Feb 9, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 4


Fauzi mengeluarkan sikat dari saku seluarnya. Rambutnya yang sudah tersisir kemas dirapikan lagi. Usai menyisir, dia menyambung kerja-kerja menyemak proses pemunggahan stok alat tulis ke dalam lori. Ada masanya, dia ikut memunggah beberapa kotak alat tulis itu ke dalam lori.
            Dia bukanlah tidak mempercayai kecekapan pekerjanya, Zatul, tetapi dia lebih suka kalau dia memantau sendiri semua proses itu. Tambahan pula, dia mahu menunjukkan contoh yang baik kepada pekerja-pekerjanya yang memunggah barangan itu. Dia mahu mereka bekerja dengan gigih dan bersemangat, serta selalu menganggap pasukan ini adalah umpama keluarga. Keluarga itu ahlinya akrab dan saling bantu-membantu, sebab itu dia mahu pekerja-pekerjanya mempunyai semangat kekeluargaan.
            Tiba-tiba Zatul muncul dari arah belakang. Spontan, dia bertanya, “Kenapa encik masih di sini? Bukankah tadi encik kata mahu ke bandar?” sebaik melihat susuk majikannya masih berada di situ.
            “Saya keluar sebentar sahaja tadi, kemudian saya kembali ke sini untuk melihat-lihat proses pemunggahan ini. Awak masih belum pulang sejak tadi?” Kata Fauzi tanpa mengalihkan tumpuan dari papan senarai barangan di tangannya itu.
            Balas Zatul, “Ya, saya berada di sini sejak tadi, baru selesai dengan urusan pemunggahan buku-buku tulis untuk edaran ke Kampung Tualang.”
            “Baguslah, yang ini pula stok kertas A4 untuk edaran ke tiga buah kampung di sekitar Bandar Hilir.” Fauzi berkata perlahan, sebelum mengeluarkan sikat dari saku seluarnya dan menyisir lagi rambutnya yang sudah kemas itu.
            Zatul hanya menggelengkan kepala melihat tingkah majikannya itu. Dia tersenuyum-senyum. Desir hatinya, ‘Sejak hari pertama saya bekerja, dia asyik menyisir rambutnya itu. Hai, Encik Fauzi, Encik Fauzi. Serasi benar dia dengan sikatnya itu. Kalaulah sikat itu hilang....’ Zatul terus tersenyum sambil menggeleng-geleng.
            Fauzi tidak mempedulikan senyuman pekerjanya itu. Sebaliknya, dia tekun memerhati proses pemunggahan di gudang itu. Tanpa disedari, mereka terus bekerja sehingga malam menjelang. Melihat jam tangan, dahi Fauzi berkerut-kerut.
Kemudian, dia memandang Zatul dan berkata, “Hari sudah lewat, ada baiknya awak pulang sekarang. Kerja-kerja di sini, serahkan sahaja kepada Amri.”
Zatul menoleh ke arah majikannya. Laju, dia mengangguk lalu menuju ke arah Amri. Selepas menerangkan beberapa perkara kepada pekerja itu, Zatul bersiap-siap untuk pulang.
Di pintu gudang, Fauzi sudah menanti. Zatul memandang majikannya dengan wajah hairan lalu bertanya, “Encik mahu pulang juga, ya?”
Lelaki itu berdehem kecil dan mengangguk. Kemudian, dia berkata, “Mari, saya hantarkan awak pulang.”
Zatul tersenyum lembut lalu menggeleng perlahan.
Fauzi berkata lagi, “Marilah, saya harus pastikan awak pulang dengan selamat.”
Sekali lagi, Zatul tersenyum manis dan menggeleng perlahan. Melihat kerutan di dahi Fauzi semakin tebal, dia tertawa dan berkata, “Kalau Encik mahu, marilah hantar saya ke ruang parkir. Saya letak kereta kecil saya di situ pagi tadi!”
Segera, Fauzi menepuk dahi! Kemudian, dia ketawa besar.
***
Rahman membuka lipatan kertas putih di atas mejanya. Dia tersenyum apabila membaca tulisan tangan yang tertera di celah-celah lipatan kertas yang berselirat itu.
            “Kampung Sri Petaling?” Dia menjungkit keningnya lalu melipat kertas putih itu kecil-kecil sebelum mencampaknya ke dalam tong sampah di hujung bangunan.
            Sewaktu melangkah keluar, sebuah kereta hitam berkilat berhenti betul-betul di hadapannya. Spontan, Rahman tersengih kerana dia mengenali pemilik kereta hitam itu.
“Rahman, saya dengar ada maklumat baru lagi dari sumber kita. Apa ceritanya kali ini?” Tanya Azzah yang baru keluar dari kereta hitam itu.
“Benar, puan! Saya bakal ke Kampung Sri Petaling bagi mengesahkan berita itu.” Jelas Rahman tegas sambil menahan sebuah teksi.
Azzah menggangguk dengan wajah bersemangat. “Semoga ada penemuan baru bagi kes kita! Ayuh, kita gerak bersama-sama!”
***
Awal-awal pagi itu, Maria menemankan Makcik Tina bersarapan.
Dia termenung di meja makan. ‘Inilah kali pertama saya bersarapan berdua semenjak Mak Cik Anita pergi,’ detak hatinya lalu dia mengeluh kecil.         
“Maria, makanlah. Mengapa termenung di hadapan rezeki?” Tegur Makcik Tina sebaik meletakkan hidangan.
            “Maafkan saya, makcik. Saya terkenangkan arwah mak cik saya kerana dia juga gemar menyediakan mi goreng dan nescafe panas untuk menu sarapan pagi.” Ujar Maria jujur dan matanya mula berkaca-kaca.
            Wajah Maria terus sugul dan air matanya merembes apabila Mak Cik Tina menyentuh bahunya lembut. Selang beberapa minit, Mak Cik Tina menghulurkan sehelai kertas tisu dan memujuk Maria supaya bertenang dan tidak bersedih hati.
            “Dahulu, saya menangis begini sesudah berpisah dengan Mei Ling. Berbulan-bulan saya menangis, mencari sebab dia menyisihkan persahabatan kami tanpa penjelasan namun sampai sekarang saya tenggelam punca.” Kata Makcik Tina dan suapannya mula perlahan.
            Maria berhenti menangis. Dia mendongak perlahan dan memandang wajah Mak Cik Tina.
            “Maksudnya, mak cik tidak bergaduh dengannya tetapi berpisah begitu sahaja?” Tanya Maria berhati-hati.
Makcik Tina tidak menyambut ujaran Maria itu, sebaliknya dia menyambung suapan. Maria ikut menyuap mi ke dalam mulutnya dan terus mendiamkan diri.
“Ya, dia marahkan saya kerana sesuatu tetapi saya gagal menyelongkar sebabnya.” Kata Mak Cik Tina dengan suara yang sudah serak-serak.
            “Mak cik sudah cuba berbaik dengannya? Takkanlah tiada cara langsung bagi berbaik semula?” Tanya Maria berhati-hati.
            Mak Cik Tina diam dan terus makan. Maria menutup mulutnya semula dan segera mencapai sudu. Mereka kemudiannya makan dengan senyap sehingga selesai.
            Usai makan, Maria mencuci pinggan sambil bercakap-cakap sendirian. “Mengapalah saya tanya soalan sensitif itu tadi? Kasihan mak cik. Saya mesti minta maaf!”
             Maria ke ruang makan sambil memandang ke sekeliling. Kelihatan Mak Cik Tina sedang duduk dan memegang sehelai kertas. Maria menjelirkan lidahnya dan mula melangkah ke arah wanita itu.
            “Mak Cik...,” belum sempat Maria berkata, wanita itu memintas, “Kertas ini adalah kertas istimewa kami berdua.”
            Maria mencapai kertas itu dengan dahi yang berkerut seribu.
            Mak Cik Tina menyambung, “Untuk berbaik semula, rasanya saya perlu tuliskan sesuatu kepada Mei Ling menggunakan kertas ini.”
            Maria mengangguk-angguk. Matanya bersinar-sinar.  
“Mak cik ada alamatnya? Kalau ada tulislah sesuatu buatnya, nanti saya tolong kirimkan.” Kata Maria lalu tersenyum.
            “Betul? Baiklah, esok kamu tolong carikan Mak Cik Mei Ling di Bandar Hilir ya? Kalau tidak salah, dia membuka sebuah kedai jahit di sana.” Kata Mak Cik Tina, dengan riak teruja yang cuba dikawal.
            Maria tersenyum manis, mengiyakan kata-katanya sebelum itu dan Mak Cik Tina menghembus nafas lega.
            “Dia membuka kedai jahit di bandar dan mak cik tidak pernah cuba menjejakinya?” Tanya Maria kemudiannya.
            “Ya, itulah yang saya dengar. Saya bukan sengaja tidak menjejakinya, tetapi saya tidak sanggup berdepan dengan kemarahannya lagi, tidak pada usia ini.” Jelas wanita itu dengan wajah sayu.
            Ada air mata bergenang di hujung matanya dan Mak Cik Tina hanya membiarkan. Sekali lagi, dia tenggelam dalam emosinya yang sedang kacau dan Maria berdiam sahaja di sisinya.
            “Aku harus merapatkan kembali dua sahabat ini. Itu tanggungjawabku!” Tekad Maria menggulung di dalam hati.
***
Maria ke Bandar Hilir dengan satu tekad yang terpasak kukuh di dalam jiwa. Ya, dia mahu menyatukan dua sahabat yang terpisah sekian lama dek salah faham itu! Di tangannya, sepucuk surat tulisan Mak Cik Tina harus diserahkan segera kepada Mei Ling.
            “Kedai Jahit-Sulam MK, ini agaknya kedai Mei Ling,” Maria membaca papan tanda itu sambil memandang deretan kebaya yang tergantung di dalam kedai itu melalui dinding cerminnya yang lutsinar.
Kertas putih bercorak abstrak di tangannya itu dipandang. Maria menggenggam tangannya kejap-kejap seperti sedang memasang ikrar. Maria berdehem kecil lalu melangkah ke arah kedai itu. Matanya tertumpu ke wajah wanita berbangsa Cina yang sedang berdiri di dalam kedai itu.
Tiba-tiba, bahunya dilanggar keras oleh seorang lelaki yang baru keluar dari kedai itu. Maria terjatuh dan surat di tangannya terlepas dari tangan sebelum ditiupkan angin hasil deruan enjin sebuah kereta yang menyerbu laju di atas jalan ketika dia sedang terjatuh.
 “Surat mak cik...!” Maria terkapai-kapai mahu mencapai surat yang sudah jauh diterbangkan angin itu.
Terkial-kial, Maria bangun dari jatuhnya. Matanya dipejam rapat-rapat melihatkan surat untuk Mei Ling yang sudah terbang jauh. Lelaki yang melanggar bahunya itu pula asyik menghalang pandangannya dan meminta maaf berkali-kali.
“Maafkan saya, cik. Saya tidak sengaja. Cik tidak apa-apa?” Ujar lelaki itu bersungguh-sungguh.
Maria hanya memandangnya tanpa segarit emosi. ‘Surat mak cik...’ Hanya kata-kata itu yang terngiang-ngiang dalam fikirannya sejak tadi. Bait-bait kata lelaki itu langsung tidak terdengar di telinganya.
            “Surat mak cik...” Ujar Maria dengan wajah yang semakin sugul.
            “Surat? Mak cik?” Tanya lelaki itu kemudiannya.
            Maria tidak menjawab sebaliknya dia menudingkan jarinya ke satu arah. Lelaki itu segera memandang ke arah yang sama dengan wajah terpinga-pinga.
            “Surat apa yang cik maksudkan itu? Apa-apa pun, ini kad saya. Kata lelaki itu lagi sambil melurut rambutnya dengan jari.
            Maria mengambil kad yang dihulurkan itu dan terus berlalu. Dia berasa sangat sesal kerana kehilangan surat yang sangat berharga itu. Lelaki yang melanggar bahunya itu kebingungan.
            “Bagaimana harus aku khabarkan kepada Makcik Tina mengenainya?” Maria bergumam dan wajahnya terus sugul. Langkahnya yang gagah sebelum itu menjadi lemah, dan dia terduduk di tepi kaki lima itu.
***
Sebuah teksi berwarna merah putih berhenti di hadapan sebuah rumah sederhana besar di Petaling Jaya. Sepasang manusia turun dari teksi itu dan berdiri tegak di hadapannya, iaitu seorang wanita cantik dan seorang lelaki berambut ikal.
            Wanita cantik itu tersenyum manis kepada rakan di sebelahnya itu. Kemudian, jarinya yang runcing itu menekan loceng di pintu pagar manakala si lelaki berambut ikal berdehem, menyediakan dirinya untuk berhadapan dengan insan yang bakal keluar dari rumah itu.
            Mereka berdua menunggu seketika tetapi tiada tanda-tanda yang pintu rumah itu akan dibuka. Kemudian, wanita cantik itu menekan loceng sekali lagi tetapi masih tiada sesiapa yang menyambut kedatangan mereka berdua. Mereka mula memasang wajah pelik.
            “Tiada orang di rumah agaknya, Puan.” Ujar lelaki berambut ikal itu akhirnya.
            “Mungkin, nampaknya kita harus menunggu sehingga tuan rumah ini muncul.” Kata wanita cantik itu dengan wajah tidak beriak.
            Sedang mereka berbual-bual, seorang wanita dari rumah sebelah keluar dan menegur.
            “Encik berdua sedang mencari tuan rumah ini? Anita sudah meninggal, sekarang, hanya Maria yang tinggal di situ.” Kata wanita itu.
            “Ya, kami maklum mengenai hal itu. Kami ke mari bagi mencari Cik Maria binti Abdul Muin. Dia masih tinggal di sini?” Tanya wanita cantik itu.
            “Ya, dia masih duduk di rumah itu tetapi khabarnya dia ke Melaka kerana ada urusan di bandar Hilir. Encik berdua ini siapa?” Wanita itu bertanya lagi.
            Wanita cantik itu memasang wajah tenang dan memandang teman di sebelahnya. Dia kemudian menjungkitkan keningnya yang disambut dengan senyuman nipis oleh rakannya itu. Kemudian, mereka kembali memandang wanita yang menegur mereka itu.
            “Saya Engku Saadiah, dan ini teman sekerja saya, Hariri Khan. Kami dari Bank Musyawwarah Nasional.” Kata wanita itu dengan yakin.
            “Pegawai bank? Cik Engku dan Encik Hariri ada urusan apa dengan Maria? Bukankah dia sudah berurusan dengan Adam Haikal dari bank yang sama? Tanya wanita itu.
            ‘Adam Haikal.’ Maklumat dari wanita itu disimpan kemas dalam ingatan Hariri Khan. Dia mula menjana idea untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
            Hariri Khan berdehem dan berkata, “Memang sebelum ini sahabat kami Adam Haikal sudah menemui Cik Maria tetapi masih ada sedikit hal yang belum selesai. Kami ke sini kerana panggilan kami tidak dijawab oleh Cik Maria.” Kata Hariri Khan sesudah itu.
            “Oh, memanglah tiada sesiapa yang boleh menjawab panggilan. Macam saya katakan, Maria sudah bertolak ke Bandar Hilir hampir dua minggu lalu. Saya tidak pasti sebab dia ke sana kerana dia hanya memaklumkan yang dia perlu ke sebuah tempat dan meminta saya tengok-tengokkan rumahnya.” Kata wanita itu lagi.
            “Cik Maria tidak berkata apa-apa mengenai urusannya ke Bandar Hilir? Ada dia menyebut apa-apa mengenai tempat tujuannya ke Melaka?” Kata Hariri Khan lagi memancing maklumat. Wanita itu mengerutkan dahinya seketika sambil menundukkan wajahnya ke tanah.
            Selepas beberapa minit, wanita itu mendongak dan berkata, “Seingat saya, dia ada menyebut sesuatu mengenai Kampung Semantan.”
            Hariri Khan menyembunyikan senyumannya demi mendengarkan maklumat berharga dari wanita yang mengaku sebagai jiran Maria binti Abdul Muin itu.
            “Kalau begitu, baiklah. Terima kasih atas bantuan puan.” Balas Engku Saadiah.
            Hariri Khan dan Engku Saadiah kemudiannya menuju ke perhentian teksi yang berhampiran dan berbincang mengenai tindakan yang perlu bagi mencari Maria yang berkemungkinan sudah ke Melaka itu.
            “Kita harus ke Melaka!” Ujar Engku Saadiah bersemangat.
            “Begitulah nampaknya. Maaf, puan menyebut ‘kita’ sebentar tadi. Apakah itu maksudnya puan akan ke Melaka bersama-sama saya?” Hariri Khan bertanya sambil tersengih-sengih.
            “Eh, maksud saya awak yang akan ke sana! Saya perlu menyelesaikan beberapa hal di sini dahulu. Sesudah hal itu selesai, saya akan menyusul langkah awak.” Engku Saadiah membalas lalu mengukir senyuman manis.
            Hariri Khan memandang ke jalan lalu bangun dan menahan sebuah teksi, “Ayuh, kita perlu mencari lebih banyak perkaitan mengenai Maria dan Kampung Semantan!”

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape