Apr 30, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 10


[10]
Oleh: Rahmah Mokhtar

“Assalamualaikum, boleh kami berjumpa dengan Tok Ketua?” Tanya Hariri Khan.
            Engku Saadiah yang datang bersamanya hanya berdiri dan tersenyum manis di sisi papan tanda besar yang bertulis ‘Ini rumah Ketua Kampung Semangka’. Lelaki tua yang baru keluar dari rumahnya yang sederhana besar itu tersenyum kepada mereka berdua.
            “Encik berdua ini siapa? Pengarah dramakah?” Tanya lelaki tua itu.
            “Saya Hariri Khan dan ini teman saya, Engku Saadiah. Kami bukan orang drama, tetapi kami penyiasat persendirian.” Kata Hariri Khan lagi.
            Wajah lelaki tua itu kelihatan murung apabila mendengarkan jawapan Hariri Khan. Senyuman yang terukir di bibirnya ditarik semula, membuatkan Hariri Khan dan Engku Saadiah mengerutkan dahi mereka.
            ‘Ada apa dengan orang drama?’ Fikir Engku Saadiah.
            ‘Mengapa pula dengan pengarah drama?’ Detak hati Hariri Khan.
“Minta maaflah, saya bukan ketua kampung. Rumah ketua kampung berselang dua buah rumah dari rumah saya ini.” Kata lelaki tua itu kemudiannya, lalu dia terus memasuki rumahnya semula.
“Mengapa lelaki tua itu berhiba sewaktu saya memberitahu bahawa kita penyiasat?” Tanya Hariri Khan dengan wajah tidak senang.
Engku Saadiah hanya menjungkitkan bahunya dan berkata, “Saya kurang pasti kerana ini kali pertama kita bersua dengannya. Selebihnya, saya asyik berfikir mengapa dia bertanya sama ada kita orang drama.”
Hariri Khan tersengih mendengarkan kenyataan temannya itu lalu dia ikut berjungkit bahu.
***
Dato’ Harith terjaga dari tidurnya dengan nafas yang tercungap-cungap dan badannya basah dengan peluh. Tangannya yang menggigil itu diangkat perlahan-lahan dan peluh yang berbintik-bintik di dahinya diseka dengan payah.
“Astaghfirullah al-azim.” Ucapnya dengan nafas yang mengah.
Setelah beberapa ketika, dia menolak selimut yang menutupi badannya dengan tangan yang terketar-ketar. Mulutnya terus terkumat-kamit melafaz istighfar, menyebut nama Tuhan yang Maha Berkuasa.
            “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.” Dato’ Harith melafaz basmalah lalu bangun dari katilnya.
Sehelai tuala yang tersangkut di sebuah penyangkut di sisi katilnya dicapai dan peluh yang membasahi badannya dilap sehingga kering. Kemudian, dia menuju ke bilik air dan berwudhuk. Kesempatan terjaga di waktu tengah malam itu tidak disia-siakan, dan dia harus memohon keampunan kepada Yang Esa. Kesalahan silam itu masih menghantui tidur malamnya!
***
Dinihari itu, Dato’ Harith bermunajat di atas tikar sejadah. Sujudnya panjang, dan matanya basah dengan air mata dan wajahnya berat dengan emosi yang tidak menyenangkan. Air mukanya sedih, dan dia gagal berselindung di sebalik riak tenang yang sengaja dizahirkan apabila mengadap Tuhan pada malam yang sunyi.
Nyata, dia sedang meluahkan perasaannya yang sudah tidak tertampung itu.
“Ya Allah, aku memohon keampunanMu. Sesungguhnya aku tidak pernah menyanggupi kejadian itu. Aku tidak sengaja, ya Allah. Ampunkanlah aku ya Allah.” Lelaki itu terus merayu keampunan di dalam doanya, dan air matanya semakin pantas mengalir ke pipinya.
Di suatu ruang yang lain dalam rumah itu, Yana sedang mengongoi dalam pelukan Mak Dayah. Masuk kali yang ini, entah sudah berapa kali Yana  terjaga dari tidur malamnya. Mujur bilik tidur Mak Dayah tidak jauh dari biliknya. Maka, wanita itu selalu dapat mendengar kalau berlaku apa-apa di bilik anak perempuan majikannya yang berwajah lembut itu. Kepekaan itu bertambah-tambah dengan naluri keibuannya yang selalu sensitif kepada keperluan anak tidak beribu itu.
“Ada apa pula dengan anak ini? Mengapa dia semakin sering terjaga malam? Jangan-jangan, Puan Anita...” Mak Dayah tidak berani meneruskan telahan fikirannya itu. Tangannya terus-terusan mengusap bahu Yana yang masih berenjut menahan tangisan itu.
Di suatu ruang lagi, lelaki tua yang digelar Abdul Samad itu kelihatan tidak tenang dalam tidurnya. Matanya yang masih terpejam itu basah dengan kesan tangisan. Tangannya yang berkedut-kedut itu juga asyik menggenggam cadar yang mengalasi tubuh tuanya. Nyata, ada sesuatu sedang mengganggu lenanya dan dia enggan terjaga dari mimpi yang mengundang air mata itu.
***
Zatul dan Husna tercegat di hadapan rumah Tok Leman. Kedua-duanya nampak teragak-agak hendak memberi salam bagi menyedarkan penghuni rumah itu mengenai ketibaan mereka. Masing-masing tolak-menolak dan tidak mahu meluahkan suara lunak mereka kerana mereka khuatir dengan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum itu.
            ‘Haruskah aku meneruskan langkah? Bagaimana kalau Tok Leman semakin terluka dengan keputusan aku membuka kisah lama itu?’ Husna bertanya kepada dirinya sendiri.
            ‘Kalau Tok Leman marah, apa yang harus aku lakukan?’ Detak hati Zatul dan air mukanya semakin tidak keruan.
            “Mengapa kakak berdua tercegat seperti patung busana muslimah di sini? Ini bukan kedai pakaian.” Akma yang muncul dari arah belakang menegur mereka berdua.
            Spontan, Zatul dan Husna terlompat dan terjerit kecil. Akma yang tidak berniat memeranjatkan mereka juga terjerit tanpa sengaja. Selepas itu, tangannya mengurut-urut dadanya yang berombak kuat dan laju, kesan kejutan yang diterima.
               “Akma, sebenarnya kami baru sampai tetapi rasa segan mahu memberi salam apabila melihat pintu rumah bertutup rapat.” Husna bijak mencari alasan.
            “Memanglah pintu itu tertutup, sebab saya keluar ke kedai sebentar. Ayah pun tiada di rumah.” Akma menjawab tanpa ragu-ragu.
            Balasan Akma itu melegakan mereka berdua. ‘Tok Leman tiada di rumah!’ Detak hati Husna dengan keterujaan yang kembali melangit. Pantas, senyumannya yang suram sebelum itu berubah girang dan dia segera menoleh ke arah temannya, Zatul yang juga sedang tersengih-sengih seperti kulit kerang yang ternganga.
            “Akma, boleh kita berbual di sini sahaja?” Pinta Husna kemudiannya.
            “Bercakap di bawah ini? Kenapa tidak mahu bercerita di atas rumah?” Tanya Akma dengan wajah hairan.
            “Tiada apa-apa sebab khusus, cuma kami berdua tidak mahu berlama-lama di sini.” Zatul mengambil giliran menjawab.
            Akma kemudiannya meminta mereka menunggu sebentar kerana dia perlu menghantar barang dapur yang dibelinya ke dapur. Tambahan pula, dia mahu menyediakan minuman buat dua orang tetamunya itu.
***
Kemunculan seorang lelaki berambut ikal dan seorang wanita berselendang biru mematikan hasrat Zatul dan Husna. Mereka tidak jadi hendak menyoal Akma mengenai kisah pembunuhan kejam dua puluh tahun lalu, sebaliknya memandang sepi dua insan itu.
            “Jadi, kakak berdua mahu bertanya soal apa dengan saya?” Akma bertanya sebaik sahaja dulang berisi minuman panas dan sepinggan kuih karipap diletakkan di hadapan Zatul dan Husna.
            Zatul dan Husna tidak berkata apa-apa dan hanya mengunjukkan jari telunjuk mereka ke suatu arah. Akma menoleh ke arah tersebut dan menegakkan badannya agar pandangannya tidak terlindung oleh tubuh Husna yang tinggi.
            “Siapa pula? Tentu mereka berdua mencari ayah saya.” Ujar Akma sambil bangun dan menuju ke tempat dua orang tetamunya itu berdiri.
            Wanita berselendang biru itu merapati Akma apabila dilihatnya gadis itu mengorak langkah ke arahnya. Lelaki berambut ikal itu segera menurutinya dari belakang.
            “Cik berdua ini siapa? Boleh saya bantu?” Tanya Akma bersopan. Tangannya dihulurkan kepada wanita berselendang biru itu yang kemudiannya menyambut salamnya.
            “Saya Engku Saadiah, dan ini rakan saya Hariri Khan. Kami hendak bertemu Ketua Kampung Semangka. Dia ada di rumah?” Kata Engku Saadiah lembut walaupun wajahnya kelihatan tegas.
            “Oh, ayah saya masih belum pulang dari kebun. Tetapi, kalau awak berdua tiada masalah untuk menunggu, silakan menyertai kami bertiga di sini.” Pelawa Akma sambil menunjukkan jalan.
            Engku Saadiah dan Hariri Khan mendekati rumah Tok Leman dan menyertai Zatul dan Husna yang asyik mengawal senyuman. Mana tidaknya, seorang lelaki yang kacak sedang menghampiri!
             “Cik berdua mahu bertemu ketua kampung juga?” Kata Hariri Khan sambil tersenyum nipis.
            “Tidak, kami tiada hajat menemui Tok Leman. Kami hanya mahu bersembang-sembang dengan Akma.” Jawab Husna yang sudah tersipu-sipu.
            Engku Saadiah meleretkan senyumannya melihat dua orang wanita di hadapannya itu yang sudah merah-merah pipi mereka. Dia memaklumi perkara itu. Ya, Hariri Khan memang seorang yang kacak!
***
Maria menyelak laman akhbar itu dan mencari ruang iklan orang hilang. Seperti yang dijanjikan, iklan mencari ayah kandungnya itu akan disiarkan selama dua hari, di ruang yang sama. Maria menatap iklan itu lama-lama, dan memanjatkan doa di dalam hati agar ayahnya terbuka hati untuk menyelaknya, seterusnya membaca iklan itu.
            “Maria, mana Nescafe panas dan mi goreng untuk mak cik? Rajin pula kamu membaca akhbar hari ini?” Suara Mak Cik Tina menjengah deria pendengarannya.
            “Eh, maaf mak cik. Saya tidak perasan mak cik menanti. Sebentar, saya ambilkan di dapur.” Kata Maria dan cepat-cepat dia berlalu ke dapur.
            ‘Alhamdulillah, Mak Cik Tina sudah tidak marah-marah lagi.’ Maria tersenyum sendirian di ruang dapur.
            Pagi itu, mereka berdua bersarapan bersama seperti awal perkenalan mereka. Maria gembira melihat Mak Cik Tina sudah berjaya mengawal emosinya kerana dia akan berpeluang belajar menjahit dengannya pada hari itu. Sudah agak lama wanita itu membiarkan dia bersendiri tanpa sebarang tunjuk ajar walaupun dia sudah berjanji mahu mengajarnya menjahit. Semuanya bersebabkan surat Mei Ling yang dihilangkan oleh Fauzi Burhanudin itu!
            “Mak cik, saya sudah berjaya mendapatkan pembekal yang sanggup mencetak kertas istimewa untuk surat makcik kepada Mei Ling.” Kata Maria sewaktu belajar mengoperasikan mesin jahit tepi.
            Mata Mak Cik Tina terbeliak mendengar kenyataan yang tidak disangka-sangka itu.
            “Pembekal? Mencetak? Kertas istimewa?” Luah Mak Cik Tina tidak percaya.
            “Iya, tidak lama lagi makcik akan berpeluang menulis surat kepada Mei Ling tanpa sebarang halangan lagi. Mak cik boleh menulis banyak-banyak, setiap hari pun boleh!” Maria semakin teruja memberi galakan.
            Wajah Mak Cik Tina kian berseri dan senyuman di bibir Maria semakin melebar. Tangan Maria semakin laju menolak hujung kain yang disisip di hujung jarum mesin itu, dan kakinya semakin rancak menekan pedal yang menggerakkan motor mesin jahit tepi itu. Seketika kemudian, kain kosong itu diangkat dan diunjukkan kepada Mak Cik Tina. Wanita itu tersenyum lagi, dengan riak puas hati!
***
“Tok Leman tidak pernah bercerita dengan Akma mengenai kes pembunuhan kejam itu?” Tanya Zatul memecah hening.
            Serentak, lima pasang mata memandangnya dengan pelbagai riak. Akma terperanjat, tidak percaya Zatul bertanya soalan itu kepadanya, dan Husna memandangnya dengan riak kagum kerana dia tidak menyangka rakannya itu terlebih dahulu membuka bicara. Hariri Khan dan Engku Saadiah yang sememangnya sedang menyiasat hal itu turut terkejut mendengar  pertanyaan itu. Pucuk dicita ulam mendatang!
            “Ayah tidak banyak bercerita, tetapi adalah juga sekali dua dia berkisah. Setiap kali dia bercerita, dia akan menyatakan berulang kali bahawa sampai bila-bila dia tidak akan melupakan kejadian itu. Bayangannya masih segar, seperti baru berlaku semalam.” Kata Akma perlahan-lahan.
            “Maksud Akma, Tok Leman pernah berada di tempat kejadian?” Hariri Khan menyampuk dan Husna segera tertunduk malu di tepinya. Sekali lagi, Engku Saadiah tersenyum meleret.
            “Saya tidak pasti sama ada ayah pernah ada di situ atau tidak, tetapi setakat yang saya tahu ayah sangat beremosi setiap kali ada orang membangkitkan hal ini. Wajahnya menjadi tegang, dan dia seperti menyimpan suatu perasaan marah yang membusung di dalam jiwanya.” Kata Akma dengan emosi yang mula tidak stabil.
            Perubahan pada nada Akma itu membuatkan mereka berempat menutup mulut masing-masing untuk seketika. Mereka memberi ruang kepada Akma untuk bertenang, supaya cerita yang bakal disampaikan teratur dan bukannya dipengaruhi emosi.
            “Saya pernah bertanya pada ayah, tetapi dia hanya tersenyum pahit dan berkata, “Semoga roh ibu muda itu dicucuri rahmat.” Sampai sekarang, saya tidak tahu apa yang berlaku, selain berita yang dilaporkan di akhbar.” Ujar Akma lagi.
            “Ibu muda? Maksudnya, ada seorang bayi di tempat kejadian? Tetapi menurut berita, tiada sesiapa yang ditemui di lokasi tragedi melainkan mayat wanita itu.” Engku Saadiah mencelah dengan dahi yang berkerut dan serentak, Husna, Zatul dan Hariri Khan menganggukkan kepala masing-masing.
            “Iya, kadang-kadang saya terfikir bahawa ayah tahu kejadian yang menimpa tetapi dia memilih merahsiakannya kerana perasaannya yang sedih dan marah itu lebih menguasai.” Kata Akma lagi dan tiada sesiapa menyambut kata-katanya itu.
***
“Maria, hari ini mak cik mahu mengajar kamu memotong kain ela untuk membuat baju kurung. Sudah bersedia?” Kata Mak Cik Tina pagi itu.
            Maria tersenyum dan mengangguk, tanda bersedia menerima ilmu baru dari wanita baik hati itu. Kain berwarna coklat gelap di tangan wanita itu segera bertukar tangan.
            Seketika kemudian, mereka berdua sudah bersila di ruang tamu. Sepasang gunting dan sebutir penanda kain berwarna merah tersedia di sisi kain coklat yang sudah direntang di atas lantai. Di tangan Maria, seutas pita ukur dipegang erat dan sehelai kertas bertulis ukuran kain yang perlu dipotong dipegang di tangan kirinya.
            “Baiklah. Sesudah kamu membuat ukuran, tandakan bahagian yang perlu dipotong dengan penanda merah ini. Jangan lupa ukur dua bahagian untuk semuanya, kecuali bahagian badan, ya?” Ujar Mak Cik Tina dengan wajah serius.
            “Mengapa perlu ada dua bahagian?” Tanya Maria jujur.
            “Iyalah, perlu ada bahagian kiri dan kanan. Pesak kain perlu ada dua, begitu juga dengan lengan. Atau kamu mahu menyarung baju yang ada sebelah lengan sahaja?” Balas Mak Cik Tina.
            Maria menggeleng kepalanya laju-laju lalu meneruskan kerja-kerja mengukur dan menanda. Selepas diperiksa oleh Mak Cik Tina, dia mula memotong kain itu.
            “Sudah siap? Sekarang, jahitkan bahagian tepi kain yang sudah dipotong itu. Setelah selesai, bawa semuanya ke sini dan kita akan mula menjahit.” Mak Cik Tina berujar dan Maria patuh tanpa bertanya kerana dia sudah mahir membuat jahitan tepi kain.
            Maria kemudiannya menjahit dengan tekun dan Mak Cik Tina memerhati dari jauh dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Namun, senyumannya terpadam selepas seketika.
            ‘Mei Mei, aku merindui kamu. Kalau kau ada, tentu kita akan seronok menjahit bersama-sama.’ Detak hati Mak Cik Tina, dan wajahnya kembali muram.
            Bunyi telefon bimbit Maria mematikan lamunan Mak Cik Tina.
            “Maria, telefon kamu berdering. Jawablah, mana tahu ini panggilan penting.” Makcik Tina memanggil Maria dengan lembut.
            Maria menghampiri dan menjawab panggilan itu. Kak Aqilah yang menghubungi untuk bertanya khabar. Maria gembira berbual dengannya, kerana wanita itu sudah seperti Mak Cik Anita yang selalu menjaga kebajikannya sejak dahulu. Sekarang, wanita itu masih menjaganya walaupun dari jauh. Maria gembira kerana dia masih memiliki kasih sayang Kak Aqilah.
            Sekarang, dia mengetahui yang ayah kandung masih bernafas dan dia harus mencari lelaki itu. Lelaki yang darahnya mengalir di dalam tubuhnya itu merupakan satu-satunya saudara yang dia masih ada. Fikir-fikir itu menyebabkan kerinduannya kepada seorang ayah kian bertunas di dalam jiwanya.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape