Apr 3, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 7

 Bab 7
Oleh: Rahmah Mokhtar

Hariri Khan dan Engku Saadiah keluar dari halaman rumah Kartina dengan reaksi yang sukar dimengertikan. Mereka berdua tidak tahu sama ada hendak berasa kecewa dan berputus asa, atau sebaliknya. Sekali lagi, penyiasatan mereka menemui jalan buntu apabila wanita bernama Kartina itu menyatakan Maria binti Abdul Muin sudah dihalau keluar dari rumahnya!
            Hariri Khan mengeluh panjang, dan menyemak semula senarai maklumat di dalam buku notanya. Engku Saadiah pula melekakan diri dengan memeriksa senarai pesanan ringkas di dalam kotak mesej ditelefon bimbitnya. Nyata, masing-masing enggan berputus asa walaupun riak mereka jelas hampa.
***
Maria menatap foto hitam putih itu dengan perasaan sebal. Hatinya pedih setiap kali dia memaksa dirinya menerima hakikat bahawa dia mempunyai seorang ayah. Ayah yang tidak pernah ditemui. Ayah yang tidak pernah memeluknya apabila dia mendapat khabar gembira. Ayah yang tidak pernah menepuk belakangnya setiap kali dia bersedih.
            “Apa khabar ayah sekarang? Mengapa Makcik Anita merahsiakan cerita mengenai ayah daripada pengetahuanku?” Maria bergumam sendirian di hujung malam.
            Perlahan-lahan, dia menutup matanya yang belum mengantuk itu.
***
Lelaki berusia itu membuang pandangan ke hujung laman yang baru sahaja dibersihkan. Kosong. Matanya yang dipenuhi  raut kesedihan itu berkaca-kaca.
            “Maafkan abang, abang tidak tahu bagaimana mahu mencari anak kita. Maafkan ayah, sayang. Ayah tidak tahu hendak berbuat apa.” Hatinya berkata-kata. Air matanya menitik lagi.
***
Maria berjalan perlahan-lahan memasuki bangunan berwarna putih itu, umpama seorang pencuri yang sedang melangkah masuk ke dalam rumah mangsanya. Kakinya yang melangkah yakin pada awalnya, mula bertatih-tatih. Bangunan putih itu terlalu luas untuk diterokai bersendirian, sementara hatinya mula dipagut resah. Bangunan itu sangat sunyi!
            “Ke mana penghuni tempat ini? Mengapa sunyi benar?” Hatinya berdetak.
            Bunyi kenderaan menderum dari arah belakang, dan Maria segera menoleh. Cahaya yang kuat memancar dari arah bunyi itu datang dan menyilaukan pandangannya. Maria cemas dan terduduk di atas lantai bangunan itu, lalu dia menjerit kuat-kuat.
            Semasa Maria asyik menjerit, cahaya itu terpadam dan bunyi deruman itu turut senyap. Rupa-rupanya sebuah kereta yang memasuki ruang itu sekejap tadi. Seorang lelaki keluar dari kereta itu dan memasang wajah hairan. Dahinya berkerut-kerut sehingga manis wajahnya itu tersembunyi di sebalik garis-garis wajahnya yang penuh kerutan itu.
            Lelaki yang keluar dari kereta itu berjalan ke arah Maria dengan wajah yang masih hairan dan gusar. Langkahnya yang pendek-pendek itu diatur kemas dan pantas, dan akhirnya dia berlutut di sisi Maria yang masih pucat wajahnya itu.
            “Ada apa cik? Boleh saya bantu?” Kata lelaki itu prihatin melihat Maria asyik menggosok-gosok kakinya.
“Tiada apa-apa, saya terkejut sahaja dengan kemunculan encik. Bangunan ini sunyi benar, sebab itu saya takut.” Ujar Maria jujur. Lelaki itu pantas tersenyum manis sebaik sahaja mendengar penjelasan Maria.
“Oh, bangunan ini memang selalu sunyi terutamanya di bahagian ini. Ini tempat pemunggahan barang-barang ke dalam lori. Kami baru sahaja selesai memunggah barangan dan menghantar semuanya ke kedai pelanggan-pelanggan kami. Sebab itu sunyi macam ini.” Jelas lelaki itu panjang lebar. Dia bangun, lalu berdiri tegak menanti Maria yang masih terduduk itu berdiri.
“Marilah, kita bercakap panjang di ruang pejabat. Saya Taruna, pekerja di sini.” Lelaki itu memperkenalkan diri dan memandu langkah Maria.
“Saya Maria.” Kata Maria dan segera menyaingi jejak Taruna.
***
“Kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Kalau takut ditetak parang, usah berani mengasah matanya!” Rahman bersuara tiba-tiba. Wajahnya keras, membayangkan dia sedang dilanda perasaan yang berat.
            “Mengapa dengan awak, berombak-parang tiba-tiba begini?” Azzah bertanya sambil menjungkit keningnya.
            “Tiada apa-apa sebab yang pasti, cuma saya terasa mahu mengucapkannya. Sekarang, saya rasa lebih bersemangat!” Kata Rahman dan hidungnya kembang-kempis dek hembusan nafasnya yang lebih laju daripada biasa itu.
            Azzah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah rakan sekerjanya yang berbeza pada hari itu. Entah angin apa yang mengganggu edaran fikiran temannya itu.
            “Err, sebenarnya saya sedang terkenangkan kes pembunuhan yang kita siasat ini. Wanita itu dibunuh dengan kejam, macam ditetak berkali-kali dengan parang. Sebab itu saya ‘berparang-parang’ hari ini.” Kata Rahman kemudiannya. Wajahnya yang merah dan bersemangat itu bertukar serius.
            “Oh, sebab itu rupanya. Kalau mengikut keadaan mayat, memang kita simpulkan dia ditetak tetapi tidak dapat dipastikan senjata pembunuhan yang sebenar. Kamu pun tahu yang senjata pembunuhan tidak pernah ditemui sampai sekarang.” Ujar Azzah lagi. Matanya asyik meneliti gambar-gambar lama yang diambil dari tempat kejadian 22 lalu. Fikirannya tumpul mencari teori dan fakta bagi menyelesaikan kes itu. Sampailah sekarang, belum ada apa-apa petunjuk baru yang boleh melicinkan penyiasatan mereka, apatah lagi dengan kematian Puan Anita binti Muhammad Iqbal.
***
“Encik Fauzi, ada tetamu mahu bertemu.” Taruna memberitahu majikannya mengenai kedatangan Maria. Lelaki itu yang sedang sibuk membaca dokumen mengangkat kepalanya lalu mengangguk perlahan. Sikat di dalam sakunya segera dicapai lalu rambutnya yang berminyak itu disisir kemas-kemas.
            “Assalamualaikum, encik. Nama saya Maria dan saya perlukan bantuan encik.” Maria yang muncul kemudiannya memperkenalkan diri dan berdiri tegak di hadapan Fauzi.
            “Waalaikumsalam. Ya, sudah tentu Cik Maria. Saya juga perlukan bantuan cik kerana saya asyik teringat-ingat surat yang cik cakapkan itu.” Fauzi berkata dengan nafas bercelaru kerana dia terkejut melihat kemunculan wanita berwajah sugul itu.
Maria diam dan terus tertegak di hadapan lelaki itu, kerana dia berasa pelik mendengarkan kata-kata lelaki itu. “Kenapa dia teringat-ingat pula?” detak hatinya.
Fauzi lalu mengisyaratkan agar Maria duduk sementara dia merapikan rambutnya bagi menghilangkan perasaannya yang kalut itu. Setelah duduk, Maria masih mendiamkan diri dan menanti lelaki itu bersuara.
“Sebenarnya, ada apa Cik Maria datang?” Tanya Fauzi akhirnya.
Maria yang cemas melihat sikap lelaki yang suka menyisir rambut itu segera bernafas lega. Dia sudah berencana mahu keluar dan berbincang dengan Taruna yang lebih mudah menghulurkan bantuan berbanding lelaki yang asyik merapikan rambutnya itu.
“Ada perkara yang memerlukan bantuan Encik Fauzi. Err... minta maaf bertanya, tetapi kenapa Encik Fauzi asyik menyikat rambut sahaja dari tadi? Ada kutukah?” Maria bertanya apabila lelaki itu mencapai sikat dari sakunya sekali lagi.
“Eh, bukan begitu. Tahukah cik bahawa rambut yang selalu disisir itu akan mempunyai tekstur yang lebih baik berbanding rambut yang dibiarkan tanpa disisir?” Kata Fauzi penuh bersemangat.
“Lalu?” Maria bertanya dengan wajah tiada riak menyebabkan Fauzi berasa tercabar dengan pertanyaan-pertanyaan wanita itu yang seolah-olah merendahkan kelebihan dirinya.
“Jadi, ini satu bukti yang saya tidak memakai rambut palsu!” Fauzi membentak kerana desakan emosinya. Maria terkejang di kerusinya, dan wajahnya semakin sugul menelan kemarahan lelaki yang baru dikenalinya itu. ‘Apa kaitannya dengan rambut palsu?’ Fikir Maria.
Wajah tegang Fauzi beransur-ansur padam apabila dia melihat kemurungan Maria. Rasa bersalahnya datang kembali. “Mengapalah aku beremosi begini?” Desir hatinya yang mula dipagut sesal itu.
“Minta maaf, saya tertinggi suara dengan Cik Maria. Sebenarnya Cik Maria mahu bantuan yang bagaimana ya?” Tanya Fauzi dengan nada yang cuba ditenangkan.
“Begini...” Lalu Maria berkisah panjang mengenai surat Makcik Tina buat Mei Ling yang hilang sewaktu dia dirempuh seorang lelaki. Air muka Fauzi berubah kelat setiap kali Maria menyebut ‘lelaki yang merempuhnya di hadapan kedai Jahit-Sulam MK’ tetapi dia berdiam sahaja apabila Maria seperti terlupa bahawa dia adalah orang yang dimaksudkan itu!
***
“Mengapa rumah ketua kampung terletak di tempat lain sedangkan papan tanda ini jelas di sini?” Husna masih bertanya walaupun Pakcik Farid terus mengukir senyuman penuh misteri. Zatul mula berasa seram sejuk melihat senyumannya yang penuh dengan maksud tersembunyi itu.
            “Pak Cik Farid, janganlah buat kami begini! Ini bukan drama sinetron!” Akhirnya Husna yang semakin dihambat perasaan tidak sabar menjerit nyaring. Senyuman misteri di wajah lelaki tua itu pantas menghilang.
            “Bagaimana kamu tahu cita-cita pakcik?” tanya Pak Cik Farid. Wajah Zatul yang pucat itu semakin pucat dan bulu romanya meremang mendengarkan jawapan lelaki tua itu.
            “Eh, cita-cita apa yang pak cik maksudkan?” Tanya Husna tanpa mempedulikan Zatul yang asyik menarik-narik lengannya itu.
Lelaki tua itu tertawa besar melihat tingkah Husna dan Zatul yang tidak keruan itu. Dia juga kagum kerana gadis yang tampak pemalu itu berani bersuara walaupun dia asyik membalasnya dengan senyuman misteri sejak tadi.
“Bukankah tadi kamu sebut mengenai drama sinetron? Itu cita-cita pak cik sejak remaja. Pak cik teringin benar melihat wajah sendiri di dalam drama sinetron. Jadi, pak cik asyik berlatih dari dahulu lagi.” Kata lelaki tua itu apabila Husna mula menarik tangan temannya dan bersedia untuk melangkah pergi.
“Jadi, apa perkaitan cita-cita pak cik dengan papan tanda rumah ketua kampung ini?” Zatul bertanya jujur, membuatkan lelaki tua itu tersenyum sekali lagi.
“Kalau saya tidak meletakkan papan tanda itu, tiada sesiapa yang mahu singgah ke sini. Semuanya asyik ke rumah Tok Ketua sahaja. Jadi, saya sengaja meletakkan papan tanda itu supaya orang-orang yang hendak mencari ketua kampung akan ke sini terlebih dahulu. Manalah tahu ada penerbit atau pengarah drama sinetron mencari ketua kampung, dapat juga pakcik mencuba nasib,” ujar lelaki tua itu. Husna dan Zatul hanya terangguk-angguk mendengar ceritanya.
“Kalau begitu, rumah ketua kampung yang sebenar ada di mana?” Tanya Husna.
“Rumah Tok Ketua hanya berselang dua rumah dari sini,” kata lelaki tua itu lalu menuju ke pintu rumahnya dengan wajah murung.
“Pak cik usah risau! Teruslah yakin dan berusaha, insya-Allah suatu hari nanti pengarah yang dinanti-nanti itu akan sampai ke pintu rumah pak cik!” Balas Husna bersemangat, agar lelaki tua itu tidak bersedih lagi. Selesai dia berbicara, lelaki tua itu mengangkat ibu jarinya dan segera tersenyum lebar. Zatul yang masih pucat juga tersenyum akhirnya.
***
“Jadi, sekarang tugas kita adalah memastikan Mak Cik Tina dapat menulis surat di atas kertas putih bercorak abstrak, supaya Mei Ling sudi membacanya,” teka Fauzi usai Maria bercerita.
            “Ya, itulah cadangan saya kerana Mak Cik Tina dan Mei Ling hanya berutus surat menggunakan kertas istimewa itu,” ucap Maria serius.
            Fauzi mengerutkan dahinya beberapa kali, dan sekejap-sekejap matanya berkalih dari komputer dan wajah Maria. Halaman yang mengandungi maklumat pembekal-pembekal dan pembuat kertas di skrin komputernya diperhatikan dengan cermat. Sesekali, matanya melirik ke arah Maria yang asyik menundukkan wajahnya itu.
            “Cik Maria masih ingat bagaimana corak kertas putih itu?” Tanya Fauzi Burhanudin sambil meneliti komputernya.
            “Ya, saya ingat dengan jelas kerana saya sangat sukakan corak di atas kertas itu. Kerawang-kerawang yang timbul di bahagian tengah kertas itu sangat menarik perhatian,” jelas Maria teruja. Kali ini, dia tersenyum girang dan Fauzi senang melihat wajah riangnya itu.
            Lalu, mereka berdua mula berbincang panjang mengenai corak kertas yang diperlukan oleh Maria. Dengan pengetahuan dan kemahirannya menggunakan aplikasi grafik, Fauzi tidak menghadapi banyak masalah untuk melukis semula corak kertas itu.
            “Sudah siap! Sekarang, kita perlu mencari pembuat yang menyediakan kertas bercorak sebegini,” luah Fauzi riang. Wajahnya puas, kerana dia berjaya membuat sesuatu menggunakan kemahirannya.
            “Bagaimana saya boleh membantu untuk urusan yang itu?” Tanya Maria.
            “Tidak perlu, ini bahagian saya. Biarlah saya yang berurusan dengan kenalan saya. Sekarang, Cik Maria hanya perlu duduk diam-diam dan menunggu berita dari saya,” ujar Fauzi Burhanudin lagi.
            “Mana boleh! Ini urusan yang melibatkan saya, mana mungkin saya boleh berdiam diri dan menjadi pemerhati sosial sahaja!” Maria membantah, kerana merasakan Fauzi mahu membuangnya dari urusan itu.
            Fauzi mengerutkan dahinya mendengar bantahan Maria itu. Fikirannya kusut melihat kesungguhan Maria yang mahu terlibat dalam urusan mencari pembekal kertas bercorak abstrak itu. Lalu, dia memandang imej wajah wanita itu yang terpantul di cermin mejanya lama-lama bagi mencari penyelesaian terbaik dalam perkara itu.
            “Saya bukannya tidak mahu Cik Maria terlibat dalam urusan ini, tetapi kalau setakat bertanya lebih baik saya yang berurusan dengan kenalan-kenalan saya, apatah lagi ini bukan soal syarikat. Selepas pembekal dikenal pasti, barulah Cik Maria tampil dan berbincang lanjut dengan orangnya,” Ujar Fauzi kemudiannya. Wajahnya tenang, supaya amukan emosi Maria itu surut.
            “Bukankah setiap apa yang berlaku itu ada sebabnya yang tersendiri? Yakinlah begitu dalam hal ini juga,” kata Fauzi lagi apabila Maria hanya menjeling ke arahnya.
            Maria hanya berdengus, dan segera bangun dari kerusinya sesudah Fauzi selesai berkata-kata. Dia kemudiannya berlalu dengan wajah yang semakin sugul. Fauzi bertambah resah dengan tingkah wanita itu namun dia hanya membiarkan.
            ‘Bersabarlah, Maria. Kau akan melihat kebaikan di sebalik semua kesulitan ini tidak lama lagi,’ desis Fauzi di dalam hati. Matanya memandang arah Maria pergi dan ada rasa halus yang singgah di dalam hatinya.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape