May 8, 2012

WARKAH BUAT MARIA : BAB 11


[11]
Oleh: Rahmah Mokhtar
“Assalamualaikum. Ada apa kalian berkumpul ramai-ramai di sini?” Tok Leman menegur sebaik sahaja tiba di rumahnya.
            “Ayah, mereka semua menanti ayah. Ada perkara yang mahu ditanyakan.” Akma menjawab bagi pihak tetamunya.
            “Iya, kami menanti Tok Ketua. Tetapi, Tok naiklah ke atas dan selesakan diri Tok dahulu. Kami tidak kisah hendak menunggu lagi,” Hariri Khan bersuara mewakili teman-temannya.
            “Baiklah. Sebentar ya? Akma, tolong buatkan kopi ‘O’ pekat untuk ayah. Tambahkan sekali minuman buat tetamu kita.” Ujar Tok Leman lalu meminta diri.
            Akma patuh menurut perintah ayahnya. Tanpa menunggu lebih lama, dia menghilang ke dapur sesudah meminta tetamunya menunggu di ruang tamu. Zatul dan Husna yang sudah letih duduk itu segera mengemas piring dan cawan yang sudah digunakan itu dan membawa semuanya ke dapur.
Hariri Khan dan Engku Saadiah yang menanti di ruang tamu mengambil kesempatan itu untuk memerhati keadaan sekeliling. Tok Leman satu-satunya harapan yang masih tinggal selain pewaris Puan Anita! Maka, sebarang petunjuk penting bagi menyelesaikan kes itu tidak harus dipandang sepi!
“Siapa kalian berdua ya? Tok terlupa hendak bertanya tadi.” Tok Leman yang sudah selesai membersihkan diri menegur Engku Saadiah dan Hariri Khan.
“Kami pun terlupa hendak memperkenalkan diri. Saya Hariri Khan, dan ini teman saya Engku Saadiah. Maaflah kami datang tanpa memberitahu terlebih dahulu.” Kata Hariri Khan mesra.
“Anak berdua ini ada tujuan apa hendak mencari saya? Tentu ada urusan penting sehingga sanggup menunggu lama-lama di luar tadi.” Tok Leman berkata lagi.
Tok Leman kemudiannya merapati meja makan di ruang tamu rumahnya itu lalu duduk di hadapan pasangan muda yang sama cantik dan sepadan itu. Dia menghela nafas dan Akma muncul sesudah itu bersama dulang berisi hidangan di tangan. Zatul dan Husna ikut di belakangnya dan tangan masing-masing turut menatang dulang hidangan.
“Saya minta maaf banyak-banyak, Tok Leman. Sebenarnya saya dan teman saya ini tiada apa-apa niat hendak merosakkan hari Tok, tetapi kami sangat-sangat perlukan kerjasama Tok. Ini berkenaan kes pembunuhan kejam seorang wanita bernama Haslinda Usman.” Hariri Khan berkata serius, tanpa berdalih.
“Haslinda Usman? Tidak! Jangan harap aku akan membuka kisah itu!” Tok Leman menghentak meja makan itu. Zatul dan Husna tersentak kerana tidak menduga ketua kampung itu akan berkasar!
 “Tok Leman, kami bukan hendak membuat tok berhiba hati, tetapi kami perlukan maklumat dari Tok. Kes itu perlu diselesaikan! Pembunuh yang kejam itu harus dibawa ke muka pengadilan!” Hariri Khan mengapikan semangat ketua kampung itu, tanpa mempedulikan amukannya.
“Tidak, aku kata tidak!” Tok Leman terus berkeras.
Zatul dan Husna terus mendiamkan diri. Muka masing-masing pucat. Mereka kecut perut melihat kemarahan Tok Leman yang luar biasa itu. Tangan mereka menggenggam kuat kayu pemegang sofa yang sudah dimakan usia itu. Gerun!
***
Dato’ Harith tidak senang duduk. Kulit mukanya yang penuh kedutan itu semakin nampak berusia kerana hatinya sedang tidak tenang. Mihun goreng di dalam pinggannya itu langsung tidak dijamah. Sebaliknya, dia memandang kosong ke arah dinding rumahnya yang besar itu, dan tangannya asyik menguis-nguis mihun goreng di dalam pinggannya.
Anak perempuan Dato’ Harith yang berwajah lembut itu memandang ayahnya dengan memek muka yang gusar. Dia khuatir melihat ayahnya yang semakin kuat termenung itu.
“Ayah, kenapa? Sekarang ini ayah semakin kerap termenung begini. Masalah apa yang mengganggu ayah?” Yana menegur ayahnya dengan berhati-hati.
Dato’ Harith tersentak dari menungannya, lalu dia berkalih dan memandang wajah anaknya yang jelas sedang diamuk risau itu. Tanpa berkata apa-apa, dia menggelengkan kepalanya. Garfu di tangannya diletakkan perlahan-lahan di atas pinggan, dan Dato’ Harith beralih dari meja makan lalu menuju ke kamar kerjanya di rumah itu.
Yana mengeluh perlahan. ‘Kenapa dengan ayah?’ Dia berkata kepada dirinya sendiri, dan menundukkan pandangannya ke meja makan. Sejurus, dia berlalu dari meja itu juga. Destinasinya, kamar kerja Dato’ Harith!
***
Yana mengetuk pintu kamar kerja ayahnya dengan perlahan. Tiada suara yang menyahut dari dalam bilik itu. Dia tahu, ayahnya mahu waktu bersendirian tetapi dia menolak juga pintu itu dan melangkah masuk ke ruang itu.
            Dato’ Harith yang sedang tenggelam dalam lamunannya tidak langsung mengangkat wajahnya walaupun anak perempuannya itu sudah duduk di hadapannya. Sebuah album lama ditatap penuh perasaan, dan dia hilang dalam emosinya yang kian meresah. Yana hanya diam memerhati, memberi waktu kepada ayahnya. Sebuah kotak kayu lama yang ternganga luas kelihatan di sisi kaki Dato’ Harith menarik perhatiannya namun dia berusaha mengalihkan pandangannya dari kotak lama itu. Wajah ayahnya diperhatikan.
            Setelah beberapa ketika, Yana memberanikan diri membuka mulut, “Ayah, ayah tahu bahawa ayah boleh berkongsi masalah ayah dengan saya, bukan? Kenapa ayah murung begini?”
            Dato’ Harith mengangkat wajahnya, dan menghulurkan album lama itu kepada anak perempuannya. Wanita itu mengerutkan dahinya, kerana dia tidak pernah melihat album itu sebelum ini.
            “Siapa wanita cantik ini, ayah?” Tanya wanita berwajah lembut itu sebaik sahaja matanya menatap foto hitam putih seorang wanita yang cantik di dalam persalinan kebaya labuh.
            “Itu gambar ibu kamu. Dia memang cantik dan lembut, dan kamu mewarisi sifat-sifatnya itu.” Ujar Dato’ Harith lalu tersenyum pahit.
            “Ini ibu Yana? Kenapa baru sekarang ayah tunjukkan gambar ibu kepada Yana? Semasa Yana bertanya dahulu, ayah kata gambar ibu sudah hilang semasa rumah kita terbakar.” Wanita berwajah lembut itu bertanya dengan pipi yang sudah basah dengan air mata.
            Dato’ Harith bangun dari kerusinya, dan merapati anak perempuannya yang sedang menangis itu. Perlahan-lahan, jarinya yang sudah berkedut itu menyeka air mata yang mengalir di pipi anak kesayangannya itu. Matanya menatap wajah lembut anaknya dengan penuh rasa kasih, lalu dia mengucup ubun-ubun anak perempuannya itu. Seketika kemudian, mereka berdakapan dalam tangis.
            “Maafkan ayah. Ayah bukannya sengaja menyorokkan segala perihal ibu kamu, tetapi ayah tidak sanggup. Ada luka lama yang masih berdarah, dan membuka cerita mengenainya hanya membuatkan luka itu semakin berdarah. Maafkan ayah kerana berlaku tidak adil kepada kamu. Ayah tidak sengaja.” Dato’ Harith menjelaskan dan air mata Yana terus mengalir.
***
Fauzi Burhanudin memandang tiga rim ‘kertas istimewa’ yang baru sampai di pejabatnya itu. Pesanan ringkas sudah dihantar kepada Maria, dan dia menjangka wanita berwajah sugul itu akan sampai di pejabatnya dalam tempoh terdekat bagi mengambil kertas itu.
            Sementara menanti, dia menyemak stok barangan yang masih belum dihantar kepada pelanggan-pelanggan tetapnya. Nampaknya, masih ada beberapa penghantaran yang perlu dilakukan pada minggu itu.
            ‘Zatul bercuti lagi hari ini, ada urusan apa lagilah dia kali ini?’ Gumamnya, dan dia menyambung kerjanya semula.
              Sementara itu, Maria berkejar ke pejabat Fauzi Burhanudin. Kedatangannya kali ini adalah dalam pengetahuan Makcik Tina. Sewaktu dia keluar tadi, Makcik Tina menghantarnya di muka pintu dengan senyuman lebar yang sangat mendamaikan. Maria percaya, kali ini semuanya akan menjadi lebih baik kerana senyuman Makcik Tina menyamai wanita yang mempunyai senyuman yang mendamaikan itu.
Berbekalkan keyakinan itu, Maria mengatur langkahnya laju. Di hadapan pintu bangunan itu, dia terserempak dengan Taruna yang sedang sibuk menyusun kotak-kotak yang tampak berat. Mereka berbalas-balas senyum dan berbalas lambaian seketika sebelum Maria meneruskan langkah menuju ke pejabat Fauzi Burhanudin.
            “Assalamualaikum, Encik Fauzi.” Maria tersenyum manis di hadapan pintu.
            “Waalaikumsalam, Cik Maria!” Fauzi Burhanudin membalas, juga dengan nada ceria.
            Maria memandang tiga rim set ‘kertas istimewa’ yang sudah siap dibungkus di dalam beg plastik itu. Hatinya berbunga-bunga, dan dia tersenyum manis kepada Fauzi Burhanudin yang telah bersusah-payah membantunya mendapatkan set kertas itu. Di luar pengetahuannya, lelaki itu menyimpan rasa senang di dalam hatinya apabila melihat senyuman di wajah yang selalu sugul itu. Perlahan-lahan, bibirnya mengorak senyuman.
***
“Akma, bawakan ayah surat khabar hari ini!” Tok Leman melaung kepada anaknya yang sedang menambah air buat tetamunya yang masih belum pulang itu.
            Terkocoh-kocoh, Akma muncul di ruang tamu bersama senaskhah akhbar di tangannya. Tok Leman mencapai akhbar itu dan terus menyelak halaman demi halaman, sekaligus membiarkan empat orang tetamunya itu tanpa layanan. Keras benar dia dengan keputusannya untuk tidak bercerita apa-apa mengenai kisah Haslinda Usman itu.
            Zatul memandang Husna, tetapi temannya itu sibuk menundukkan pandangan kerana asyik malu-malu dengan Hariri Khan. Lalu, dia menyiku lengan temannya itu perlahan-lahan. Husna mengangkat kepala dan memandangnya, sebelum mereka berdua berbalas-balas pandang dengan Hariri Khan dan Engku Saadiah. Masing-masing menjungkitkan bahu dan mengeluh perlahan, kerana tidak menyangka Tok Leman begitu degil.
            “Iklan apa pula ini? Mencari ayah kandung? Macam-macamlah sekarang ini. Isteri mencari suami, ibu mencari anak, anak mencari ayah.” Tiba-tiba, Tok Leman bersuara.
            “Siapa yang dicari, ayah?” Akma bertanya, cuba menghidupkan suasana.
            “Ini, seorang perempuan bernama Maria mencari ayahnya, Abdul Muin bin Abidin?” Tok Leman menegakkan badannya sebaik sahaja menyebut nama lelaki yang dicari itu dan mereka berlima yang berada di ruang tamu itu segera memasang wajah hairan.
            ‘Tok Leman ini, kenapa pula?’ Detak hati Zatul.
            Tok Leman kemudiannya membaca iklan itu berulang-ulang kali dan mereka semakin hairan melihat kelakuannya. Selesai membacanya buat kali ketiga, Tok Leman berdiri tegak! Zatul dan Husna pantas terjerit kecil kerana terperanjat!
            “Anak perempuan Abdul Muin! Akhirnya, dia memunculkan diri!” Kata Tok Leman bersemangat.
            Zatul segera menyembunyikan diri di belakang Husna yang bertubuh tinggi. Hariri Khan pula sudah siap memasak kakinya di lantai, dan bersedia kalau-kalau perangai Tok Leman semakin pelik. Engku Saadiah yang berdiri paling hampir dengan Tok Leman pula menganjakkan langkahnya sedikit ke belakang.
            “Ayah kenal Abdul Muin bin Abidin yang dicari itu?” Akma memberanikan diri bertanya.
            “Sudah tentu. Kalau betullah apa yang ayah jangka, dialah anak perempuan ibu muda yang dibunuh dengan kejam itu! Kebetulan, nama bayi yang dilarikan itu adalah Maria. Ya, pastilah dia Maria binti Abdul Muin!” Tok Leman berkata lagi dan serentak, anak mata hitam Hariri Khan dan Engku Saadiah membuntang!
***
Makcik Tina membelek-belek ‘kertas istimewa’ yang dibawa pulang oleh Maria itu dengan teliti. Maria menanti di sisinya dengan debaran yang mengocak tenang, seumpama seorang pelajar yang sedang menanti pengumuman keputusan peperiksaannya.
            “Kenapa ada sesuatu yang kurang pada kertas ini?” Tanya Makcik Tina tiba-tiba.
            “Kurang? Apa yang kurang, makcik?” Balas Maria kalut. Wajahnya pucat, kerana dia tidak mahu Makcik Tina marah dan kecewa lagi.
            “Corak abstraknya ini. Bukankah bahagian ini seharusnya berwarna kelabu cair, kenapa pula warnanya hitam?” Kata Makcik Tina lagi.
            Maria semakin tidak tentu arah tetapi dia mengawal perasaannya yang berkecamuk itu sebaik mungkin. Kertas di tangan Makcik Tina itu dicapai dan kekurangan yang diperkatakan oleh wanita itu diperhatikannya.
            “Kalau begini, terpaksalah saya menempah kertas yang baru.” Ujar Maria dan di luar kesedarannya, dia mengeluh.
            ‘Hai, bayaran yang sebelum ini pun belum habis, manalah aku hendak cari wang tambahan bagi membayar tempahan yang baru?’ Maria berkata perlahan kepada dirinya sendiri.
            “Tidak perlu, ralat kecil sahaja. Makcik pasti, Mei Mei juga tidak akan memandang berat kesilapan itu. Seperti makcik, dia mesti merasakan bahawa ini peluang yang tidak harus dipandang enteng!” Kata Makcik Tina, membuahkan lega dalam nafas desahan Maria.
            “Jadi, adakah saya perlu mengirim kertas ini kepada Mei Ling di Bandar Hilir?” Tanya Maria dengan riak yang lebih bersemangat.
            Makcik Tina mengulum senyum tanda merelakan pertanyaan Maria yang berbentuk permintaan itu. Semangat Maria terus melonjak. ‘Ya, mereka akan berbaik-baik selepas ini! Jadi, aku boleh fokus pada usaha mencari ayah!’ Hati kecilnya berkata-kata, dan air mukanya semakin bercahaya!
***
Engku Saadiah dan Hariri Khan berdiri di tepi tingkap, memandang jauh ke halaman rumah Tok Leman. Dari situ, papan tanda besar bertulis ‘Ini rumah Ketua Kampung Semangka’ jelas kelihatan. Mereka masih tertanya-tanya mengenai lelaki tua dan papan tanda besar itu, tetapi sekarang bukan masa yang tepat untuk berfikir hal itu. Fikiran mereka penuh dengan pertanyaan mengenai seorang wanita.
            ‘Siapa sebenarnya Maria binti Abdul Muin?’ Fikiran Hariri Khan mendesak.
            ‘Benarkah dia anak wanita yang dibunuh itu? Betulkah dia anak Puan Haslinda Usman?’ Engku Saadiah tertanya-tanya sendiri.
            Di sebuah lagi tingkap di ruang tamu itu, Zatul dan Husna berbincang dari hati ke hati. Penyataan Tok Leman sebelum itu membuka sebuah lagi ruang penyiasatan buat mereka berdua dan mereka berasa semakin teruja!
            “Nampaknya, kedatangan kita ke sini tidak sia-sia! Kita mempunyai haluan baru untuk menyiasat kes ini walaupun Tok Leman tidak mahu bercerita!” Husna berbisik keras ke telinga Zatul.
            Zatul mengangguk pantas, dengan riak girang yang semakin tidak terkawal. “Ya, kita berdua harus cepat-cepat menjejaki Maria binti Abdul Muin itu! Kalau kita terlambat, tidak mustahil Hariri Khan dan Engku Saadiah akan mendahului kita!” Kata Zatul kemudiannya, dengan wajah tanpa senyuman.
            “Jadi, ayuhlah kita pulang! Kita beli akhbar dan cepat-cepat menghubungi si Maria itu dan bertemu dengannya. Semoga ada banyak petunjuk yang menanti dalam pertemuan itu.” Kata Husna, dan sekali lagi, Zatul mengangguk pantas.
            “Jom!” Kata Zatul, lalu mereka meminta diri untuk pulang.
            Pemergian dua orang perempuan itu melegakan perasaan Tok Leman. Sekurang-kurangnya, rahsia yang disimpan kemas selama dua puluh tahun itu masih selamat dan tidak tergali. Kalaupun sudah sampai masa untuk bercerita, dia hsnys akan membukanya kepada pihak polis ataupun penyiasat yang berlesen!
            “Tok Leman, siapa pula yang melarikan Maria ketika ibunya dibunuh?” Engku Saadiah bertanya apabila wajah Tok Leman kelihatan lebih tenang dari sebelumnya.
            “Tok tidak tahu, kerana Tok tiada di tempat kejadian. Yang Tok tahu, ketika Abdul Muin tiba di situ, hanya mayat isterinya yang terbujur.” Balas Tok Leman, tanpa menyedari dia sedang membuka rahsianya.
            “Maksudnya, tiada sesiapa yang pernah melihat wajah pembunuh itu kecuali arwah Haslinda Usman? Apakah terdapat kemungkinan Maria dilarikan oleh pembunuh itu?” Hariri Khan bertanya pula.
            “Tok tidak tahu. Tok hanya diamanahkan menyimpan hal ini sehinggalah Maria ditemui.” Kata Tok Leman lagi.
            “Siapa yang mengikat Tok kepada amanah ini?” Engku Saadiah bertanya dengan nada yang cuba dikawal.
            Tok Leman mendengus nafasnya perlahan. Akma yang berada di sisinya menanti jawapannya dengan mulut yang sudah ternganga. 

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape