Apr 2, 2012

Kisah Lelaki Tua & Gadis : Dunia Ini Penjara


Sebuah tin kosong melantun keras ke pembahagi jalan. Selepas melantun beberapa kali, akhirnya lantunan tin itu berhenti di hadapan seorang lelaki tua yang sedang tekun membaca.

Bunyi tin itu mengalih perhatian si lelaki tua. Lalu, dia memandang gerakan tin di hadapannya sehingga tiada lagi pergerakan dan bunyi yang terhasil. Kemudian, dia menguntum senyuman kecil dan menatap bukunya kembali.

Tetapi, sekali lagi bunyi tin menarik perhatiannya. Dia berkalih pandang dari bukunya lagi dan memerhati gerakan tin di hadapan kakinya sehingga berhenti.

Keadaan itu berulang sehingga tiga kali. Akhirnya, si lelaki tua melontar pandangannya jauh ke hujung jalan. Di situ, kelihatan seorang gadis sedang menendang tin-tin kosong yang bertaburan di tepi sebuah tong sampah.

"Rupa-rupanya, ada 'perang emosi' di hujung sana," ujar si lelaki tua lalu dia membaca kembali. Selepas itu, dia tidak lagi mengalih pandang dari bahan bacaannya. Bunyi tin yang melantun dan berputar-putar di hadapan kakinya dibiarkan sahaja.

Tidak lama kemudian, langkah si gadis sampai di hadapan si lelaki tua. Wajahnya berkerut-kerut saat dia melihat tin-tin kosong yang berterabur di hadapan kaki si lelaki tua. Menyedari ada pergerakan di hadapannya, si lelaki tua mengerling dan tersenyum kecil. Namun, senyuman itu segera disembunyikan dan dia terus berpura-pura tekun membaca.

Dek tanda tanya yang mengepung fikirannya, si gadis segera bertutur, "Pak cik, maafkan saya. Adakah ini semua tin yang saya tendang dari tong sampah itu?" sambil tangannya mengunjuk ke arah tong sampah di hujung jalan.

Mendongak, si lelaki tua mengangguk perlahan lalu menatap bacaannya kembali.

Si gadis segera menggigit jarinya perlahan dengan wajah yang dipenuhi rasa bersalah. Kemudian, dia menyambung bicara, "Mengapa pak cik tidak marah dan boleh asyik membaca walaupun diganggu bunyi-bunyi tin yang saya tendang ini?"

"Mengapa pula saya perlu marah?" Si lelaki tua bertanya balas.

Si gadis menggaru-garu kepala dan menerka dengan nafas yang tertahan-tahan, "Sebab bunyi yang bising itu boleh mengganggu tumpuan pak cik?"

Tekaan si gadis dijawab dengan ulas senyuman yang manis. Kemudian, si lelaki tua menutup bukunya dan berkata, "Mengapa kamu sepak tin-tin itu jika kamu tahu ia boleh mengganggu tenang orang lain?"

Si gadis terjelir kecil lalu meminta maaf. Kemudian, dia mengambil tempat di sisi lelaki tua itu.

"Apa yang mengganggu fikiran kamu? Mengapa marah-marah sampai begitu?" Tanya si lelaki tua tiba-tiba.

Lantas, si gadis menyambut, "Bagaimana pak cik tahu saya marah?"

Tersenyum, dia membalas lembut, "Saya juga pernah muda. Sekarang beritahulah, mengapa anak marah-marah tadi?"

Jawab si gadis, "Tiada apa-apa. Saya hanya marah kerana ibu dan ayah saya asyik melarang saya melakukan banyak perkara. Bosan, semuanya tidak boleh! Macam duduk dalam penjara!" tanpa sedar, dia meluahkan rasa.

Si lelaki tua mengangguk-angguk. Seketika kemudian, dia berseloroh, "Mengapa kata begitu? Apa kamu pernah masuk penjara?"

Cepat-cepat si gadis menekup mulut dan menggeleng-geleng.

Kemudian, si lelaki tua menyambung lagi, "Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang  Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Berkerut-kerut dahi si gadis, berusaha mencerap kata-kata si lelaki tua di sebelahnya itu. "Maksudnya?" Luahnya apabila fikirannya gagal mencerna maklumat baru itu.

Si lelaki tua menoleh dan ulas bibirnya  terus menyungging senyum. Kemudian, dia membalas, "Iyalah, dunia ini memang penjara bagi orang mukmin. Sebab kita tidak bebas melakukan banyak perkara. Kita tidak boleh berbuat jahat, tidak boleh merosakkan bumi. Kita juga perlu solat pada waktunya seperti banduan-banduan di dalam penjara yang harus bangun dan tidur pada waktunya. Maka, bersabarlah dengan semuanya kerana di akhir nanti kita akan menerima ganjaran terhebat dari Allah iaitu syurga."

Si gadis terdiam. Selepas seketika dia menyoal, "Tetapi, saya hanya marah kerana ibu melarang saya asyik menonton televisyen. Mengapa pula pak cik beri contoh yang berat-berat begitu?"

"Benar. Kamu hanya marah perihal larangan kecil dari ibu kamu, tetapi ada kamu fikirkan kesannya?" Tanya si lelaki tua membuatkan gadis itu termenung.

Kemudian, dia bersoal pula, "Maksud pak cik, kesan yang bagaimana? Bukankah sekarang saya sudah tidak marah-marah lagi?"

Lelaki tua itu tersenyum lagi. "Semasa kamu marah tadi, apa yang kamu lakukan?" Bukankah sekejap tadi kamu tendang tin-tin dari tong sampah itu?"

Gadis itu mengangguk-angguk dan matanya membulat! "Saya faham maksud pak cik! Membuat sampah itu juga termasuk dalam hal merosakkan bumi. Sebab itulah pak cik kata kita perlu selalu bersabar, sebab dunia ini memang seperti penjara!"

Si lelaki tua terus tersenyum apabila gadis itu bangun dan mengucapkan terima kasih dengan ceria.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape