Apr 17, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 9


[9]
“Mengapa wanita bernama Kartina itu menghalau satu-satunya suspek kita keluar dari rumahnya? Semua ini semakin menyukarkan!” Rahman meramas rambutnya yang sudah tidak rapi. Wajahnya kelihatan kusut dan tidak bermaya, kerana sejak semalam dia tidak tidur memikirkan jalan mencari Maria binti Abdul Muin. Seorang lagi rakan mereka hanya memerhati sekilas dengan pandangan kosong, lalu kembali asyik dengan kerja-kerjanya.
            “Entahlah, kalau saya tahu sudah lama kes kita berkemungkinan diselesaikan dengan lebih mudah. Sekarang, kita perlu bertenang dan berusaha meneliti kembali semua maklumat dan jejak yang ada.” Azzah menyambut tanpa memandang wajah rakan sekerjanya itu. Matanya terus dipakukan pada helaian kertas yang bersepah-sepah di atas meja kerjanya.
            “Menurut analisis yang saya lakukan sejak malam tadi, kita mungkin perlu kembali ke Kampung Semangka. Itu lokasi terakhir suspek utama kita sebelum kedua-duanya menghilang tanpa dikesan.” Kata Azzah lagi. Matanya beralih memandang Rahman yang sudah berhenti menggomol rambutnya sehingga kusut-masai itu.
            Mata Rahman yang sudah layu itu bercahaya seperti takungan air jernih yang disimbahi cahaya matahari. Pantas, rambutnya dilurut semula dengan jemarinya yang kurus-kurus itu. Kemudian, dia mencapai buku nota di sisi meja lalu menulis sesuatu di halaman yang masih kosong. Keratan akhbar lama yang sudah lusuh di dalam sebuah fail juga diteliti kembali, dan sejurus kemudian dia terangguk-angguk dengan wajah yang semakin terpadam lesunya.
            “Jom, kita bergerak ke Kampung Semangka!” Ujar Azzah dan mereka berdua mula berkemas-kemas sebelum keluar dari ruang yang sudah perat dengan bau peluh itu. Rakan mereka yang berada di situ hanya mengangkat tangan dan menjungkitkan bahunya apabila melihat mereka yang buru-buru mahu keluar. Di luar bangunan, sebuah teksi yang setia menunggu pelanggan itu segera mampir ke arah mereka dan seketika kemudian teksi itu sudah meluncur laju di atas jalan.
***
Maria berdiri tegak-tegak di luar bangunan pejabat akhbar yang sederhana besar itu. Hatinya berbelah bahagi antara rasa keliru dan gentar. Sudah lima minit dia berdiri dan berusaha menyusun kata-kata di dalam fikirannya yang semakin kusut itu.
            “Bagaimana hendak berbicara dengan editor akhbar ini ya? Bagaimana kalau mereka bertanyakan banyak soalan mengenai ayah yang tidak pernah aku kenali itu?” Detak hatinnya yang sudah mula ragu-ragu dengan keputusan sendiri.
            “Gambar ayah ini juga sudah terlalu lama, bahkan kabur juga. Bagaimana kalau mereka memerlukan gambar ayah yang lebih jelas? Bagaimana kalau mereka mahukan bayaran yang tinggi untuk ruang iklan yang aku pohon nanti?” Fikirannya yang kian bercelaru itu terus bertingkah-tingkah.
            Sedang dia asyik bercakap sendirian, seorang wanita yang berpakaian cantik menghampiri dan berdiri di sisinya. Wanita itu memandangnya dengan senyuman yang sungguh mendamaikan, lalu menerbangkan semua kegalauan di dalam hati Maria.
            “Masuklah, kalau hendak berurusan dengan pihak akhbar. Yakinlah dengan diri kamu sendiri, kerana itulah kekuatan yang membentengi kamu dari anasir-anasir yang bakal menjadi racun dan meruntuhkan harga diri kamu.” Kata wanita itu, sebelum dia meleretkan senyuman yang mendamaikan di bibirnya sekali lagi.
            Maria mendiamkan diri dan hanya memandang wanita berpakaian cantik yang mempunyai senyuman yang mendamaikan itu, kerana dia tidak tahu ucapan terbaik yang harus diucapkan. Jadi, dia terus diam dan memakukan pandangannya ke arah wanita itu dan mencari kekuatan di dalam senyumannya yang sungguh mendamaikan itu.
            Wanita itu kemudiannya berlalu dan menghilang di hujung jalan. Maria kembali mendongakkan kepalanya, melihat papan tanda pejabat akhbar yang tersergam gagah di atas kepalanya itu. Disebabkan fikirannya sudah bertenang, kakinya melangkah ke arah pintu yang tinggal beberapa langkah sahaja dari tempatnya berdiri itu.
            “Assalamualaikum, saya Maria dan saya hendak berurusan mengenai tempahan ruang iklan...” Kata Maria bersopan apabila berhadapan dengan seorang lelaki berkemeja putih yang duduk di meja paling hampir dengan pintu masuk. Ujarannya tidak sempat dihabiskan, kerana lelaki itu mengangkat telunjuknya dan menghalakannya ke arah seorang lelaki lain yang sedang sibuk bercakap di telefon.
            Maria mengucapkan terima kasih dan segera menuju ke arah lelaki yang sibuk bercakap di telefon itu. Setibanya di meja lelaki itu, Maria berdiri diam-diam dan menanti dengan sabar sehingga lelaki itu selesai berbual di telefon.
            “Minta maaf cik, ini surat-surat yang perlu dihantar dengan kadar segera. Terima kasih!” Ujar lelaki itu kepada Maria sambil menyerahkan sebungkus surat yang sudah diikat dengan getah gelung. Lelaki itu kembali berbual di telefon sambil membelakangkan Maria yang termangu-mangu sendirian.
            “Surat-surat ini untuk siapa? Kenapa dia menyerahkan semuanya kepadaku?” Maria menggaru-garu kepalanya, dan dia kembali ke arah lelaki yang berkemeja putih sebelumnya.
            “Saya minta maaf encik, saya datang hendak berbincang mengenai tempahan ruang iklan...” Kata Maria kepada lelaki berkemeja putih itu, tetapi sekali lagi lelaki berkemeja putih itu menudingkan jarinya ke arah lelaki yang sibuk berbual di telefon itu.
            Maria mula resah, tetapi dia memadamkan rasa itu cepat-cepat dengan membayangkan wajah wanita yang mempunyai senyuman yang mendamaikan itu dan pesanannya. Dengan perasaan yang sebal, dia mengatur langkah ke arah lelaki yang sibuk berbual di telefon itu.
            “Encik, surat-surat ini untuk siapa? Kenapa encik menyerahkan semuanya kepada saya?” Tanya Maria apabila lelaki itu memandangnya dengan wajah yang penuh tanda tanya.
            Spontan, lelaki itu meletakkan gagang telefonnya dan memandang wajah Maria. Maria yang berasa goyah dengan pandangannya yang yakin itu segera mengukir senyum, sambil berusaha mengingati wajah wanita yang mempunyai senyuman yang mendamaikan itu.
            “Awak staf baru di sini, bukan? Memanglah tugas staf baru menghantar surat, kenapa bertanya begini pula?” Tanya lelaki itu dengan suara yang boleh didengari oleh semua telinga di dalam ruang itu sambil tersenyum sinis. Suasana yang hingar perlahan-lahan berubah hening dan Maria tahu, semua orang sedang memandang ke arahnya saat itu. Perlahan-lahan, wajahnya yang cerah bertukar merah bagaikan udang yang disalai di atas api!
            “Saya rasa ada salah faham. Saya bukan staf baru di sini, dan encik tidak seharusnya menggunakan nada seperti itu kepada saya!” Maria membentak dengan wajah yang merah, apabila semua mata yang ada di situ memerhati dirinya. Harga dirinya terasa diinjak-injak dengan sepatu bertumit tinggi yang halus dan runcing. Sakit!
            “Eh, bukan staf baru? Habis, ada apa cik ke mari?” Tanya lelaki itu dengan nada yang sudah mula dikendurkan. Tangannya juga digawang-gawangkan ke udara, mengisyaratkan rakan-rakannya agar meneruskan kerja masing-masing.
            “Nama saya Maria, dan saya hendak berurusan mengenai tempahan ruang iklan bagi mencari orang hilang!” Kata Maria lagi, dengan nada yang masih belum lembut. Wajah lelaki itu pantas berubah riak, dan dia cepat-cepat mempersilakan Maria duduk.
            “Tidak mengapalah, saya sudah berasa tawar hati hendak berurusan dengan pihak encik.” Ucap Maria tegas, lalu dia berpusing dan mula melangkah ke arah pintu keluar.
            “Cik, saya minta maaf banyak-banyak di atas kekasaran saya sebentar tadi. Bolehkah saya menawarkan sesuatu kepada cik sebagai permohonan maaf?” Lelaki itu pantas memintas langkah Maria dan berusaha meminta maaf dengan wajah yang sudah mula mendung.
            “Tawaran?” Hati Maria berdesis, lalu dia berhenti membuka langkah. Sejurus, wajah lelaki yang memintas langkahnya itu pantas dihambat lega, kerana Maria tidak meneruskan niatnya untuk keluar dari pejabatnya.
             “Tawaran bagaimana yang encik maksudkan?” Tanya Maria. Nadanya yang keras sudah berjaya dilunakkan.
            “Saya menawarkan diskaun harga sebanyak 15 peratus dari harga ruang iklan yang cik mahu tempah.” Kata lelaki itu cepat-cepat.
            “15 peratus sahaja? Harga asalnya berapa ringgit? RM100?” Tanya Maria lagi dan lelaki itu pantas menganggukkan kepalanya.
            “Nilai itu terlalu sedikit untuk menebus kesilapan encik sebentar tadi. Saya menolak!” Kata Maria dengan nada yang tegas. Wajahnya juga masih merah dan dia segera menarik nafas dalam-dalam, supaya fikirannya yang masih dikuasai amarah itu tidak terus dilampiaskan secara tidak matang kepada lelaki itu. Kata-kata wanita yang mempunyai senyuman yang mendamaikan itu menyeluruhi mindanya, dan Maria tahu bahawa dia harus yakin pada kekuatan dirinya sendiri!
            “Baiklah, saya naikkan tawaran itu kepada 25 peratus. Cik tolong pertimbangkan tawaran ini ya?” Lelaki itu terus memujuk Maria. Wajahnya yang tenang sudah mula dipenuhi bintik-bintik peluh.
            “Bagaimana kalau saya meminta encik tingkatkan peratusan itu kepada 30 peratus?” Tanya Maria dengan wajah yang semakin berani. Nadanya juga lebih yakin dari sebelumnya. Lelaki itu segera menganggukkan kepalanya, menyetujui permintaan Maria.
            Tidak lama kemudian, Maria keluar dari pejabat akhbar itu dengan wajah yang lebih yakin, walaupun riak sugulnya masih berbaki. Dia percaya, kehadiran wanita yang mempunyai senyuman yang mendamaikan itu mempunyai sebab yang tersendiri.
“Semua perkara yang berlaku bersebab, dan aku tahu perkara yang berlaku kepadaku itu tidak mengancam nyawa.” Lafaz Maria kepada dirinya sendiri, lalu dia melangkah menuju ke ruang menunggu teksi.
***
“Kenapa muka Tok Leman asyik termenung dan berkelakuan seperti seorang perisau?” Tanya Zatul sewaktu sedang membasuh pinggan di dapur rumahnya. Husna yang sedang membersihkan meja makan menoleh ke arahnya, lalu mengerutkan dahinya.
            “Apa maksud awak? Bila pula awak memerhatinya sehingga awak tahu dia asyik termenung dan selalu berwajah risau?” Kata Husna kemudiannya.
            “Tempoh hari, semasa kita membantu Akma di dapur rumahnya, saya sempat menoleh ke ruang tamu. Kebetulan, Tok Leman sedang duduk di sofa dan wajahnya...” Zatul berjeda sebelum menyambung, “...wajahnya seperti yang saya cakapkan tadilah.” Ujar Zatul yang sudah selesai membasuh pinggan.
Tangannya dikeringkan menggunakan kain pengelap yang disangkut di tepi dapur dan dia duduk di meja makan, menanti rakannya selesai mengelap meja.
Usai mengelap meja, Husna ke sinki bagi membersihkan kain lap yang digunakan untuk mengelap meja itu. Sambil tangannya ligat menggosok kain itu, dahinya berlipat-lipat menandakan ada sesuatu sedang berlegar-legar di pojok fikirannya.
            “Apa agaknya yang mengganggu perasaan orang tua itu ya?” Tanya Husna lalu duduk di sebelah Zatul. Masing-masing menopang dagu dengan wajah yang muram. Nyata, mereka kasihankan Tok Leman.
            “Awak rasa, menungannya ada kaitan dengan peristiwa pembunuhan kejam yang Akma katakan itu atau tidak?” Soal Zatul dan Husna memandang ke arahnya tanpa berkedip mata.
“Kalau betul, kau rasa patutkah kita menyelidik hal itu?” Husna bertanya dengan anak mata hitamnya yang semakin membulat. 
Tanpa berlengah, Zatul yang turut dihantui rasa ingin tahu itu menganggukkan kepalanya laju-laju. Bibirnya dikulum, dan matanya mencerlung tajam ke wajah rakannya.
Husna segera tersengih melihat rakannya, sebelum hujung bibirnya melekuk dengan senyuman. Kemudian, dia mula memasang wajah bersemangat. Ya, dia mahu menyiasat perkara itu!
“Jadi, apa yang perlu kita lakukan? Mengekori jejak Tok Leman atau mengorek maklumat dari Akma sehingga dia pengsan kerana trauma dengan semua soalan kita?” Husna mula merangka tindakan mereka.
“Saya fikir, ada baiknya kalau kita melakukan kedua-dua hal itu. Tetapi, bagaimana dengan pencarian kita yang sebelum ini?” Ujar Zatul pantas dengan nafas yang termengah-mengah.
“Maksud awak, pencarian kita berkenaan wanita bernama Mei Mei dan Tina Kartina?” Husna bertanya kembali dan Zatul terus mengangguk.
“Itu, kita akan teruskan kerana itu matlamat asal kita!” Ujar Husna dengan tangan yang sudah tergawang di udara.
“Jangan lupa, cari maklumat kes pembunuhan itu di akhbar lama! Nampaknya, kita perlu ke perpustakaan negeri!” Kata Zatul sesudah itu. Tangannya juga sudah tergawang di udara, dan senyumannya semakin melebar.
Nyata, mereka berdua sedang dirasuk semangat penyiasat!
***
Fauzi Burhanudin menoleh dan memandang wajah wanita di sisinya itu. Dahinya berlipat-lipat, melihatkan riak itu masih sugul walaupun mereka sudah berjaya memujuk Encik Zul mencetak hanya tiga rim kertas istimewa yang diperlukan oleh Makcik Tina itu.
            “Mengapa wajahnya asyik sugul? Ada rahsia apa di dalam hatinya? Ah, aku memang tidak pernah mengerti perasaan wanita. Kompleks!” Fauzi bertanya sendiri. Kata-kata itu berputar-putar di dalam kepalanya, tanpa diluah di bibirnya.
            “Encik Fauzi, mengapa berkerut dahi begini?” Tanya Maria tiba-tiba, menyentak lamunan siang Fauzi.
            Fauzi yang masih sibuk melayan fikirannya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya, dan Zatul segera mengerti bahawa ketuanya itu enggan diganggu. Tanpa berlengah, dia segera keluar dari pejabat lelaki itu dan menyambung kerja-kerjanya.
            Kesempatan yang diberikan oleh Zatul digunakan sebaik mungkin oleh Fauzi! Segera, dia kembali memikirkan wanita berwajah sugul itu dan peristiwa di pejabat Encik Zul terlayar di benaknya.
            “Saya memohon agar Encik Zul bersetuju untuk mencetak satu rim kertas istimewa ini.” Kata Maria sebaik Encik Zul menyatakan bahawa dia boleh menyediakan rekaan bagi kertas berkenaan.
            “Satu rim sahaja? Bagaimana saya boleh untung kalau saya membayar pekerja saya membuat rekaan yang hanya bakal dicetak untuk satu rim sahaja?” Encik Zul bertanya dengan mata yang sudah buntang.
            “Bolehlah encik, namanya pun istimewa, tidak perlulah dicetak banyak-banyak.” Kata Maria memujuk lagi.
            “Saya enggan, melainkan pihak awak sanggup mengeluarkan belanja bagi menampung kos percetakan.” Suara Encik Zul tegas. 
            Maria terdiam dan Fauzi hanya memerhati. Dia langsung tidak mencampuri perbincangan dua insan di hadapannya itu, kerana berpendapat Maria yang lebih berhak membuat keputusan. Dia sekadar bertanggungjawab menemukan Maria dengan seorang pembekal kertas yang boleh mencetak kertas istimewa itu.
            “Kalau begitu, berapa jumlah minimum yang Encik Zul sanggup cetak?” Maria bersuara lagi sesudah puas berdiam.
            “Kami perlu mencetak sekurang-kurangnya lima belas rim, dan jumlah itu cukup-cukup bagi menanggung sebahagian kos percetakan dan bayaran gaji pekerja yang membuat rekaan corak kertas itu.” Ujar Encik Zul kemudiannya.
            “Lima belas rim! Banyaknya! Saya hendak buat apa dengan kertas sebanyak 15 rim itu?” Maria bertanya separuh menjerit.
Mata Maria membuntang, dan jari-jari di tangannya mengembang serentak. Fauzi yang memerhati segera tersentak kerana suara Maria yang tiba-tiba berubah nada itu. Encik Zul yang sentiasa bertenang itu juga tampak terkejut dengan perubahan mendadak wanita di hadapannya itu.
“Cik Maria tidak perlulah mengambil kesemua lima belas rim. Ambil berapa yang diperlukan sahaja, dan selebihnya pihak saya akan menghantarnya ke kedai berhampiran untuk dijual kepada orang awam.” Jelas Encik Zul dengan wajah yang sudah kembali tenang.
“Tidak, saya tidak boleh bersetuju. Kalau begitu, hilanglah kelebihannya sebagai kertas istimewa! Kalau orang awam boleh membelinya sesuka hati, bagaimana saya hendak berhadapan dengan Makcik Tina?” Suara Maria membingit lagi. Nyata, dia benar-benar terganggu dengan peristiwa kehilangan surat Makcik Tina itu.
Kali ini, Encik Zul pula yang terdiam. Matanya berkelip-kelip dan dia menoleh ke arah Fauzi dengan wajah mengharap. Namun, lelaki itu hanya tersenyum dan menyisir rambutnya yang mula terjuntai ke dahi itu.
             “Beginilah, cuba Encik Zul letakkan diri encik di tempat Makcik Tina. Bayangkan perasaan encik kalau melihat sesuatu yang sangat istimewa pada encik digunakan sewenang-wenangnya oleh orang lain, dengan cara yang langsung tidak menggambarkan penghargaan. Rasa sakit, bukan? Saya kira, begitulah perasaan Makcik Tina kalau saya bersetuju dengan jumlah cetakan sebanyak 15 rim itu.” Maria berhujah panjang, dengan nada yang cuba dilembutkan.
            “Saya bukan tidak mahu bersikap sensitif, tetapi saya orang berniaga. Cik Maria kena fahamlah situasi saya. Mana mungkin saya merisikokan perniagaan saya semata-mata mahu menjulang semangat perikemanusiaan?” Kata Encik Zul selepas itu.
            “Kalau begitu, bolehkah saya meminta agar Encik Zul menyimpan lebihan 12 rim sebelum saya mempunyai jumlah wang yang mencukupi untuk menampung kos percetakan itu?” Kata Maria berdiplomasi.
            Encik Zul mengerutkan dahinya, menandakan dia sedang berfikir. Fauzi masih lagi berdiam diri dan sibuk menyisir rambutnya menggunakan sikat berwarna biru tua.
            “Saya percaya, Encik Zul seorang yang positif dan orang yang mempunyai sikap dan pemikiran yang positif tidak akan teragak-agak untuk menyanggupi permintaan saya, kerana dia percaya pada rezekinya sendiri.” Maria terus berusaha memujuk Encik Zul.
Encik Zul terus berdiam dan berkerut dahi. Matanya melekap pada wajah Maria yang sugul tetapi cuba diceriakan itu. Tidak lama, senyuman Encik Zul melebar dan Maria membalasnya dengan anggukan yang mesra. Lantas, Fauzi tersenyum senang hati.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape