Feb 14, 2012

WARKAH BUAT MARIA: BAB 5


Maria menyendiri di kamar tidur. Kata-kata Mak Cik Tina asyik berputar-putar di dalam kepalanya menyebabkan Maria tidak dapat mengawal perasaan bersalah yang menderu-deru masuk ke dalam hati setiap kali mengingati kata-kata Makcik Tina itu.
            “Apa yang sudah aku lakukan? Kasihan Mak Cik Tina. Mengapa aku begitu cuai di jalan tadi?” Terus-terusan, Maria memarahi dirinya.
            Malam itu, Maria tidak dapat tidur lena memikirkan kaedah menemukan Mak Cik Tina dengan sahabatnya yang bernama Mei Ling itu. Seperti yang diketahuinya, Mak Cik Tina tidak mahu berhadapan dengan Mei Ling kerana tidak sanggup menghadapi amarah rakannya itu.
            “Bagaimana kalau aku bertemu Mei Ling dan menceritakan keadaan Mak Cik Tina?” ucap Maria perlahan.
            “Tidak boleh! Nanti Mei Ling akan lebih menyalahkan Mak Cik Tina kerana menggunakan perantara untuk memohon maaf. Pasti Mei Ling akan mempersoalkan keikhlasan Mak Cik Tina,” gumam Maria lalu menggeleng-gelengkan kepala.
            “Habis, apa yang harus aku lakukan?” Tanya Maria lagi.
            Maria mundar-mandir di dalam biliknya dengan wajah yang resah. Kata-kata Mak Cik Tina terngiang-ngiang di telinga lagi.
“Buat pengetahuan Maria, kami berdua ada kertas istimewa kalau hendak berutus surat. Kertas itu berwarna putih dengan corak yang abstrak di atasnya. Sekarang ini, kertas yang ada dalam simpanan mak cik hanya berbaki sehelai dan mak cik telah menggunakannya untuk menulis surat terakhir mak cik untuk Mei Ling pada malam tadi.” 
            Maria tahu, wanita itu sedang ditimpa kekesalan yang mendalam tetapi dia tidak mengungkapnya. Sinar mata Mak Cik Tina yang semakin kelam itu seperti mencucuk-cucuk perasaan Maria. Walaupun Mak Cik Tina tidak meninggikan suara terhadapnya, Maria tahu wanita itu sedang berhiba hati dan dia yang menyebabkan semua itu berlaku!
            Maria mengeluh dan terus berfikir.
***
Zatul berkemas dan bersedia untuk pulang. Langkahnya diatur cermat dan berhati-hati, menuju ke kereta rakannya yang sudah menunggu di luar. Sampai sahaja di kereta temannya itu, dia berhenti melangkah dan matanya tertumpu ke arah sehelai kertas putih cantik yang melekap di cermin kereta itu. Tanpa berlengah, Zatul mencapai kertas yang sudah lusuh itu.
            ‘Diterbangkan angin agaknya,’ Fikir Zatul lalu membuka pintu kereta. Kertas putih itu dimasukkan ke dalam beg tangannya.
            “Assalamualaikum, Zatul! Awak sihat? Saya berasa sangat gembira dapat bertemu dengan awak pada hari ini,” Husna menegurnya ceria.
            “Waalaikumsalam, saya sihat dan saya sangat riang dapat melihat wajah awak hari ini,” Balas Zatul, bernada ceria juga.
            “Ayuh, kita ke pasar tani!” Kata Husna girang dan Zatul tersenyum-senyum melihat tingkahnya.
            Zatul sangat gemar melihat tingkah temannya yang selalu ceria itu. Husna teman baiknya sejak di universiti, yang memiliki wajah cantik seperti model. Dia tinggi, ramping dan langsing tetapi tidak pernah menyombong diri dengan kelebihannya itu.
            “Kenapa awak pandang saya begitu?” Husna menegur sambil tersenyum sipu-sipu.
            “Maaflah, saya tidak sengaja. Awak tahu bukan, saya suka melihat awak yang selalu ceria?” Kata Zatul dan Husna terus tersipu-sipu di ruang pemandu.
            Usai membeli sayur-sayuran dan lauk untuk hidangan makan malam, dua wanita muda itu pulang ke rumah Zatul. Husna sudah berjanji mahu tidur di rumahnya dan malam itu, mereka akan memasak bersama!
***
“Kertas apa yang awak ambil dari cermin hadapan kereta saya sewaktu pulang dari pejabat tadi?” tanya Husna sebaik membaringkan tubuhnya di atas katil.
            “Saya tidak tahu, kerana belum melihat isinya. Saya mengambilnya kerana corak pada kertas putih itu nampak cantik.” Balas Zatul yang sedang menyisir rambutnya.
            “Bukalah sekarang, saya mahu tahu isinya juga,” kata Husna tidak sabar. Wajahnya jelas mempamerkan rasa ingin tahu yang sedang beraja di hati.
            Zatul tersenyum lalu meletakkan sikatnya. Beg tangan yang tergantung di balik pintu dicapai lalu kertas putih itu dikeluarkan dari salah satu saku begnya.
            “Lusuhnya kertas ini!” kata Husna membingit secara tiba-tiba.
            “Itulah, kesan ditiup angin agaknya,” ujar Zatul.
            Perlahan-lahan, lipatan kertas putih itu dibuka. Zatul dan Husna yang berdebar-debar itu menahan nafas mereka.
            “Ke hadapan Mei Mei? Wah, surat cinta!” Husna teruja melihat ayat pertama di dalam kertas itu.
            “Tidak mengapakah kalau kita membaca surat orang lain?” tanya Zatul ragu-ragu lalu melipat semula kertas itu.
            “Surat ini melekap di cermin hadapan kereta saya. Kita perlu membaca surat ini, supaya kita boleh tahu siapa pengirimnya. Barulah kita tahu hendak memulangkan surat ini kepada siapa,” balas Husna yang masih teruja.
            Zatul berjeda sejenak sebelum mengangguk perlahan. Kemudian, kertas itu dibuka semula dengan berhati-hati dan dibentangkan di atas katil. Husna di sisinya memerhati dengan penuh minat.
Ke hadapan Mei Mei, sahabatku yang selalu diingati. Semoga kau selalu sihat dan cantik di samping timbunan kain dan kebaya cantik yang kau jahit dan sulam setiap hari. Semoga hidupmu selalu berwarna-warni umpama hamparan kain sutera yang indah.
            Mei Mei aku merindui dirimu, juga zaman nakal kita dahulu. Masihkah kau mengingati lelaki kacak yang kau panggil Arbain itu? Katamu, kau menggelarnya Arbain kerana dia orang ke-empat puluh yang kau kenali semasa hari pertama minggu orientasi. Kau belajar mengenal nombor dalam Bahasa Arab itu semata-mata mahu mengusiknya. Aku tahu, kau seronok melihat pipinya yang mudah merah apabila diusik itu. Apa khabar lelaki itu sekarang, ya? Aku harap dia gembira di sisi Siti Aminah yang menjadi pilihannya itu.
            Mei Mei, sudah lama aku berfikir mengenai impian kita. Bilakah agaknya perniagaan menjahit kita ini akan disatukan? Aku masih menyukai nama yang kita persetujui bersama itu. Kedai Jahitan dan Sulaman Mei Tin. Pasti kau masih menyukainya juga.
            Buat pengetahuanmu, aku sudah mempunyai seorang anak didik. Namanya Maria binti Abdul Muin dan dia budak yang baik. Aku memohon kepadamu, lupakanlah kemarahanmu kepada diriku, tidak kiralah apa jua penyebabnya. Aku harap, kau sudi menimbangkan semula segalanya supaya kita dapat bersatu sekali lagi.
“Kenapa kita masih menjadi ombak kalau kita boleh menjadi lautan?”
                                                                                                Salam sayang bertatah rindu,
                                                                                                Tina Kartina, Kampung Seman
Bahagian hujung lembaran itu terkoyak, membuatkan Zatul mencebik-cebik kecewa. Dia berasa bertanggungjawab memulangkan surat itu kepada pemiliknya. Husna juga hanya berdiam sesudah membaca surat itu.
            “Kampung Seman itu di mana?” tanya Husna selepas beberapa ketika.
            “Saya tidak tahu, tetapi rasanya itu bukan nama yang lengkap kerana bahagian hujung surat ini terkoyak,” balas Zatul jujur.
            “Kalau begitu, ayuh kita menyiasat!” Husna berkata riang dan Zatul mengangguk bersemangat!
***
Mak Cik Tina tidak menyediakan mi goreng dan nescafe panas pada hari itu. Maria semakin buntu kerana Mak Cik Tina sudah mula meninggalkan kebiasaannya. Dia khuatir akan keadaan kesihatan wanita yang semakin murung itu.
            “Tidak mengapalah, hari ini biar aku yang menyediakan semuanya. Semoga hatinya yang rawan terubat walaupun sekelumit.” Ujar Maria memberi semangat kepada dirinya sendiri.
            Sedang Maria menghidangkan sarapan, Mak Cik Tina keluar dari biliknya. Maria pantas mengukir senyuman namun wanita itu hanya membalasnya dengan pandangan kosong. Tidak berputus asa, Maria menjemput wanita itu bersarapan bersama-sama.
            “Hari ini saya masakkan mi goreng untuk mak cik. Marilah, nescafe panas juga sudah saya siapkan,” kata Maria lembut.
            “Siapa kata saya suka semua itu? Itu semua kegemaran Mei Ling, tahu!” Mak Cik Tina membentak dan Maria terduduk di kerusi.
            Kemudian, Mak Cik Tina masuk ke biliknya semula dan Maria termangu-mangu sendirian di ruang makan. Kata-kata Mak Cik Tina tadi berbekas di hatinya dan Maria tahu, dia harus membetulkan segalanya semula.
            “Aku harus mencari jalan menyatukan Mak Cik Tina dan Mei Ling!” Sekali lagi, Maria membulatkan tekadnya.
***
Sudah dua hari Rahman berada di Bandar Hilir. Hasratnya untuk menerjah Kampung Semantan bagi menjejaki wanita bernama Maria binti Abdul Muin terpaksa ditangguhkan dahulu. Dia harus menjejaki kedudukan wanita itu sebelum memulakan apa-apa langkah. Dia tidak mahu kes yang disiasatnya itu tertangguh lagi.
            Halaman lusuh yang penuh dengan maklumat kes pembunuhan kejam di sebuah kampung tidak jauh dari Bandar Hilir itu dibaca sekali lagi. Kes pembunuhan kejam itu masih belum selesai sejak 22 lalu dan pihak berkuasa memutuskan untuk menutup kes berkenaan setelah penyiasatan tergendala hampir sepuluh tahun kerana banyak bukti yang tidak jelas. Timbul rasa belas di hatinya apabila melihat gambar-gambar yang diambil di tempat kejadian. Ngeri! Badan wanita itu penuh dengan kesan tetakan, dan pembunuhnya masih bebas tanpa diadili!
Sebab itu, Azzah membuat keputusan mahu membuka semula kes itu setahun lalu dan sejak itu, Rahman berusaha keras menjejaki Anita binti Muhammad Iqbal yang menjadi petunjuk terakhir kes berkenaan. Namun, berita kematian wanita itu menyukarkan proses siasatan mereka berdua.
            Mujur Azzah telah bersedia dengan meletakkan mata-mata di Bank Musyawwarah Nasional. Tanpa maklumat mengenai tuntutan harta oleh pewaris Anita binti Muhammad Iqbal, pasti penyiasatan itu tergantung sekali lagi.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering, lalu dia menjawabnya tanpa ragu-ragu.
            “Assalamualaikum, Puan.”
            “....”
            “Ya, saya sudah berada di sini sejak malam kelmarin. Saya masih menanti berita dari pemberi maklumat kita.”
            “....”
            “Benarkah? Kalau begitu saya akan bergerak ke lokasi berkenaan sekarang juga.”
            Rahman mematikan panggilan dan terus menahan sebuah teksi berwarna hitam kuning. Rahman tersenyum nipis lalu memasang wajah yakin. Lokasi siasatan sudah dikenal pasti dan Maria binti Abdul Muin akan dijejaki!
***
Zatul dan Husna memulakan siatan mereka berkenaan ‘Kampung Seman’. Mujur, Husna seorang yang rajin bertanya dan selalu berkeyakinan tinggi. Jadi, tidak sukar untuk mereka mendapatkan peta Bandar Hilir dengan bantuan seorang pemandu teksi yang wajahnya berminyak.
“Jadi, ada berapa ‘Kampung Seman’ di Bandar Hilir ini?” tanya Husna. Matanya melirik ke arah Zatul yang sedang meneliti peta Bandar Hilir di tangannya itu. Sebuah buku nota kecil sudah tersedia di tangannya.
“Mengikut peta ini, ada Kampung Semantan, Kampung Semanggul dan Kampung Semangka,” ujar Zatul dengan riak yang serius dan matanya terus terpaku pada peta itu.
Husna terangguk-angguk dan terus mencatatkan maklumat itu di dalam buku notanya. Kemudian, dia menuliskan semula nama-nama kampung itu ke dalam tiga halaman berasingan diikuti dengan nama Mei Mei, Arbain dan Tina Kartina di bawahnya.
            “Mengapa awak menuliskan nama-nama kampung yang saya sebutkan itu di dalam tiga halaman berasingan?” Zatul bertanya dengan riak ingin tahu.
            Ujar Husna, “Saya sengaja berbuat begini, supaya kita tidak terkeliru dengan maklumat yang bakal diperoleh sesudah kita ke kampung-kampung ini,” dengan bersungguh-sungguh. Zatul mendengar penjelasannya dengan penuh perhatian, umpama seorang angkasawan yang sedang mendengar taklimat terakhir sebelum roketnya dilancarkan.
            “Baiklah, tetapi bukankah kita akan berhenti menyiasat kalau di kampung pertama kita sudah berhasil menemukan Tina Kartina?” Tanya Zatul lagi. Tanpa disedari, dia sudah menulis nama ‘Tina Kartina’ di sebuah halaman baru di dalam buku nota Husna.
            “Itu memang benar, tetapi bukankah lebih seronok jika kita berjalan-jalan di semua kampung ini? Lagipun, bukannya selalu kita berpeluang menjadi penyiasat.” Kata Husna teruja dan Zatul mula mengerutkan dahi.
            Zatul kemudiannya mengambil buku catatan Husna dan mereka berdua mula merangka kaedah siasatan yang harus dilakukan supaya Tina Kartina dapat ditemui, seterusnya Mei Mei dan Arbain dapat dijejaki. Masing-masing terus berbincang dengan wajah serius tanpa menyedari malam sudah semakin lewat.
***
Malam itu, Fauzi gagal melelapkan mata. “Aduh, mengapa saya asyik teringat-ingat wajah wanita yang saya rempuh petang tadi?” rungut Fauzi.
Wajah sugul wanita itu terus-menerus terlayar di ingatannya, sehingga mengganggu lenanya yang selalu damai itu. Dia berasa bersalah sehinggakan wajahnya yang selalu tenang menjadi kelam kerana tidak cukup tidur.
            Hampir satu minggu Fauzi berulang-alik ke Kedai Jahit-Sulam MK. Tujuannya, dia berharap untuk menemukan wanita berwajah sugul itu kerana wanita itu tidak pernah menghubunginya.
            “Surat apa yang dimaksudkan oleh wanita itu?” Gumam Fauzi dalam lamunannya. Janggutnya yang sejemput itu diusap beberapa kali sebelum dia berbaring sambil meletakkan tangan di belakang kepala. Fikirannya terus menerawang dan sekali lagi, dia tidak dapat melelapkan matanya.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape