Jan 15, 2012

Kisah Lelaki Tua & Gadis : Mencari Hati

Di sebuah taman rama-rama di tengah kota....

Hari itu hari minggu. Taman rama-rama itu penuh dengan pengunjung sehingga kalau dihitung, jumlah pengunjung nisbahnya satu per tiga daripada bilangan rama-rama.

Jumlah yang besar dan banyak. Banyak orang, banyak tujuan. Setiap orang ada tujuan berbeza untuk berada di situ.

Di situlah sebuah keluarga bahagia menghabiskan masa. Si anak yang baru pandai berjalan sibuk menunjuk-nunjuk seekor rama-rama yang sedang hinggap di hujung daun. Kakaknya pula asyik mengejar rama-rama dan menjerit-jerit, "Ibu, rama-rama besar ini cantik! Yang itu pun cantik! Kakak tak tahu nak kejar yang mana!" membuatkan ibunya tersenyum lebar.

Kemudian, si ayah yang asyik memetik butang kamera berkata, "Memanglah semuanya cantik. Bukankah semua ini ciptaan Tuhan kita, Allah Maha Besar yang sentiasa sukakan hal-hal yang cantik?"

Anak perempuan itu merapat kepada ayahnya semula. Kemudian, dia leka mendengar si ayah bercerita.

Di taman itu juga, seorang bapa berusaha memujuk anak perempuannya yang sedang merajuk. "Senyumlah, semalam kata mahu tengok rama-rama."

Sambungnya lagi, "Aina anak ayah, marilah. Tengok atas daun tu, ada rama-rama besar berwarna hijau-merah. Cantik!"

Si anak diam dan memejamkan mata. Kemudian, dia menutup telinga dengan kedua belah tangan. Akhirnya, seekor rama-rama hinggap di atas batang hidungnya. Si anak terpaksa membuka mata. Lantas, dia tersenyum dan tertawa riang.

Di situ jugalah seorang suami berehat-rehat sambil menggembirakan si isteri selepas ditinggalkan berhari-hari atas tuntutan kerja.

Di tempat yang sama, terdapat sebuah taman kaktus yang kecil. Di taman itu, di celah-celah pepohon kaktus yang pelbagai, seorang gadis termenung. Pandangannya dilempar jauh ke hadapan, seperti pohon-pohon kaktus itu tiada di hadapannya.

Kemudian, seorang lelaki tua lalu di hadapannya dan dia hampir-hampir terjatuh kerana tersilap langkah. Namun, gadis itu tetap leka dan termenung, menyebabkan lelaki tua itu memandangnya dengan wajah terhairan-hairan.

Tegur si lelaki tua, "Mengapa kamu termenung, hai anak muda?"

Gadis itu tidak bereaksi. Sekali lagi, lelaki tua itu menegur, "Mengapa kamu termenung, wahai anak muda yang cantik?" sambil mencuit lengannya dengan ranting kayu.

Gadis itu tersentak. Terpinga-pinga, dia bertanya, "Mengapa pak cik berdiri di sini?"

Lelaki tua itu diam dan memandang sepohon kaktus yang berwarna kekuningan. Gadis itu ikut memandang.

Kemudian, lelaki tua itu berkata, "Mengapa kamu asyik termenung sejak tadi?"

Gadis itu berkalih dari memandang kaktus kuning. Dia meramas-ramas hujung tudung sebelum mengeluh perlahan. Lelaki tua itu menanti sambil tersenyum nipis.

Tidak lama kemudian, berkatalah gadis itu, "Saya sedang mencari sesuatu."

Lelaki tua itu mengangguk lalu bertanya, "Apa yang kamu cari dengan bermenung? Bukankah pencarian itu perlukan tindakan?"

Sambil mengeluh perlahan, si gadis menoleh ke arah lelaki tua itu. Kemudian, dia berkata, "Saya mencari hati saya tetapi tidak menemukannya di sini kerana saya tidak mampu untuk gembira walaupun selepas memandang kaktus-kaktus yang cantik."

Jawapannya membuatkan si lelaki tua terkejut dan terdiam beberapa ketika sebelum mendongak dan memandang ke kawasan taman rama-rama.

Berkata si lelaki tua, "Mari kita tengok rama-rama di sana. Mungkin juga kamu tidak sukakan kaktus, maka kamu berasa tidak selesa." lalu dia melangkah perlahan.

Gadis itu tertegak di tempatnya. Selepas beberapa tapak di hadapan, lelaki tua itu memanggil lagi, "Mengapa tercegat di situ? Marilah ke sini."

Spontan, langkah gadis itu terbuka seperti seorang anak taat yang menyahut panggilan ayahnya sebaik dipanggil.

Sambil berjalan, lelaki tua itu berkata, "Maaf pak cik bertanya, mengapa mahu mencari hati sendiri?"

Gadis itu membalas, "Saya sudah banyak kali berasa kecewa. Sekarang, saya hampir-hampir berputus asa dengan diri sendiri. Macam sekarang, saya tidak tahu mengapa saya tidak gembira berada di sini walaupun pada saat seekor rama-rama yang paling cantik hinggap di atas bahu saya. Semua ini mengecewakan."

Lelaki tua itu bertanya, "Maksudnya, kamu keliru? Mungkinkah anak ini sedang berhiba hati?"

Gadis itu menggeleng-geleng. "Tidak. Yang saya pasti, saya asyik berasa kecewa dan berputus asa. Sebab itulah, saya tidak boleh tersenyum dan bergembira seperti orang lain."

Lelaki tua itu mengerutkan dahi dan bertanya, "Mengapa kamu kecewa?"

Gadis itu menjawab, "Saya merasakan hidup saya ini terlalu susah dan penuh dengan ujian. Saya sudah buat bermacam-macam kerja tetapi hidup saya tetap begini. Tidak naik dan asyik kurang. Saya asyik tidak boleh tidur memikirkan bagaimana mahu menjadi orang yang lebih kaya dan lebih baik dari sekarang. Maka, saya kecewa apabila melihat teman-teman sekeliling hidup dengan selesa dan riang. Bagaimana hidup mereka boleh tenang tanpa masalah sedangkan ujian hidup saya datang tak putus-putus?"

Lelaki tua itu mengangkat tangannya ke paras bahu. Seekor rama-rama berwarna oren-hitam hinggap di atas
tangannya yang sudah penuh kedutan itu. Dia tersenyum lalu membiarkan.

Kemudian, dia berkata perlahan dan berhati-hati, "Maka, senyumlah supaya beban di hatimu hilang."

Gadis itu diam. Wajahnya keras. Hatinya berdetak, 'Bagaimana aku boleh tersenyum saat hidupku sedang menuju kehancuran?'

Lelaki tua itu kemudiannya menyambung lagi, "Tahukah kamu, mengenai keajaiban senyuman? Sesungguhnya senyuman itu ajaib sehingga ia mampu mengangkat beban yang berat dari hati yang sedang resah dengan pelbagai urusan dunia."

Gadis itu tersentak. Bibirnya bergerak-gerak.

Lelaki tua itu menambah lagi, "Ujian itu tanda Tuhan sayangkan hamba-hamba-Nya. Maka, bersyukurlah atas semuanya. Dia tidak pernah lupakan kita dan Dia memberi peringatan supaya kita tidak terlupa kepada-Nya. Bergembiralah kerananya dan senyumlah walau sedikit usai kamu menitiskan air mata duka."

Bibir gadis itu terus bergerak-gerak namun tiada ulas bicara yang terlafaz. Lelaki tua itu melihatnya lalu tersenyum kecil.

Kata lelaki tua itu lagi, "Kalau kamu masih tidak mampu tersenyum, maka carilah hatimu. Mulalah kembali dari awal. Ajarlah hati yang sedang kecewa dan berputus asa itu untuk berterima kasih kepada Tuhan kerana Dia membuat kamu sedih, kecewa, gembira, dan bahagia."

Akhirnya, gadis itu bertanya, "Tetapi, bagi melakukan semua itu saya perlu mencari hati. Bagaimana mahu mencari hati dan mengajarnya semua itu?"

Lelaki tua itu berkata, “Ini kata-kata Imam Ghazali. Katanya, 'Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!'”


Gadis itu mengangguk-angguk. Kemudian, dia berkata perlahan, "Terima kasih, pak cik."


Lelaki tua itu menyambut, "Alhamdulillah. Berterima kasihlah kepada Tuhan kerana Dia yang mengaturkan pertemuan ini."


Balas gadis itu, "Alhamdulillah. Semoga kita tetap punya hati. Amin."

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape