Feb 1, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 3

Dengan nama Allah. Assalamualaikum, pembaca dan kawan-kawan yang budiman. Semoga sentiasa berbahagia dalam rahmat Tuhan yang Maha Luas. Apa khabar? Harap semuanya baik-baik dan sihat sahaja, macam saya ^^_
Saya mohon maaf banyak-banyak, minggu ini terlewat sikit masukkan entri kisah WBM ini. Saya agak sibuk dengan penulisan tesis sekarang ini (menulis juga, ohoh). Harap tiada yang marah, ya? ^^_
Oh, banyak cakap pula. Terlebih sudah, hehehe...
***
“Siapa wanita cantik di dalam gambar ini? Nampak akrab betul dia dengan mak cik.” Tanya Maria ketika menyelak album gambar lama milik Mak Cik Tina.
Sejurus, air muka wanita itu berubah dan riak cerianya sebelum itu menghilang dengan pantas. Maria menggigit bibir melihatkan reaksi Mak Cik Tina.
“Maaf, saya tidak sengaja mahu bertanya. Saya hanya...,” Maria berkata dengan bicara patah-patah.
“Tidak mengapalah, kamu sudah pun bertanya mengenainya. Dia sahabat lama saya. Mei Ling namanya dan kami pernah berkawan baik.” Kata Makcik Tina, dengan dahi yang berkerut.
“Mak cik pernah berkawan baik dengannya? Maksudnya...,” Sekali lagi, Maria tidak kuat untuk menghabiskan bicaranya.
“Ya, kami sudah tidak bersahabat sejak pertengkaran kami yang terakhir. Sejak itu, kamiberdua terputus hubungan dan saya tidak mendengar khabarnya lagi.” Kata Mak Cik Tina dan matanya mula bergenang.
Maria terdiam dan terus memerhati gambar lama itu. Selepas beberapa ketika, dia menggigit bibir sambil mengangguk-angguk kecil.
“Hmmm... sudah berapa lama mak cik menjahit?” Tanya Maria.
Mak Cik Tina menoleh ke arah Maria. Dahinya berkerut. “Saya mula mengambil upah menjahit sejak di universiti dan Mei Ling adalah pelanggan pertama saya. Selepas itu, dialah yang selalu memberi galakan dan keyakinan kepada saya.”
“Begitu rupanya, pasti dia sahabat yang sangat baik. Adakah dia juga minat menjahit?” Maria mencungkil rahsia dengan berhati-hati.
“Ya dan kami sudah bercadang membuka kedai jahit bersama-sama di bandar tetapi sehingga sekarang, impian itu masih belum terlaksana.” Mak Cik Tina berhiba lagi.
Perlahan-lahan, wanita itu menyeka air mata yang hampir tumpah ke pipinya. Maria memandang sayu. Detak hatinya, ‘Adakah Mak Cik Tina sedang merindukan sahabatnya itu sepertimana aku merindui Mak Cik Anita?’
Mak Cik Tina terus tertunduk dan berwajah hiba. Maria memandang wanita itu lama. Lalu, tekadnya membulat! ‘Jika Makcik Tina merinduinya, sudah tentu Mei Ling mempunyai perasaan yang sama. Saya harus melakukan sesuatu!’ Detak hatinya lalu dia terangguk-angguk.
***
Di sebuah pasar raya, seorang wanita berselendang biru sedang termenung di sebuah restoran makanan segera. Wajahnya kosong dari sebarang emosi dan dia tampak tenggelam dalam lamunan sendiri. Sesekali, hujung selendang itu menggerbang dan terbuai-buai di bahunya tetapi dia membiarkan.
“Hai, jauhnya termenung. Puan sedang terkenangkan siapa?” Seorang lelaki berambut ikal menegurnya ramah.
            Wanita itu tersentak dan pantas bahunya terjungkit kerana terperanjat. Cekatan, dia membetulkan selendang yang melilit di kepalanya sebelum melemparkan senyuman ke arah lelaki yang menegurnya.
            Ujarnya, “Rahman, terkejut saya!” lalu tertawa kecil.
            Lelaki berambut ikal yang dipanggil Rahman itu ikut tergelak kecil lalu mengambil tempat di sisi wanita berselendang biru itu. Wajahnya ceria dan dia tersengih lebar sampai telinga.
            “Ada apa awak mencari saya? Awak sudah ada berita mengenai wanita bernama Anita binti Muhammad Iqbal itu?” Tanya wanita berselendang biru itu selepas sahabatnya duduk dengan selesa.
            “Saya belum mendapat apa-apa berita, tetapi menurut khabar dari ‘informer’ kita, baru-baru ini ada seorang wanita muda menuntut harta warisan subjek yang kita siasat.” Jelas Rahman dengan wajah yang mula serius.
“Maksud awak, harta peninggalan Puan Anita di Bank Musyawwarah Nasional itu sudah dituntut oleh warisnya?” Tanya wanita berselendang biru itu lagi, mengulang pernyataan Rahman.
Rahman mengangguk. Kemudian, dia menyambung, “Benar, Puan Azzah. Menurut sumber perisikan kita, nama wanita yang menuntut harta itu ialah Maria binti Abdul Muin,” dengan tegas.
Puan Azzah diam. Kemudian, dia berdehem dan mengeluarkan sebuah buku catatan dari beg tangan dan menulis sesuatu. Rahman memerhati dengan tekun, tanpa mencelah aktiviti wanita itu. Sesekali, dahinya berkerut sehingga keningnya yang tebal itu hampir-hampir bercantum.
“Kita perlu menjejaki Maria binti Abdul Muin!” Ujar Puan Azzah sesudah itu dan Rahman mengangguk patuh.
***
Seorang wanita tua berbangsa Cina kelihatan terbongkok-bongkok di dalam sebuah kedai jahit. Sesekali, dia berhenti menggerakkan mesin jahit di hadapannya dan terbatuk-batuk beberapa kali. Kemudian, dia mengedipkan pelupuk matanya beberapa kali dan tersenyum. Sesekali, dia meregang-regangkan jemarinya yang sudah penuh dengan kedutan.
            Akhirnya, dia bangun dari kerusi dan berjalan menuju ke pintu kedai jahit yang sederhana besar itu. Di situ dia berdiri dan memandang ke luar kedai, memerhati gelagat manusia yang lalu-lalang di jalanan. Wajahnya murung. Sesekali, nafasnya yang pendek dihembuskan dengan payah. Matanya tampak tidak bercahaya. Nyata, dia menyimpan rasa hiba yang sarat di dalam jiwa tuanya.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape