Apr 9, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 8


[8]
“Assalamualaikum, Tok Ketua!” Husna memberi salam dari bawah tangga. Nafasnya masih termengah-mengah kerana dia dan Zatul memilih untuk berjalan kaki ke rumah ketua kampung.
            “Waalaikumsalam, anak berdua ini siapa?” Seorang lelaki berkopiah hijau yang hampir sebaya lelaki tua di rumah ada papan tanda itu menyambut huluran salam Husna di muka pintu.
            “Saya Husna, dan ini teman saya Zatul. Kami berdua hendak bertanyakan beberapa soalan dengan Tok Ketua, boleh?” Ujar Husna yang masih termengah-mengah.
            Lelaki berkopiah hijau itu menuruni anak tangga rumahnya perlahan-lahan dengan wajah yang ramah. Dia tersenyum manis sambil menanti Husna dan Zatul memulihkan sistem pernafasan mereka. Ikut di belakangnya, seorang anak gadis yang masih remaja. Wajahnya mulus dan dia tersipu-sipu di belakang lelaki tua itu apabila Husna dan Zatul memandang ke arahnya.
            “Saya Tok Leman, ini anak perempuan saya yang bongsu, Akma.” Kata lelaki berkopiah hijau itu.
            Husna dan Zatul berbalas-balas senyum dengan anak remaja bernama Akma itu. Mereka kemudiannya bersalaman dan berjalan di belakang Tok Leman dan Akma, menuju ke atas rumah Tok Leman.
            “Ada apa kalian ke sini? Tanya Tok Leman sebaik sahaja mereka berempat duduk di atas sofa di ruang tamu rumahnya.
            “Kami mahu bertanyakan, kalau-kalau ada sesiapa bernama Mei Mei atau Tina Kartina di kampung ini.” Husna memberi penjelasan dengan tenang. Patah-patah bicaranya meluncur jelas dari mulutnya dan Tok Leman yang mendengar mengerutkan dahinya.
            “Rasanya tidak pernah pula saya mendengar nama-nama itu walaupun saya pernah mengenali dua orang wanita bernama Mei Mei dan Kartina suatu masa dahulu.” Wajah Tok Leman mendung ketika dia mula bercerita. Husna dan Zatul memasang wajah penuh minat, supaya lelaki tua itu tidak tenggelam dalam keteduhan emosinya sendiri lalu meneruskan ceritanya.
            “Sudah lama kami berpatah arang, sejak Mei Ling marahkan saya. Entah di mana silapnya, Tok tidak tahu. Dia marah benar apabila Tok memberitahu menengenai perkahwinan Tok dengan Siti Aminah.” Tok Leman berkisah lagi, apabila dua anak muda di hadapannya itu memerhatikannya dengan wajah teruja. Anak perempuannya juga tidak berkelip mata sejak tadi.
            “Siti Aminah itu nama arwah ibu, kan ayah? Kenapa Mei Ling marah ayah mengahwini ibu? Dia kekasih ayah semasa mudakah?” Ringan mulut Akma bertanya. Husna dan Zatul termuncung-muncung mendengar soalan Akma yang mendahului mereka berdua yang masih sibuk berlaga siku sesama sendiri itu.
            “Benar, itu nama arwah ibu kamu. Kekasih? Bukan, dia salah seorang teman ayah di kampus. Teman yang baik hati, tetapi kegemarannya yang suka mengusik ayah itu sangat pelik.” Kata Tok Leman lalu tersenyum lebar seperti ada perkara yang menggeletek perasaannya. Zatul, Husna dan Akma hanya diam dan memerhati tingkahnya yang sudah hilang dalam kenangan itu.
            “Jadi, tiada Mei Mei atau Tina Kartina di kampung ini?” Tanya Husna tiba-tiba.
            “Err..tiada.” Wajah Tok Leman mendung kembali, dan pantas Husna berasa bersalah melihatnya.
            “Maaf, Tok. Saya tidak berniat hendak memotong cerita Tok, tetapi saya...” Kata Husna buru-buru tetapi bicaranya tidak sempat dihabiskan apabila Tok Leman memotong percakapannya.
            “Tidak mengapa. Ada baiknya kamu menegur dan menghentikan ingatan saya itu tadi kerana mengingati kisah silam itu sahaja sudah cukup memeritkan.” Ujar Tok Leman lalu mengarahkan anaknya yang sejak tadi setia duduk di ruang tamu ke dapur dan menyediakan sesuatu buat tetamu-tetamu mereka itu.
            Kemudian, Husna dan Zatul mengikut langkah Akma menuju ke dapur sementara Tok Leman masuk ke biliknya.
            “Akma tidak pernah tahu apa-apa mengenai kisah silam Tok Leman?” Tanya Husna bersahaja. Zatul yang terkejut mendengar soalan temannya itu pantas berjegil mata tetapi Husna hanya membalas dengan menjelirkan lidahnya.
            “Tidak banyak yang saya tahu, tetapi saya pernah lihat ayah begitu terganggu semasa membaca suatu berita mengenai kisah pembunuhan kejam. Wajah ayah sungguh keruh masa itu, jauh lebih teruk dari wajah ayah semasa menceritakan kisah silamnya tadi.” Jawapan Akma memeranjatkan Husna! Zatul yang berjegil mata terus terbelalak!
***
 “Apa guna pungguk merindu, kalau bulan tidak akan menjelma. Dari hidup tanggung derita, baiklah patik bersama-sama.” Ucap Fauzi ketika makan tengah hari.
            “Encik Fauzi, mengapa bermadah-madah begini pula? Siapa pungguk, siapa pula bulan?” Zatul yang sedang menggaul nasi di dalam pinggannya. Tangannya yang baru hendak mengangkat suapan pertama ke mulut itu terhenti.
            “Tiada apa-apa, saya menonton sebuah drama malam tadi dan asyik teringat-ingat sampai sekarang. Kisah cinta di antara dua orang anak muda yang mengkaji seni jahitan dan rekaan baju kurung, membuatkan saya belajar menghargai keindahan pakaian tradisi kita.” Kata Fauzi lagi dan dia tersenyum manis.
            “Cerita itu membuka sejarah seni jahitan baju kurung?” Tanya Zatul yang didesak rasa ingin tahu.
            “Tidak pasti, kerana saya sempat menonton bahagian awalnya sahaja. Lagipun, masih episod awal. Tidak tahulah bagaimana plot-plot seterusnya, tetapi tajuknya sudah cukup membuatkan saya tertarik memerhati semula seni jahitan baju kurung.” Fauzi terus berujar dalam senyuman.
            Zatul tersenyum melihat lengkuk di bibir majikannya yang semakin melengkung itu lalu meneruskan suapannya yang terhenti sebelumnya. Dia membiarkan sahaja lelaki itu bergembira, kerana sudah beberapa hari majikannya itu asyik resah-resah sehinggakan dia sudah tidak menyisir rambutnya sekerap selalu! Dan apabila lelaki itu berkelakuan begitu, Zatul tahu ada sesuatu sedang mengganggu tenangnya. Sebab itu, dia gembira melihat riak Fauzi kala itu.
            “Encik Fauzi sibuk dengan urusan apa semasa saya bercuti tempoh hari? Saya lihat, ada banyak kertas laporan faks di tepi mesin faks. Kenapa tidak tunggu sehingga saya kembali bekerja?” Tanya Zatul sebaik sahaja selesai mengunyah suapan terakhirnya.
            “Oh, ada urusan sedikit. Saya hendak membantu seorang hamba Allah yang sedang kesusahan. Tidak perlulah saya menunggu awak untuk fakskan semua itu. Kerja-kerja awak pun sudah banyak, untuk ditambahkan dengan hal-hal saya itu.” Ujar Fauzi yang juga sudah selesai menghabiskan makanan di dalam pinggannya.
            “Oh, tidak mengapa. Kalau mahu membantu orang, saya tiada masalah bagi meluangkan masa.” Kata Zatul bersemangat kerana dia memang suka membantu orang yang susah.
            Fauzi tidak berkata apa-apa, sebaliknya dia mengangguk-anggukkan kepalanya lalu mengukir senyuman nipis. Wajahnya tampak tenang, bak anak kecil yang sedang lena di pangkuan ibunya. Zatul kemudian membuka mulutnya dan bersedia hendak bertanya lagi, tetapi kata-katanya tersimpan di tenggorok apabila telefon bimbit Fauzi berdering memecah hening.
            “Assalamualaikum, Encik Zul!” Fauzi menjawab panggilan itu dengan bersemangat. Wajahnya segera girang sejurus dia menjawab panggilan itu.
            “....”
            “Benarkah? Bila saya boleh bertemu janji dengan encik? Insya-Allah, saya akan bawakan rakan saya itu bersama.”
            “....”
            “Kalau begitu, baiklah!”
            Fauzi menyimpan telefon bimbitnya ke dalam saku seluarnya semula. Wajahnya kelihatan sangat ceria dan teruja seperti anak kecil yang baru sahaja mendapat permainan kereta kawalan jauhnya yang pertama!
            Dengan ekspresi wajah yang masih bersemangat, Fauzi segera bangun dari kerusinya dan membuka langkah lebar-lebar menuju ke bangunan pejabatnya. Zatul yang terkejut dengan tindakan mendadaknya itu terkocoh-kocoh bangun dan berlari menyaingi langkahnya itu.
            “Kenapa, encik? Siapa yang memanggil tadi?” Tanya Zatul termengah-mengah. Badannya disandarkan ke pintu pejabat majikannya, kerana tenaganya seperti sudah luruh semuanya, dek aturan langkahnya yang lebih laju berbanding biasa itu.
            “Awak masih ingat akan Encik Zul, pembekal kita dahulu? Dia yang menghubungi, katanya dia boleh membantu dalam urusan yang saya cakapkan tadi.” Ujar Fauzi.
Zatul mengerutkan dahi dan memuncungkan bibirnya beberapa kali. Fauzi yang sedang sibuk menyemak dokumen di dalam sebuah fail mengangkat kepalanya, apabila pekerjanya itu tidak bersuara.
“Mengapa dengan kamu? Ada apa-apa yang mahu dikongsikan dengan saya?” Tanya Fauzi apabila Zatul masih tegak di pintu pejabatnya.
“Oh, maaf. Tiada sebarang hal penting, cuma kalau encik mahukan bantuan saya dalam menguruskan hal itu, maklumkan sahaja.” Ujar Zatul lalu dia segera berlalu dari pintu itu.
***
Maria sedang dalam perjalanan ke sebuah pejabat akhbar apabila telefon bimbitnya berbunyi. Segera, dia berhenti melangkah dan membaca pesanan di dalam kotak mesej di telefon bimbitnya itu. Matanya membulat, seperti sedang dilanda kejutan.
‘Berita baik dari Fauzi Burhanudin!’ Hatinya menjerit riang.
            ‘Sudah ada pembekal yang sudi membantu, insya-Allah kita akan bertemu dan berbincang lanjut dengan pembekal itu pada waktu tengah hari esok di pejabat saya. Saya harap Cik Maria boleh datang.’ – Fauzi Burhanudin.
            Maria tersenyum lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang putih sebaik sahaja selesai membaca pesanan itu. Pantas, dia menaip dan menghantar balasan kepada pengirim mesej itu, bagi memaklumkan kesediaannya untuk menghadiri temu janji itu.
            “Bersabarlah, Mak Cik Tina! Saya akan menghuraikan kekusutan yang telah saya ciptakan tanpa sengaja itu!” Maria melafazkan tekadnya lalu melajukan langkah menuju ke pejabat akhbar yang sudah tidak jauh itu.
            Tiba-tiba, langkah Maria yang bersemangat itu tersadung dan cekatan, dia berpaut kepada objek yang sempat dicapai oleh tangannya. Matanya dipejamkan rapat-rapat, seumpama orang yang sedang mengelak dari cucuhan objek tajam, dan bibirnya kumat-kamit melafaz kalam Allah, agar dia dilindungi dari bahaya.
            Suasana di sekitarnya hening, dan perlahan-lahan Maria mengangkat pelupuk matanya. Di sebelahnya, seorang lelaki sedang mencangkung dan memerhatikannya dengan wajah keras. Tangannya yang sedang erat memegang tali beg lelaki berwajah keras itu dilepaskan dengan rasa cemas, dan nafasnya yang berat dihembus dengan payah. Saat itu, dadanya terasa sangat berat, bagai ditindihi seketul batu yang besar.
            “Saya minta maaf, encik. Saya tidak sengaja berpaut pada tali beg encik tadi. Saya tersadung...” Maria berkata laju dengan wajah takut-takut namun bicaranya tidak dihabiskan kerana lelaki itu semakin mengeraskan wajahnya. Maria meneguk liurnya perlahan agar tekaknya yang sudah mula terasa perit itu tidak menghalang nafasnya yang semakin lemas.
Lelaki berwajah keras itu mendekatkan wajahnya ke arah Maria lalu dia berbisik di telinga Maria dengan nada keras dan suaranya yang garau. Kemudian, dia bangun lalu meninggalkan Maria terpinga-pinga bersendirian.
Langkahnya dihentikan tidak jauh dari tempat Maria tersadung, lalu dia mengalihkan seketul batu yang berada betul-betul di tengah laluan pejalan kaki. Setelah batu itu dialihkan, dia menoleh kepada Maria dan tersenyum penuh misteri menyebabkan Maria terus-teruskan mengerutkan dahinya.
‘Aku tidak pernah menyukai dirinya tetapi hati ini memilih untuk mencintainya!’
“Apa maksud lelaki itu?” Maria menggaru-garu kepalanya dan berusaha untuk berdiri. Langkahnya terus diatur menuju ke pejabat akhbar.
***
Lelaki tua itu membersihkan rumput yang baru dipotong di halaman rumah Dato’ Harith yang luas. Daun-daun kering yang luruh dari pohon-pohon hiasan juga disapu bersama rumput-rumput yang masih basah. Nafasnya yang lelah terasa segar apabila mencium bau segar rumput yang baru dipotong itu.
            Sesekali, dia menyeka peluh yang berbintik-bintik di dahi menggunakan lengan bajunya yang sudah basah dengan air basuhan tangannya sebelum itu. Cebisan rumput yang berterbangan dan melekat di hujung lengan bajunya yang basah itu terasa kasar apabila berlaga dengan kulit wajahnya yang lembut dan sudah berkedut-kedut itu. Setiap kali hujung lengan itu bersentuh dengan kulitnya, dia menyeringai menahan rasa pedih.
“Pak Cik Abdul!” Seorang wanita berwajah lembut memanggil lelaki tua itu dari garaj yang penuh dengan kereta besar.
Lelaki tua itu terus asyik dengan kerja-kerjanya, tanpa menyedari panggilan wanita berwajah lembut itu. Dia terus membersihkan halaman rumah itu sehingga wanita itu terpaksa mendekatinya.
            “Pakcik, ayah panggil.” Wanita berwajah lembut itu bersuara apabila dia sudah berdiri di belakang lelaki tua yang sedang menyapu halaman itu.
            Lelaki tua itu tersentak lalu menoleh ke arah suara yang menjengah telinganya itu. Bibirnya yang sudah pecah-pecah itu segera mengukir senyum sebaik sahaja otaknya mentafsir maklumat yang dihantar melalui saraf di retina matanya itu. Tanpa berlengah, dia menyandarkan penyapu di tangannya itu ke sebuah pasu bunga yang berhampiran dan menurut langkah wanita berwajah lembut itu dari belakang. Di tepi sebuah kereta mewah, seorang lelaki berpakaian kemas menanti dengan wajah tenang.
            “Maaflah, saya mengganggu kerja-kerja awak tetapi ada perkara lain yang memerlukan bantuan awak sekarang. Saya dan Yana terpaksa ke luar negeri selama beberapa hari, jadi saya minta bantuan awak untuk menjaga rumah ini sepanjang ketiadaan kami.” Kata lelaki berpakaian kemas itu sebaik sahaja lelaki tua itu tiba di hadapannya.
            Lelaki tua itu tersenyum manis dan menganggukkan kepalanya tanpa berkata apa-apa. Matanya yang selalu menghantar pandangan kelam itu dikedip-kedipkan beberapa kali, seperti memaksudkan dia tiada masalah untuk menjaga rumah itu.
            Yana dan lelaki berpakaian kemas yang bergelar Dato’ itu kemudiannya bersama-sama menaiki kereta mewah itu dan duduk bersandar di bahagian penumpang. Selepas beberapa ketika, kereta itu keluar dari garaj dan menghilang dari pandangan.
            “Ayah, memang dia tidak pernah bercakap ya sejak ayah mengambilnya bekerja dahulu?” Yana bersuara sesudah kereta itu meluncur di atas jalan raya.
            “Iya, ayah tidak pernah mendengar suaranya. Nama Abdul Samad itu pun ayah yang beri, sebab dia tidak pernah memberitahu namanya.” Lelaki berpakaian kemas itu berkata lalu mengeluh dan membuang pandang ke luar tingkap.
            “Kasihan dia. Wajahnya nampak sedih benar. Saya teringin hendak membantunya, tetapi tidak tahu bagaimana cara terbaik melakukannya kerana dia tidak pernah menceritakan apa-apa kepada kita.” Kata Yana yang berwajah lembut itu. Tangannya diramas-ramas dengan perasaan yang berat dengan simpati.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape