Jan 7, 2012

Kisah Lelaki Tua dan Gadis: Sekecil-kecil Semut

Di bawah pohon yang hijau merendang, seorang gadis bertubuh kecil melutut diam-diam. Bahunya terhenjut-henjut tetapi tiada suara yang keluar dari mulutnya. Sesekali, dia menyeka pipi menggunakan belakang tapak tangan kanan. 


Tingkahnya itu menarik perhatian seorang lelaki tua yang sedang berjalan-jalan mengelilingi taman. Perlahan-lahan, dia mendekat dan berdiri diam-diam di belakang gadis itu.


Si gadis menoleh apabila lelaki tua itu memberi salam. Sambil mengelap air mata yang sedang menitis ke pipi, dia menjawab salam. Lelaki tua itu tersenyum lalu bertanya, "Mengapa kamu duduk bersendirian dan menangis di sini?"


Semakin laju air mata yang mengalir ke pipinya. Lelaki tua itu segera menghulurkan plastik tisu kepadanya dan dia menyambut dengan nafas yang tersedu-sedu.


Setelah nafasnya reda gadis itu menjawab, "Saya malu dan sedih. Rakan-rakan suka tertawakan saya. Kata mereka, saya kecil dan kurus seperti papan lapis." Dia kemudiannya menundukkan wajah lalu menangis teresak-esak.


Lelaki tua itu berkerut dahi seketika sebelum tersenyum nipis. Kemudian, dia bertinggung di sisi gadis itu dan berkata, "Bersabarlah. Bukankah Tuhan itu selalu bersama orang-orang yang sabar?"


Gadis itu mengangkat wajah. Selepas itu dia berkata, "Bagaimana saya boleh bersabar kalau mereka terus-terusan mengejek saya disebabkan saiz tubuh yang kecil ini?" dengan bicara yang tersekat-sekat.


Lelaki tua itu tersenyum lagi. Dia berdehem kecil lalu berkata, "Tahukah kamu, terdapat hidupan lain yang lebih kecil tetapi mereka tetap gigih menjalani hidup dan selalu redha dengan keadaan fizikal mereka itu kerana Allah, Tuhan Maha Pencipta?"


Mulut gadis itu terbuka sedikit dan anak mata hitamnya bersinar-sinar. Kemudian, dia mengangguk beberapa kali sehingga kerongsang jurai di bawah dagunya terbuai-buai.


Lelaki tua itu menarik nafas dalam-dalam lalu tersenyum. Kemudian, dia mula bercerita, "Hidupan yang saya maksudkan adalah semut. Saiz tubuh semut yang paling kecil hanya sepanjang 2 hingga 3mm. Lihat semut yang sedang membuat laluan di hadapan kasut kamu itu. Kecil, bukan?"


Gadis itu terangguk-angguk. Kemudian, dia mula ralit memerhati laluan semut itu dan lelaki tua itu hanya membiarkan. 


Tidak lama kemudian,, gadis itu bertanya, "Mengapa semut-semut itu asyik berhenti seperti sedang bercakap antara satu sama lain?"

Balas si lelaki tua, "Itu tandanya mereka sedang berkomunikasi. Sekarang, lihat apa yang berlaku apabila saya letakkan kayu kecil ini di laluan mereka."


Gadis itu memerhati diam-diam. Kemudian, dia tersenyum apabila semut-semut itu bertempiaran seketika sebelum mula membina laluan lain. Berkata gadis itu, "Mereka membina laluan lain!" dengan girang. 


Lelaki tua itu menyambut, "Benar, maka kamu berusahalah menjadi seperti semut-semut yang kecil ini. Mereka berusaha mencari haluan baru setiap kali ada tangan-tangan manusia atau perkara-perkara lain yang merosakkan laluan sedia ada."


Gadis itu terangguk-angguk dengan bibir yang masih tersenyum lebar.


Lelaki tua itu menyambung lagi, "Terdapat satu surah di dalam Al-Quran yang dinamakan dengan nama semut, iaitu surah An-Naml."


Gadis itu memandang wajah si lelaki tua lalu cepat-cepat dia bertanya, "Adakah Allah 'menceritakan' kisah semut di dalam surah itu, pak cik? "  


Sambil mengangguk perlahan, lelaki tua itu membalas, "Ada. Allah mengabadikan kisah semut di dalam ayat 18 dan 19 Surah An-Naml."


Lelaki tua itu berhenti seketika dan si gadis menanti dengan sabar sambil melihat-lihat laluan semut di di hadapan kasutnya itu.


Kemudian, si lelaki tua menyambung lagi. "Kisah di dalam dua ayat itu adalah mengenai kawanan semuat dan Nabi Sulaiman. Di dalam surah itu disebutkan yang ketua semut mengingatkan sekalian kumpulannya supaya masuk ke sarang masing-masing bagi mengelakkan dipijak atau dibinasakan oleh kumpulan tentera Nabi Sulaiman yang sedang menuju ke suatu tempat."


Gadis itu mencelah dengan riak teruja, "Lalu, apa yang berlaku, pak cik? Setahu saya, Nabi Sulaiman itu ada mukjizat yang membolehkan dia bercakap dengan haiwan."


Lelaki tua itu tersenyum lalu terangguk-angguk. Kemudian, dia berkata, "Alhamdulillah, dengan izin Allah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata ketua semut di Waadin-Naml itu lalu dia memerintahkan tentera-tenteranya berhenti seketika. Kemudian, dia berdoa kepada Tuhan dengan lafaz ini, 
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh"
Kemudian, dia berkata lagi, "Mengapa bersedih dengan tubuhmu yang kecil itu? Bersyukurlah, kerana Allah itu Maha Mengetahui dan dia selalu bersama orang-orang mukmin yang sabar."


Gadis itu tersenyum dan berkata, "Alhamdulillah. Allah Maha Besar!"


***

Petikan Ayat 18 dan 19 Surah An-Naml:
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud;
“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.”
Surah An-Naml, ayat 18

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud;
“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.
Surah An-Naml, ayat 19

kredit: http://www.gilerkentang.com/5-spesis-semut-yang-unik/

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape