Apr 3, 2012

SURAT CINTA BUAT PAPA


Seorang wanita termenung di meja tulis. Sehelai kertas kosong di atas meja dipandang. Lama. Sesekali, dia mendongak, mengeluh dan memandang kertas itu lagi.

Perlahan-lahan, dia mencapai bekas pensel di hujung meja. Jemarinya yang runcing itu kemudiannya mengeluarkan sebatang pen biru dengan cermat sebelum kotak pensel itu diletakkan semula ke tempatnya.

Mata pen diletakkan di atas kertas, namun tidak digerakkan membuatkan dakwat biru pen itu membentuk tanda bulat di situ. Semakin lama, semakin besar bulatan itu. 

Akhirnya, si wanita mengangkat mata pen dan mula menulis kata pertamanya. 

'Salam maaf, buat ayahanda tersayang.'

Itu ayat pertama yang tertulis. Kemudian, gerakan pen itu terhenti lagi. Dia berkeluh lagi sebelum meletakkan pen itu di atas meja. Selepas itu, dia berdiri dan menuju ke tingkap. Dia tersenyum setiap kali angin malam lembut menyapa pipi.

Selepas beberapa ketika, dia kembali ke meja tulis. Menyambung tulisannya lagi.

'Anakanda memohon maaf. Tiada niat di hati mahu membuat yang tidak-tidak, terutamanya kepada ayahanda. Mulut ini ternyata, terlalu berat mahu mengungkap kata di hadapanmu. Apatah lagi, setiap kali merenung matamu yang selalu berkaca-kaca semenjak bonda pergi. Maafkan anakanda jika tindakan ini menambah beban di hatimu.

Hiba. Saat ini, hatiku hanya penuh dengan rasa ini. Mahu bercerita, anakanda tidak kuat melawan air mata. Mahu memeluk dan membalas pelukanmu, anakanda juga tidak akan kuat melawan rasa. Maafkan anakanda.'

Dia berhenti menulis lagi. Kali ini, tangannya menyeka air mata yang mengalir ke pipi. Dia mengembungkan pipi, berkali-kali. Kemudian, dia menulis kembali.

'Anakanda tahu, anakanda sedang menjadi anak yang tidak baik kerana menyusahkan hati orang tuanya. Untuk itu, maafkan anakanda. Sesungguhnya, anakanda enggan menangis di hadapanmu. Cukuplah kalau Allah yang melihat dan mendengar tangisan ini. Maafkan anakanda, kalau itu mengguris hati tuamu.

Katamu, anak-anak adalah dugaan kepada ibu dan bapa. Menjadi salah satu ujian yang tidak pernah putus itu, maafkan anakanda. 

Maafkan anakanda kerana menjadi patung bisu yang tidak meluahkan rasa.
Maafkan anakanda kerana menjadi anak yang tidak baik.
Maafkan anakanda kerana menyimpan semuanya di dalam hati.
Maafkan anakanda kerana tidak mampu tersenyum.
Untuk semua ini, maafkan anakanda.

Salam maaf. Maafkan anakanda kerana menyayangi dengan cara begini. Semoga masa mengubat segalanya.' 

Dia meletakkan pen. Air mata yang sedang mengalir disapu perlahan. Kemudian, dia tersenyum dengan payah selajur berkata, "Alhamdulillah."

3 comments:

Anonymous said...

tak faham langsung

Anonymous said...

sedihnya.. :'(
rindunya pd abah..
sy tetap yakin.. abah fhm anak2 dy..
anak2 yang nak bg kekuatan..
even kita, si anak xpernah ucapkan lafaz itu..
sbb.. dia, si abah yg menjaga kita..
melihat kita sejak lahir smpai hari ni..pasti dia mengenali setiap tingkah si anak..senyum kita..sedih kita..diam kita..mata kita.. dah jelas pd dia..

abah...kuatlah..doa'ku sentiasa buatmu.. aq ingin bersamamu di syurga abadi..pasti xmustahil kan? Nabi pernah ckp di syurga kita akan tinggal dgn org yg kita syg..aq cinta Rasulullah..aq cinta Allah..aq syg umi..aq syg abah..aq syg adikk2..aq syg shbtku..aq syg semua di sini..mg kita bersama selamanya.. amin..

Anonymous said...

Terima kasih atas komen kalian. Ini sekadar luahan seorang anak yang berusaha menahan rasa sendiri kerana takut mahu bergembira.

Rahmah mokhtar

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape