah seorang staf di situ menghantar notis 24 jam untuk berhenti kerja di atas sebab-sebab peribadi.
Adik kesayangannya juga sudah pulang ke tanah air dengan segulung ijazah. Suria tidak mengeluh lagi, bahkan dia sangat bersyukur kerana dia tidak memilih pekerjaan sewaktu kesempitan hidup suatu masa dahulu. Tips berharga dari Encik Jalal juga tidak pernah lupa untuk diamalkan setiap hari.
Kini, setiap hari Suria tersenyum apabila melihat seorang pemuda yang berwajah bersih datang mengemas ruang pejabatnya.

**Dedikasi buat sahabatku Nur Aqilah, semoga kamu selalu berbahagia ^_^

1 comment:

Anonymous said...

nice story..pengorbanan s'org kakak yg ikhlas m'bantu adik ny.. Like this story.. Pengajaran yg kt dpt baik d amal kn.. Selalu lh solat sunat dhuha.. Insyaallah rezeki murah.. RD

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape