Jan 19, 2012

WARKAH BUAT MARIA: Bab 1


[1]
“Innalillahi wa inna Ilaihi raaji’un.” Ucap seorang wanita dalam esakan. Wajahnya sugul dan matanya lesu.
Pipinya basah dengan air mata yang deras mengalir ke pipi. Di hadapannya, tubuh kaku seorang wanita tua terkujur di atas katil bercadar putih Kemudian, dia menyeka air mata dan mengucup dahi wanita tua yang sudah tidak bernyawa itu. Lama, menzahirkan rasa kasihnya yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit itu.
Seorang lelaki berpakaian serba putih yang berdiri di situ perlahan-lahan keluar dari bilik serba putih itu sejurus dia mematikan alat bantuan pernafasan di sisi katil. Dia melemparkan senyuman payah kepada wanita berwajah sugul itu.
Sambil melangkah keluar, lelaki itu bergumam, ‘Sudah lama aku menjadi doktor, tetapi situasi begini tidak pernah mudah.’ Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum melangkah laju menuju ke ruang lain.
***
Sehari sebelum....
“Maria, maafkan Mak Cik kerana merahsiakan berkenaan ayah kandungmu...” Wanita tua yang terbaring lemah di atas katil itu bersuara penuh kepayahan. Nafasnya tertahan-tahan di tenggorok dan dia kembali berkata dengan bicara patah-patah kepada Maria, “...Gambar ayahmu ada di dalam sampul surat kuning, di dalam peti simpanan di bank. Maafkan Mak Cik...”
Bicara wanita tua itu terhenti apabila dia kembali tidak sedarkan diri. Maria segera menekan butang khas di tepi katil itu. Wajahnya semakin basah dengan linangan air mata yang tidak pernah berhenti sejak wanita tua yang disayanginya itu menjadi penghuni katil di bilik sederhana besar itu.
Tidak lama kemudian, seorang jururawat berpakaian serba hijau masuk. Cekatan, dia memeriksa wayar dan peralatan yang bersambung ke tubuh wanita yang sedang tidak sedarkan diri itu. Sedang dia memeriksa alat kawalan pernafasan di sisi katil, seorang lelaki yang memakai kot labuh berwarna putih memasuki ruang itu. Tidak berlengah, lelaki itu terus memeriksa keadaan pesakitnya. Melihatkan lekuk-lekuk sigmoid yang terlayar pada skrin yang mengesan bacaan nadi itu semakin lemah, dia memandang wajah Maria.
Kata doktor itu, “Bacalah Surah Yassin. Semoga semuanya dipermudahkan Tuhan.”
Maria mengerti, dia harus bersedia ‘melepaskan’ wanita kesayangannya itu. Sudah beberapa kali wanita itu ditolak keluar masuk ruang kecemasan di tingkat yang sama hospital itu, tetapi keadaannya masih tidak berubah.
Doktor itu menyambung lagi, “Keadaannya kritikal. Jika selepas 24 jam Puan Anita tidak sedarkan diri, kita harus menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui.”
***
Sudah dua minggu Makcik Anita ‘pergi’, dan Maria masih berwajah sugul. Hari ini, dia duduk terperap di dalam bilik makciknya itu sejak Subuh. Kehilangan kali ini menjadikannya sebatang kara, kerana selama ini makciknya yang seorang itu sahajalah saudara yang dia miliki.
Gambar kenangan ketika bercuti dengan arwah makciknya itu ditatap, lalu air matanya tiris lagi. Maria kembali teresak-esak, dan wajahnya yang sugul itu terus muram dek kemasyghulan yang menguasai perasaannya.
Bunyi telefon di hujung ruang tamu yang membingit memanggil-manggil Maria. Lantas, Maria mengesat air mata dan menuju ke arah telefon yang asyik berdering. Namun setibanya dia di hadapan telefon, deringan itu telah terhenti. Maria mengeluh berat. Air matanya kembali menitis di pipi, dan dia menghentak kaki beberapa kali di tepi telefon itu bagi melepaskan perasaan.
Hidungnya yang berair disapu dengan kertas tisu yang sudah hampir lunyai. Selang beberapa minit, telefon itu berdering lagi dan Maria lekas-lekas mengangkat gagang telefon.
“Assalamualaikum,” Dia menjawab panggilan itu dengan suara yang serak-serak.
“....”
“Bank Musyawwarah Nasional?” Dahi Maria berkerut-kerut.
“....”
“Ya, dia saudara saya. Mengapa?”
“....”
“Baiklah, saya akan ke sana petang nanti.”
Maria meletakkan gagang.
Tanya Maria sendiri, “Peti simpanan? Sampul surat kuning? Ayah kandung? Adakah ini yang Mak Cik Anita katakan itu?”
Semua perca cerita yang terpisah-pisah itu akhirnya dicantumkan di dalam mindanya, dan Maria mula mengerti.
***
“Assalamualaikum Cik Maria binti Abdul Muin, saya Adam Haikal, pegawai perhubungan yang diberi tugas bagi menyerahkan isi kandungan peti simpanan peribadi Puan Anita binti Muhammad Iqbal kepada pewarisnya.” Kata pegawai itu dengan wajah tenang, sebaik sahaja Maria melaporkan diri di kaunter pengurusan khazanah di Bank Musyawwarah Nasional itu.
“Waalaikumsalam, Encik Haikal. Terima kasih kerana menghubungi saya.” Balas Maria perlahan.
Encik Adam Haikal tersenyum dan berkata, “Boleh saya lihat kad pengenalan Cik Maria untuk tujuan pengecaman?”
Maria menurut tanpa berkata apa-apa.
Adam Haikal mengangguk sebelum menyatakan rasa simpatinya kepada Maria di atas pemergian Puan Anita. Maria tersenyum nipis sebelum menurut langkah kemas pegawai perhubungan itu ke sebuah ruang lain.
Encik Adam Haikal menghilangkan diri buat seketika. Maria terkebil-kebil memandang sebuah peti kayu berwarna hijau tua yang terletak kemas di atas meja.
Dia membelek-belek peti kayu sebesar kotak cincin yang kelihatan berusia itu.
Hatinya berdetak, ‘Bolehkah peti kayu lama ini memuati sampul surat makcik yang berwarna kuning itu? Besar mana saiz sampul surat kuning itu?’
Kemudian, Maria membuka peti kayu itu perlahan-lahan setelah membaca basmalah. Sebaik sahaja peti itu dibuka, sebuah gelung berwarna keemasan bertatahkan permata zamrud jelas kelihatan di matanya. Maria terbelalak!
‘Ini bukan sampul surat!’ Jerit hatinya.
Tangannya menggigil sewaktu menyentuh objek itu. Bibirnya terketar-ketar.
Kata hatinya lagi, ‘Mengapa makcik tinggalkan hadiah begini untuk saya?’
Kemudian, dia mengeluarkan objek itu perlahan-lahan.
***
“Sudah keluarkan kunci khas itu dari bekasnya, Cik Maria?” Adam Haikal menegur ramah sekembalinya dia dari berpergian.
Maria yang baru sahaja menghela nafas itu tersentak dengan kejutan itu sehingga peti kayu berwarna hijau tua itu terlepas dari tangannya. Objek keemasan bertatah zamrud itu pula terjatuh ke lantai.
“Maaf, saya tidak berniat mahu membuatkan Cik Maria terkejut.” Kata lelaki itu tersekat-sekat. Pantas, dia mengambil objek keemasan bertatah zamrud itu dari lantai. Maria tersenyum nipis. Sesudah itu Adam Haikal memandangnya, menanti reaksi wanita berwajah sugul itu tetapi Maria hanya senyap dan perlahan-lahan mematikan senyumannya.
“Sudah bersedia Cik Maria? Ayuh kita ke bilik kebal, peti simpanan Puan Anita binti Muhammad Iqbal sedang menanti pewarisnya.” Ujar Adam Haikal lalu membuka langkahnya.
Maria yang terpinga-pinga segera bangun dari kerusinya dan menuruti langkah Adam Haikal yang luas itu. Tetapi, langkahnya mati tiba-tiba. Adam Haikal yang sudah jauh di hadapan turut berhenti melangkah dan menoleh. Melihat Maria sedang tercegat, dia merapati wanita itu.
“Mengapa, Cik Maria?” Tanya Adam Haikal prihatin.
“Kunci...” Maria tidak menghabiskan kata-katanya tetapi hanya memandang pegawai perhubungan Bank Musyawwarah Nasional itu dengan wajah sugul.
Lelaki itu segera tersedar, “Oh, maafkan saya Cik Maria. Ini kunci peti simpanan Puan Anita, saya terlupa menyerahkannya semula kepada Cik Maria.”
Kunci berwarna keemasan dan bertatah zamrud itu segera bertukar tangan.
***
“Assalamualaikum, anakandaku Maria yang tersayang. Semoga anakanda sentiasa bahagia dan gembira, walaupun setelah bonda tiada di sisi. Bonda memohon ampun, sekiranya perkhabaran ini bakal menterbalikkan duniamu seluruhnya. Sesungguhnya, tiadalah pernah Bonda menyimpan niat mahu memisahkan anakanda dengan ayahandamu. Segalanya berlaku tanpa dirancang, dan Bonda pohonkan kemaafan dari hujung rambut sehingga ke hujung kakimu, jika hatimu tersayat dan terluka dengan berita ini.
Anakandaku Maria, nama ayahandamu Abdul Muin bin Abidin. Bersama-sama warkah ini, Bonda sisipkan gambar terakhir ayahandamu yang ada di dalam simpanan Bonda. Dia masih bernyawa, dan bukannya sudah tertanam di dalam Bumi sepertimana yang Bonda ceritakan kepadamu. Ampunkan Bonda untuk cereka palsu itu.
Menurut khabar terakhir yang Bonda maklum, ayahandamu berada di Kampung Semantan, Melaka. Carilah dia, dan sampaikan permohonan maaf dari Bonda. Kirimkan surat yang Bonda kepilkan di sini kepadanya, supaya dia mengetahui cerita sebenar mengenaimu seterusnya memaafkan Bonda.
Assalamualaikum, anakandaku. Berbahagialah...”                                                  
Yang selalu mengasihimu,
Anita binti Muhammad Iqbal.
Maria teresak-esak di sisi katil makciknya dan surat terakhir makciknya itu perlahan-lahan diletakkan di atas katil, sebelum wajahnya disembamkan di atas bantal. Sekali lagi, bantal itu basah dengan air matanya.
Gambar tidak berwarna yang sudah kabur imejnya itu ditatap Maria berkali-kali, namun dia tetap gagal mengecam pemilik wajah di dalam gambar itu. Wajah seorang lelaki berambut tebal dan bercermin mata besar itu tidak pernah sekali pun hadir dalam bayangannya. Nyata, Maria tidak pernah mengenali ayah kandungnya sendiri!
“Kejamkah Makcik Anita, kerana memisahkan kami berdua? Tidak, dia tidak begitu!” Fikiran Maria bertingkah-tingkah dan dia kemudiannya terlena dalam tangisan yang masih berbekas.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape