Mar 22, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 6

Maria keluar dari kedai kecil itu dengan wajah yang gagal dibendung kekecewaannya. Ini kedai ketiga yang dijelajahinya setakat itu dan dia masih belum berhasil menemukan kertas putih bercorak abstrak itu.
            “Di mana lagi aku harus mendapatkan kertas putih untuk Mak Cik Tina?” Maria mengetuk kepalanya beberapa kali dengan perlahan. Dia berdiri tegak di luar pintu kedai itu dengan pandangan yang suram dan wajah yang kusam.
            “Cik, tolong berdiri jauh sedikit ya? Cik sedang menghalang laluan masuk ke kedai kami.” Seorang pekerja kedai kecil itu menegurnya dengan wajah takut-takut.
            Maria menoleh dan di sebalik cermin yang boleh menembus pandang itu, seorang lelaki berbadan besar sedang memandang ke arahnya dengan wajah keras. Pandangannya tajam, umpama seekor helang dewasa yang sedang memerhati mangsanya. Maria segera memohon maaf dan beranjak dari pintu masuk kedai kecil itu.
            “Cik mencari apa sebenarnya, sejak tadi cik pusing-pusing di dalam kedai saya tetapi tidak membeli apa-apa?” Lelaki berwajah keras itu sudah berada di sisinya dan menyoalnya dengan nada yang sangat serius.
            “Saya mencari kertas...” Maria menjawab perlahan kerana dia terganggu dengan wajah keras lelaki berbadan besar itu. Rasa gugupnya bertambah apabila lelaki itu bercekak pinggang di hadapannya dan salah seorang pekerja kedai itu juga sudah memandangnya dengan wajah berani.
            “Di dalam kertas saya ada beratus-ratus jenis kertas, tetapi cik tidak mengambil walaupun sehelai. Tahukah cik bahawa itu bukan sikap yang baik?” Lelaki berwajah keras itu terus bertanya tanpa mengambil peduli akan wajah Maria yang sudah tidak berwarna itu.
            “Sikap saya tidak baik, tetapi kenapa pula?” Maria bertanya setelah memberanikan diri.
            “Iyalah, cik asyik mundar-mandir di dalam kedai saya dan sesudah keluar pun cik tidak terus beredar sebaliknya berdiri sahaja di sini seperti sedang menanti sesuatu. Bukankah sikap itu mendatangkan persepsi negatif kepada bakal pelanggan saya yang lain?” Kata lelaki berwajah keras itu dengan nada yang lebih tenang dari sebelumnya.
            “Saya minta maaf kerana menyebabkan bakal pelanggan encik berprasangka. Saya tidak berniat langsung untuk menganiayai perniagaan encik.” Kata Maria dengan wajah gusar. Matanya meliar ke sekitar dan matanya segera bertembung dengan seorang lelaki berambut panjang yang sedang asyik memerhati perbualannya dengan pemilik kedai itu.
            “Saya bukan maksudkan tujuan cik menganiaya saya atau apa-apa yang seperti itu.” Lelaki berwajah keras itu berkata lagi, menyebabkan Maria semakin diburu perasaan cemas dan bersalah.
            “Apa yang encik maksudkan?” Tanya Maria cemas. Dia kemudiannya menelan liur dan berusaha memberanikan diri bagi mendengar jawapan lelaki berwajah keras itu.
            “Maksud saya, bukankah lebih baik kalau cik bertanya sahaja kepada mana-mana pekerja saya? Sikap itu lebih baik untuk pihak saya dan juga cik sendiri. Tidak perlulah cik menzalimi diri sendiri kerana orang yang zalim terhadap dirinya itu bukan orang yang baik.” Tutur lelaki berwajah keras itu lembut, tetapi Maria yang terkejut mendengarkan penjelasannya itu hanya mengerutkan dahi.
            Pekerja kedai yang ikut berdiri di sisi majikannya yang berwajah keras itu turut memasang wajah yang penuh tanda tanya. Nyata, dia juga tidak menyangka lelaki di sisinya itu hanya berniat menegur sikap Maria yang zalim terhadap diri sendiri itu.
            “Benar, memang sikap zalim terhadap diri sendiri itu bukan sikap yang baik. Maka, apa perkaitannya dengan encik?” Tanya Maria sesudah itu.
            Lelaki berwajah keras itu berdehem beberapa kali lalu menjawab, “Saya hanya memberi peringatan, selaku saudara seagama. Semoga cik tidak melupakan pesanan saya dan tidak mengulangi sikap ini di tempat lain.” Sejurus itu, dia tersenyum manis dan masuk ke kedainya semula. Pekerjanya juga menurut langkahnya dari belakang meninggalkan Maria melongo sendirian di situ.
***
Engku Saadiah dan Hariri Khan berdiri tegak di hadapan rumah Ketua Kampung Semantan dengan wajah bersemangat. Mereka sangat yakin bahawa Maria binti Abdul Muin yang dicari-cari itu bakal ditemui di sini. Kes yang sudah tertangguh selama dua puluh itu bakal selesai tidak lama lagi!
            “Assalamualaikum.” Hariri Khan memulakan langkah.
            “Waalaikumsalam. Encik berdua mencari siapa?” Seorang wanita bertudung hijau muncul di muka pintu rumah kayu itu. Wajahnya manis dengan senyuman, menyambut kehadiran tetamu yang sedang berdiri di bawah tangga rumahnya itu.
            “Saya Hariri Khan dan ini rakan saya, Engku Saadiah. Kami berhajat menemui Ketua Kampung. Dia ada di rumah?” Kata Hariri Khan sopan.
            “Oh, Tok Hassan belum pulang dari kebun. Saya hendak menjemput naik pun, tidak selesa rasanya tanpa ada orang lelaki di dalam rumah. Mohon Encik Hariri dan Cik Engku menunggu di tangga sahaja, boleh?” Wanita bertudung hijau itu berkata lembut, dengan riak tidak selesa yang jelas di wajahnya.
            Hariri Khan tersenyum nipis seraya berkata, “Tidak mengapa makcik. Kami memang lebih selesa menunggu di luar walaupun tidak disuruh.”
            Wanita bertudung hijau itu kemudiannya menghilang ke dalam rumahnya sebelum kembali menatang sedulang hidangan. Usai menghidang minuman, dia menemani kedua-dua tetamunya itu dan bersantai di bahagian atas tangga di depan rumahnya itu.
            “Anak berdua ini dari mana? Tengok gaya, macam bukan orang sini.” Wanita itu bertanya ramah.
            Hariri Khan yang baru selesai menjamah mi goreng yang dihidang oleh tuan rumah itu tidak menjawab soalan wanita itu sebaliknya dia menghirup air teh yang terhidang di hadapannya. Matanya melirik ke arah Engku Saadiah sebagai isyarat agar rakannya itu melayan pertanyaan wanita bertudung hijau itu.
            “Memang kami bukan orang sini, mak cik. Kami dari Kuala Lumpur.” Ujar Engku Saadiah dengan nada yang rendah.
            “Oh, orang bandar! Ada apa-apa datang jauh-jauh sampai ke sini mencari suami makcik?” Wanita bertudung hijau itu terus bertanya dan memanjangkan perbualan. Sambil-sambil itu, tangannya cekap mengatur piring kosong yang sudah digunakan oleh Engku Saadiah dan Hariri Khan. Dia kemudiannya berdiri dan bersedia menyambut kepulangan suaminya yang sedang berjalan ke arah rumah mereka.
            Hariri Khan dan Engku Saadiah yang perasankan kelibat seorang lelaki menghampiri rumah itu ikut bangun.
            “Assalamualaikum, kalian mencari saya?” Lelaki yang baru tiba itu bertanya ramah, walaupun wajahnya kelihatan penat dan dahinya basah dengan peluh yang tidak berhenti-henti mengalir.
            “Waalaikumsalam Tok. Maaflah kalau kedatangan kami mengganggu, tetapi kami berdua ada sedikit pertanyaan berkenaan Maria binti Abdul Muin.” Hariri Khan bertanya tanpa berlengah agar lelaki itu tidak perlu menunggu sehingga mereka pulang sebelum dapat  berehat.
            “Maria? Anak muda yang berwajah sugul itu? Kalau sekadar hendak bertanya hal itu, isteri saya juga tahu mengenainya. Dia sekarang tinggal dan bekerja dengan Kartina, tukang jahit di kampung kami.” Ujar ketua kampung itu sambil mengelap peluh yang asyik menitis di dahinya menggunakan kain putih yang disediakan oleh isterinya.
            Engku Saadiah dan Hariri Khan mendiamkan diri, menanti ketua kampung itu meneguk air dan menyelesakan dirinya. Mata mereka dihalakan ke arah isteri ketua kampung, mengharapkan wanita itu bersuara bagi pihak suaminya yang sedang melepaskan lelahnya itu.
            “Rumah Kartina tukang jahit itu berselang beberapa buah dari rumah kami. Atapnya berwarna merah, dan rumahnya adalah rumah kedua selepas simpang kecil di hadapan masjid itu.” Wanita bertudung hijau itu menjelaskan kemudiannya.
***
Husna membelokkan keretanya lalu memasuki simpang jalan yang bertulis ‘Kampung Semangka’. Kelajuan pemanduannya diperlahankan, kerana jalan kampung itu sedikit berbatu-batu dan dia tidak mahir memandu di atas jalan sebegitu.
            Zatul di sisinya berpaut kuat pada pemegang pintu kerana kereta itu sedang bergoncang kuat di atas laluan yang tidak rata itu. Pada masa yang sama, dia sibuk meneliti papan tanda dan nombor-nombor rumah di kiri dan kanan jalan agar tidak terlepas sebarang penunjuk arah ke rumah ketua kampung.
            “Husna, rumah ketua kampung ada di hadapan sana!” Jerit Zatul tiba-tiba. Wajahnya yang keletihan itu segera berseri dek keterujaan yang sedang memenuhi hatinya itu. Husna yang sudah kepenatan segera membuntangkan matanya, mencari kediaman ketua kampung yang disebutkan oleh Zatul itu.
            Sebuah rumah kayu yang sederhana besar berdiri megah di sisi sebuah masjid. Tidak ketinggalan, sebuah papan tanda bertulis ‘Ini Rumah Ketua Kampung Semangka’ terpasak gagah di halaman rumah tersebut, meyakinkan Zatul dan Husna itulah tempat tujuan mereka berdua kali ini.
            “Sebentar, saya parkir kereta. Kemudian kita turun bersama-sama! Jangan lupa berjalan dengan gaya peraga fesyen busana Muslimah, ya?” Kata Husna lalu mengenyitkan mata kirinya kepada Zatul sebaik sahaja keretanya dihentikan.
            Zatul menganggukkan kepalanya dan tergelak kecil melihat ulah temannya itu. Secara tidak sedar, perasaannya yang teruja itu berjaya ditapis dengan tawa manja yang terlepas dari mulutnya itu. Husna hanya tersengih nakal kepada temannya.
            “Semoga ketua kampung yang bakal kita temui ini adalah seorang lelaki yang baik hati dan tidak garang.” Kata Zatul dan Husna segera menelan liurnya yang tiba-tiba merembes dengan banyak itu.
            Seorang lelaki berkopiah putih sudah siap menunggu apabila Husna dan Zatul sampai di bawah tangga rumah itu. Lelaki itu memandang mereka berdua tanpa berkata apa-apa, tetapi dia menuruni anak tangga dan berdiri betul-betul di hadapan Husna yang sudah mula kecut perut dengan renungan lelaki tua itu.
            “Anak berdua ini siapa? Ada apa anak berdua ke mari?” Akhirnya, lelaki itu bersuara dan bibirnya meleretkan senyuman manis.
            “Saya Zatul dan ini teman saya Husna. Kami mencari Ketua Kampung Semangka. Adakah pakcik orang yang kami cari?” Ujar Zatul apabila teman di sisinya itu tersipu-sipu dengan bicara lembut lelaki tua itu.
            “Oh, anak berdua salah rumah. Saya bukan ketua kampung, nama saya Farid. Rumah Tok Ketua di seberang jalan sana.” Kata lelaki tua itu lalu terus tersenyum lebar.
            “Pak Cik Farid? Pakcik bukan ketua kampung? Tetapi, mengapa papan tanda itu...” Husna bertanya sesudah lelaki itu usai Pak Cik Farid berkata-kata. Matanya menghala ke arah papan tanda besar di hadapan rumah lelaki itu, yang terletak betul-betul di sebelah tempat dia memarkir keretanya tadi.
            Pak Cik Farid hanya tersenyum dan memasang wajah misteri. Dia berjeda agak lama kemudiannya, seperti sengaja membiarkan Zatul dan Husna yang mula keresahan itu tertanya-tanya.
***
Maria sudah letih pusing-pusing di Bandar Hilir, tetapi dia masih belum berjaya menemukan kertas putih bercorak abstrak seperti kertas istimewa Mak Cik Tina dan Mei Ling itu. Kerjanya sebagai pembantu tukang jahit itu juga tidak lancar, menyebabkan dia terus berasa hampa dan serba-salah. Sudah berhari-hari dia berasa kecewa dengan layanan dan tunjuk ajar Mak Cik Tina yang tidak sepenuh hati itu. Dia sudah letih menjadi ‘tukang susun benang’ yang sengaja dijungkir-balikkan oleh Mak Cik Tina, kerana semua benang itu telah disusun dengan kemas semasa dia baru bekerja di situ.
            Maka, hari ini dia memutuskan berjalan-jalan di bandar dan berusaha mencari kedai alat tulis yang menjual kertas istimewa itu. Namun, setelah hampir satu jam dia berlegar-legar di jalanan kedai alat tulis yang dicari masih jauh dari bayangan.
            Akhirnya, Maria berehat di sebuah perhentian teksi. Baru sahaja duduk di ruang menunggu yang lengang itu, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Ada panggilan dari Petaling Jaya! Maria mengerutkan dahinya, “Encik Adam Haikal lagikah?”
            Deringan itu mati apabila Maria menekan punat berwarna hijau di telefonnya itu.
            “Assalamualaikum.”
            “....”
            “Ada apa Kak Aqilah?”
            “....”
            “Pegawai Bank Musyawwarah Nasional?”
            “....”
“Baiklah, terima kasih untuk memaklumkan. Insya-Allah, sudah selesai semuanya saya akan pulang.”
            “....”
            Maria bingung memikirkan maklumat dari jirannya bernama Kak Aqilah itu. Dia berasa hairan dengan kunjungan dua orang pegawai Bank Musyawwarah Nasional ke rumahnya semasa ketiadaannya itu. “Mengapa dua orang pegawai? Ke mana Encik Adam Haikal pergi?” Itu fikirnya.
            Sesudah itu, Maria memasukkan telefonnya ke dalam tas tangannya semula. Tanpa sengaja, tangannya menyentuh sehelai kertas keras di dasar begnya itu. Lalu, dia mengeluarkan objek tersebut dan menelitinya.
            “Kertas apa? Fauzi Burhanudin ini siapa pula?” Maria bergumam dengan dahi yang berkerut-kerut. Puas dia berusaha mengingati wajah teman-teman dan kenalannya, namun dia gagal menjejaki gambaran wajah insan bernama Fauzi Burhanudin. Akhirnya, Maria menyerah kalah dan kembali membaca maklumat yang tertera di atas kad itu.
            “Pengedar alat tulis?” Maria membuntangkan matanya dengan iringan debaran yang sangat memuncak. Dia tidak sabar mahu menemui lelaki yang bakal menjadi penyelamat hidupnya yang kian malap itu! 

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape