Jan 23, 2012

WARKAH BUAT MARIA : Bab 2

Sebuah bandar asing.
Bandar Hilir.
Pesanan terakhir Mak Cik Anita supaya dia mencari ayah kandungnya di Melaka telah membawanya ke situ. Sekarang, Maria termangu-mangu bersendirian di sebuah perhentian bas yang sesak dengan lautan homosapien.
‘Benarkah tindakanku ke mari? Betulkah keputusanku ini? Apakah ayah ada di Melaka? Benarkah dia masih hidup, tetapi kenapa dia tidak pernah mencariku?’ Detak hatinya sendiri.
Maria menggeleng kecil. ‘Saya tidak akan berpatah arah! Saya harus cari ayah sehingga jumpa!’ Kata hatinya tegas.
Seorang lelaki yang wajahnya berminyak menegur Maria, “Cik, hendak ke mana? Marilah, saya hantarkan ke destinasi pilihan!” sambil menunjukkan teksinya yang berwarna kuning hitam.
Balas Maria yakin, “Saya hendak ke Kampung Semantan. Berapa tambangnya?”
Jawab pemandu teksi, “Biasanya antara tujuh ke sepuluh ringgit, bergantung kepada kesesakan kerana saya menggunakan meter teksi.” Sambil mengelap wajahnya yang berminyak dengan sehelai tisu.
“Kalau begitu, baiklah. Ayuh, kita bertolak sekarang.” Kata Maria. 
Maria kemudiannya menaiki teksi dan duduk di bahagian penumpang belakang dengan begnya yang bersaiz sederhana besar itu. Selepas melihat penumpangnya selesa, si pemandu menekan butang ‘mula’ pada meter teksinya sejurus memulakan perjalanan.
“Cik hendak ke Kampung Semantan itu, mahu berjumpa dengan siapa?”  Tanya pemandu teksi itu ramah.
Balas Maria, “Saya mahu berjumpa ketua kampungnya, ada sedikit urusan yang perlu dibereskan.”          
“Oh, Tok Karim? Lelaki itu baik orangnya. Tentu dia tiada masalah bagi membantu cik.” Ujar pemandu teksi itu lagi.
Tanya Maria lagi, “Bunyinya macam encik berkenalan baik dengan ketua kampung itu. Benarkah dia mudah membantu orang yang dalam kesusahan?”
“Benar, saya akrab dengannya. Tok Karim memang sangat suka membantu orang-orang yang memerlukan. Dahulu, saya pernah menghantar seorang anak muda seusia cik ke rumahnya. Dia langsung membantu anak muda itu dan melayannya seperti membantu anak sendiri.” Jelas pemandu teksi panjang lebar.
Maria tersenyum dan mengangguk-angguk kecil. Desir hatinya, ‘Semoga kembara mencari ayah ini lebih mudah dengan kebaikan hati ketua kampung itu. Amin.’
Lima belas minit kemudian, Maria diturunkan di hadapan sebuah rumah sederhana besar yang dibina berdekatan masjid. Usai membayar harga perkhidmatan teksi kepada pemandu yang wajahnya berminyak itu, Maria melangkah ke pintu rumah di hadapannya itu.
Selepas memberi salam beberapa kali, seorang wanita muncul di muka pintu.
Sambil tersenyum ramah, dia menjawab salam dan bertanya, “Ya, cik mencari siapa?” Maria membalas senyumannya itu.
Tanya Maria, “Maaf kerana mengganggu, mak cik. Saya mencari Tok Karim. Ini rumahnya, bukan?”
Wanita itu mengerutkan dahi. “Tok Karim? Maaf, rasanya cik sudah tersalah rumah,” ujarnya dengan wajah serba-salah.
Maria mengelus-elus tangannya sendiri. “Benarkah? Jadi, di mana saya harus mencari Tok Karim?”
Kepalanya tertunduk ke tanah. Kemudian, Maria mula menggosok-gosok leher dan memandang sekeliling.
Melihatkan Maria yang sudah tidak keruan, wanita itu berkata, “Setahu saya, tiada sesiapa yang bernama Tok Karim di kampung ini. Apa kata cik naik dahulu ke teratak kecil saya ini dan kita bersama-sama tunggu suami saya pulang, kemudian kita tanyakan berkenaan Tok Karim kepadanya.”
Maria tersenyum mendengar pelawaan wanita yang baik hati itu.
Kemudian, wanita itu mempelawa Maria naik. Usai membasuh kaki menggunakan air paip dari pili di hujung tangga, Maria mendaki tangga rumah wanita itu lalu bersimpuh di ruang tamunya yang sederhana besar itu.
Berkata wanita itu, “Ini memang rumah ketua kampung, tetapi namanya bukan Tok Karim. Nama ketua kampung ini ialah Tok Hassan,” apabila Maria sudah selesa bersimpuh di ruang tamu rumahnya.
“Tok Hassan? Tetapi, pemandu teksi tadi kata nama ketua kampung ialah Tok Karim.” Kata Maria lagi.
Wanita peramah itu mempersilakan Maria menjamu selera dengan sedikit kuih dan air teh sebelum memperkenalkan dirinya sebagai Mak Timah, isteri Ketua Kampung itu. Sementara menanti Tok Hassan kembali dari surau, Maria berbual-bual dengan Mak Timah.
Bertanya Maria, “Kalau Tok Hassan memang Ketua Kampung ini, siapa Tok Karim?”
“Saya sendiri tidak tahu siapa Tok Karim. Nanti kita tanya suami saya, kalau-kalau dia kenal orang yang bernama Tok Karim. Sebenarnya, ada apa anak ke mari?” Mak Timah bertanya.
Dengan wajah redup yang sugul, Maria menceritakan kisahnya kepada Mak Timah dan entah berapa kali wanita tua itu menggeleng-gelengkan kepalanya semasa mendengar cerita Maria. Reaksi Mak Timah membuatkan wajah Maria semakin sugul.
 Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang memakai songkok tinggi muncul di pintu rumah Mak Timah. Tersenyum ramah, Mak Timah memperkenalkan lelaki bersongkok tinggi itu sebagai Tok Hassan, suaminya yang juga Ketua Kampung.
Maria berdiri, sebagai tanda menghormati lelaki itu. Tanpa dikerah, Mak Timah mengkisahkan semula cerita Maria kepada Tok Hassan, selepas menyediakan minuman untuk suaminya. Maria hanya duduk di sudut ruang tamu rumah itu sambil menganggguk-angguk, mengiyakan cerita Mak Timah.
“Malam ini, anak tidur di mana? Sudah ada tempat penginapan?” Tanya Tok Karim sejurus isterinya selesai bercerita.
Terkulat-kulat, Maria menjelaskan. “Belum ada, sampai sahaja di bandar tadi saya terus meminta pemandu teksi menghantarkan saya ke mari.”
“Kalau begitu, tidur sahaja di bilik anak perempuan kami. Boleh kawankan dia, sekurang-kurangnya dapat juga dia mendengar cerita kehidupan pelajar universiti dari kamu.” Pelawa Tok Hassan, diikuti senyuman rela isterinya.
Kemudian, Tok Hassan memanggil anak perempuan mereka, Atiqah agar membawa Maria ke biliknya. Selepas Maria beredar, Mak Timah bertanyakan perihal Abdul Muin kepada suaminya.
“Abdul Muin? Entahlah, seingat abang, belum pernah abang mendengar nama itu di kampung ini. Rasa-rasanya, dia bukan penduduk kampung ini,” kata Tok Hassan.
Pertanyaan isterinya itu membuatkan Tok Hassan tidak senang duduk. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena, lalu dia meminta isterinya memanggil Maria ke ruang tamu semula. Isterinya patuh, dan segera menuju ke kamar tidur anak perempuan mereka.
“Ada apa, Tok?” Tanya Maria.
“Tiada apa-apa, saya cuma mahu tahu seperkara. Sebenarnya anak hendak mencari siapa di Kampung Semantan ini?” Tanya Tok Hassan dengan wajah berkerut-kerut.
Sambil mengelus-elus tangannya, Maria berkata, “Saya mencari ketua kampung sahaja, mahu bertanyakan perihal ayah kandung saya, Abdul Muin.”
Kerutan di dahi Tok Hassan semakin bertambah. Segera, dia bertanya lagi, “Lalu, apa kaitannya dengan Tok Karim?”
Maria menggelengkan kepala. “Tiada apa-apa kaitan, tetapi pemandu teksi tadi kata nama ketua kampung ialah Tok Karim,” jelasnya jujur.
Tok Hassan menggaru-garu kepalanya, dan Mak Timah sudah mengengsot-engsot di belakang suaminya. Maria akhirnya tertawa kecil. Spontan, Mak Timah dan suaminya ikut tertawa. Kemudian, Atiqah muncul dari biliknya dengan wajah terpinga-pinga apabila mendengar orang tuanya ketawa besar secara tiba-tiba.
“Patutlah tiada orang bernama Tok Karim di sini. Saya meminta maaf kerana telah menyusahkan Tok berdua.” Kata Maria sopan.
“Tidak mengapa, tidur sahaja di teratak kami ini. Esok, kita sama-sama cari cara terbaik untuk memulakan pencarian kamu.” Balas Tok Hassan tersenyum-senyum.
Maria kemudiannya berlalu ke bilik Atiqah dan tidak lama selepas itu, tawa Atiqah berderai memecah hening. Tok Hassan dan isterinya tersengih-sengih sahaja di ruang tamu.
***
Di penjuru sebuah bangunan berdinding putih yang bersaiz sederhana besar, seorang wanita khusyuk menatap skrin komputer di hadapannya. Wajahnya serius, dan tangannya tidak berhenti-henti menaip angka-angka untuk dimuatkan ke dalam jadual di dalam komputernya itu.
Itulah pekerjaannya sejak dua hari lalu, memasukkan data stok alat tulis yang baru tiba dari China. Semua peralatan itu akan dihantar ke serata Malaysia sesudah dia selesai mencatatkan data-datanya.
Menurut jadual kerja, semua stok itu akan mula dihantar seawal jam 5 pagi esok menggunakan perkhidmatan penghantaran syarikat mereka sendiri. Lewat petang nanti, beberapa orang pekerja bahagian gudang akan datang dan mula mengangkut stok ke dalam lori mengikut pembahagian yang telah dilakukan oleh wanita itu.
“Zatul, mengapa awak masih belum pulang?” Tanya seorang lelaki berpakaian kemas yang muncul dari sebuah bilik di hujung bangunan itu.
“Ada sedikit data yang belum dimasukkan, Encik Fauzi.” Jawab wanita itu sambil memandang hujung seluar majikannya yang lebar di bahagian kaki seluar itu.
“Oh, jangan pulang lewat sangat, ya? Saya hendak keluar, ada sedikit urusan di bandar.” Balas Fauzi prihatin dan wanita yang dipanggil Zatul itu hanya mengangguk patuh.
***
“Maria, boleh Tok tengok gambar ayah kamu sekali lagi?” Tanya Tok Hassan usai makan malam.
Maria yang sedang membantu Mak Timah mencuci pinggan itu tersentak, lalu menjawab, “Gambar itu ada di dalam bilik, sebentar saya ambilkan, ya?”
Maria berlalu ke bilik tidur Atiqah, dan kemudiannya keluar semula dan mengunjukkan sekeping gambar tidak berwarna dan sudah kabur kepada Tok Hassan. Kali ini, reaksi lelaki berusia itu masih sama. Dahinya berkerut-kerut dan bibirnya digigit-gigit perlahan, seperti dia sedang berusaha keras mengingati pemilik wajah di dalam gambar itu.
“Maaflah, Maria. Kabur juga ingatan Tok mengenai lelaki dalam gambar ini. Namanya juga terlalu asing dari ingatan tua Tok ini.” Kata Tok Hassan hampa.
Balas Maria, “Tidak mengapa, Tok. Terima kasih kerana sudi mencuba sekali lagi,” dengan segarit senyuman menghiasi bibir.
***
Seorang wanita yang cantik berkebaya merah terang singgah ke rumah Tok Hassan pada petang itu, dan tanpa berlengah Tok Hassan memperkenalkan Maria kepadanya.
Bertanya si wanita berkebaya merah, “Mengapa kamu kelihatan sedih?”
Maria diam sambil memandang ke arah Mak Timah dan Tok Hassan. Kemudian, Tok Hassan mula menceritakan kisah pencarian Maria kepadanya.
Wanita itu mengangguk kepalanya berkali-kali. Usai Tok Hassan bercerita, dia berkata, “Jangan bersedih begini, marilah bekerja di kedai jahit saya. Boleh juga mengisi saku sementara mencari ayah kandungmu itu.”
Celah Tok Hassan, “Benarkah? Baguslah begitu, Tina. Saya baru nak mencadangkan supaya kamu mengambil Maria ini bekerja dengan kamu, tetapi nampaknya kamu sudah mendahului.”
Petang itu juga, Maria berpindah ke rumah Mak Cik Tina yang baik hati. Tidak banyak perhiasan di rumah itu, menyebabkan ia nampak besar dan luas.
“Maaflah, saya memang sengaja tidak meletakkan sebarang perhiasan di dalam rumah ini. Saya lebih selesa dengan ruang yang luas begini.” Kata Mak Cik Tina sebaik sahaja Maria menjejakkan kaki di ruang tamu rumah itu.

“Tidak mengapalah, mak cik. Ini sudah cukup baik dan saya sangat berterima kasih kepada mak cik. Boleh saya tahu, berapa kadar sewa yang perlu saya lunaskan?” Tanya Maria kemudiannya.
“Sewa? Tidak perlu dijelaskan, kerana kamu bakal bekerja dengan saya. Anggapkan sahaja penyediaan tempat tinggal ini sebagai salah satu kaedah saya menjaga kebajikan pekerja saya.” Ujar Makcik Tina lalu tersenyum manis.
Maria ikut tersenyum. Detak hatinya, ‘Alhamdulillah. Saya sudah ada tempat berteduh dan berpaut sehinggalah ayah ditemui.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape