Jan 5, 2012

Lelaki Tua dan Gadis: Kisah di hujung padang


Di sebuah padang permainan yang hijau, seorang lelaki tua duduk sendirian di tepi padang. Bibirnya yang merah sentiasa tersenyum.

Di hujung jalan, kelihatan seorang gadis sedang berjalan dengan langkah yang perlahan. Dahinya yang luas penuh dengan kerutan dan sesekali dia memicit-micit dahi dengan tangan kanan. Kemudian, dengan langkahnya yang kecil-kecil, dia menuju ke arah lelaki tua yang sedang duduk di hujung padang itu.

Setelah menegur dan memberi salam, si gadis mengambil tempat di sisi sang lelaki tua. Lelaki tua itu tetap mengukir senyuman yang manis membuatkan dahi gadis di sisinya itu semakin penuh dengan lipatan.

Setelah beberapa ketika, gadis itu bertanya, "Mengapa pak cik asyik tersenyum?" Dahinya terus berkerut.

Lelaki tua itu tersenyum lagi. Kemudian, dia membalas, "Senyum itu sedekah. Mungkin sahaja dengan  senyuman yang sedikit dan kecil itu kau dapat membahagiakan beberapa orang di kelilingmu."

Gadis itu terangguk-angguk. Kemudian, dia bertanya lagi, "Bagaimana senyuman kecil saya itu boleh membuat orang lain bahagia? Teori saintifik mana yang menyokong dan membenarkan hal itu?"

Lelaki tua itu terus tersenyum. Selepas berdehem kecil dia berkata, "Usahlah kamu memaksa diri memahami sesuatu yang tidak kau mengerti. Tidak perlu dijawab soalan-soalan begini sepertimana kita tidak perlu mencari apa sifat Tuhan yang ke-100. Cukuplah kita terima seterusnya mengenali Tuhan dengan 99 sifat itu."

Gadis itu berkerut dahi lagi sehingga dua keningnya hampir-hampir bercantum. Kemudian dia membuka mulut dan bertanya lagi, "Contoh pak cik itu tinggi benar. Ada contoh yang lain?" sambil tersenyum nipis.

Kemudian, lelaki tua itu memandang wajah di sisinya itu sekilas sebelum melontar pandangan jauh ke hujung padang. Gadis itu ikut memandang.

Selepas beberapa ketika, lelaki tua itu berkata, "Contohnya, usahlah bertanya mengapa seorang lelaki suka menonton perlawanan bola sepak ataupun gemar memancing di laut dalam. Kamu tidak mungkin akan mengerti sebabnya sebab kamu tidak pernah berusaha berada di dalam kelompok yang sama."

Gadis itu terangguk-angguk. Seketika kemudian dia bertanya, "Lalu, apa yang harus saya lakukan kalau sesudah saya berada di dalam kelompok itu tetapi saya masih tidak mengerti?"

Lelaki tua itu menjawab, "Kalau sudah mencuba tetapi tiada pencerahan juga, cukuplah kalau kamu belajar menerima keadaan itu sebagai perbezaan yang menjadikan setiap manusia itu unik. Itu lebih baik daripada menjadikannya punca perbalahan," lalu dia terus tersenyum.

Perlahan-lahan, gadis itu tersenyum.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape