Sebuah cerpen untuk Geng Urban (Carian FB: Geng Urban)
Oleh: Rahmah Mokhtar
![]() |
Sumber gambar: turtola.edublogs.org |
Aliya termenung di meja tulis. Sehelai kertas kosong di
atas meja dipandang lama. Sesekali dia mendongak, mengeluh dan memandang kertas
itu lagi.
Perlahan-lahan, dia mencapai bekas pensel di hujung meja. Dia
kemudiannya mengeluarkan sebatang pen biru dengan cermat sebelum kotak pensel
itu diletakkan semula ke tempatnya.
Mata pen diletakkan di atas kertas, namun tidak digerakkan
membuatkan dakwat biru pen itu membentuk tanda bulat. Semakin lama, semakin
besar bulatan itu.
Akhirnya, Aliya mengangkat mata pen dan mula menulis kata
pertamanya.
'Salam maaf, buat ayahanda tersayang.'
Itu ayat pertama yang tertulis. Kemudian, gerakan pen biru itu
terhenti lagi. Dia berkeluh lagi sebelum meletakkan pen itu di atas meja.
Selepas itu, dia berdiri dan menuju ke tingkap. Dia tersenyum setiap kali angin
malam lembut menyapa pipi.
Rupa-rupanya, dingin malam itu tidak sahaja menampar pipi,
bahkan tempiasnya turut sampai ke hati. Lantas, Aliya yang diam-diam memandang
langit yang pekat menghitam akhirnya teresak-esak di tepi jendela.
“Papa,” ulas bibirnya mengucap sepatah kata. Perlahan namun
cukup kuat kepada pendengarannya sendiri.
Selepas beberapa ketika, dia kembali ke meja tulis sambil
mengesat hujung mata. Dia menyambung tulisannya lagi.
'Anakanda memohon maaf. Tiada niat di hati mahu membuat
yang tidak-tidak, terutamanya kepada ayahanda. Mulut ini ternyata, terlalu
berat mahu mengungkap kata di hadapanmu. Apatah lagi, setiap kali merenung
matamu yang selalu berkaca-kaca semenjak bonda pergi. Maafkan anakanda jika
tindakan ini menambah beban di hatimu.’
***
Lima bulan lalu.
Papa berdiri di ruang tamu. Wajahnya sedih amat dan matanya
jelas dengan bekas tangisan. Sejak petang semalam, air mata lelaki yang
jarang-jarang tumpah langsung mengalir-ngalir dari empangan matanya yang selalu
kukuh.
Kakinya yang sentiasa tegak umpama askar yang gagah berkawad
di tengah padang tampak goyah hari itu. Saat dia memegang dinding bagi
menampung berat tubuh, Pak Cik Taha merapat ke arahnya.
Tidak jauh dari tempat Papa berdiri, Aliya memandang sayu. Dia
sendiri, sudah sering mengelap air mata sejak petang semalam. Kata-kata Papa
selepas pulang dari kubur siang tadi begitu menyayat hati. Waktu itu, dia yang tersilap
kerana bertanyakan wang bagi melunaskan bayaran makanan kenduri tahlil yang sedang
berlangsung di ruang hadapan.
Kata Papa, “Ambillah sebanyak mana wang yang ada dari
dompet itu. Papa sudah hilang segala-galanya, saat Mama kamu pergi. Harta Papa
semuanya sudah tiada makna apa-apa.”
Dia betul-betul rasa mahu menampar pipi sendiri! Entah di
sekolah manalah dia belajar adab sebegitu kepada seorang lelaki tua yang sedang
berduka. Aliya sedih amat dan selebihnya, dia marahkan dirinya sendiri.
Mujur, Pak Cik Taha yang selalu faham sikap dan ulah Papa. Dia
rakan baik Papa sejak 35 tahun lalu. Dialah yang menemukan Papa dan Mama. Dialah
yang memperkenalkan Papa dengan isteri solehahnya itu, saat mereka baru sahaja
menamatkan pengajian di Sekolah Tinggi Kuala Kangsar.
Pak Cik Taha menepuk lembut bahu Papa, beberapa kali sambil
mulutnya kumat-kamit membacakan sesuatu. Mungkin sahaja, dia mengikut bacaan
Surah Yassin yang sedang bergema di ruang depan. Boleh jadi juga, dia membaca
doa supaya hati Papa lebih ampuh. Entah, Aliya tidak tahu.
Mahu mendekat, dia takut Papa bertambah sedih. Ramai orang
kata wajahnya persis Mama. Tidak kurang juga yang mengatakan, “Alhamdulillah,
tengok muka kamu teringatkan dia. Tidak banyak yang berbeza. Saiz badan pun nampak
serupa sahaja.”
Sebab itulah, Aliya berdiri jauh-jauh dari Papa walaupun
hatinya mendesak-desak mahu mendakap tubuh lelaki kesayangannya itu. Dia tidak
mahu Papa lebih sedih.
***
Aliya memandang kertas putihnya yang baru bertulis satu
perenggan itu. Dia berkeluh lagi. Bibirnya yang cantik itu payah benar mahu
menerbit senyum. Wajahnya keruh, kian mencermin lara.
Kemudian, Aliya menulis lagi.
Hiba. Saat ini, hatiku hanya penuh dengan rasa ini. Mahu
bercerita, anakanda tidak kuat melawan air mata. Mahu memeluk dan membalas
pelukanmu, anakanda juga tidak akan kuat melawan rasa. Maafkan anakanda.'
Dia berhenti menulis lagi. Kali ini, tangannya menyeka air
mata yang mengalir ke pipi. Dia mengembungkan pipi, berkali-kali. Berusaha
mengawal rasa supaya kilang air matanya tidak bekerja lagi. Kemudian, dia
menulis kembali.
'Anakanda tahu, anakanda sedang menjadi anak yang tidak
baik kerana menyusahkan hati orang tuanya. Untuk itu, maafkan anakanda.
Sesungguhnya, anakanda enggan menangis di hadapanmu. Cukuplah kalau Allah yang
melihat dan mendengar tangisan ini. Maafkan anakanda, kalau itu mengguris hati
tuamu.
Katamu, anak-anak adalah dugaan kepada ibu dan bapa.
Menjadi salah satu ujian yang tidak pernah putus itu, maafkan anakanda.
***
Masih jelas di kotak ingatan Aliya, bicara Papa sewaktu dia
enggan menurut ke kubur bagi menziarahi pusara Mama dua bulan yang lalu.
Waktu itu, Papa memandangnya dengan sebuah pandangan yang
sukar dimengerti. Ketika itu, dia mudah mentafsirkannya sebagai renungan marah
seorang lelaki pada saat anak perempuannya enggan mengirim doa buat
satu-satunya wanita yang pernah berkorban segala-gala bagi menjadi ‘rusuk kiri’
terbaik.
Namun, dia kembali tidak mengerti apabila renungan Papa yang
keras berubah lembut tiba-tiba. Kemudian, lelaki itu tersenyum kecil sejurus membuatkan
dahi Aliya berkerut hebat!
Sedang Aliya berkira-kira mahu meluah tanya, Papa terlebih
dahulu berbicara tenang. Kata Papa, “Dugaan itu selalu hadir, dalam bentuk
senang ataupun payah. Tidak kira kita orang yang paling berpengaruh atas dunia
atau orang yang hanya terkenal di dalam keluarga, dia akan tetap diuji Tuhan.
Mungkin sahaja, ujian itu datang dalam bentuk secangkir kopi pekat tanpa gula atau
timbunan harta setinggi bukit.”
Aliya memandang wajah Papa yang masih juga sedang
tersenyum! Dia hairan sehingga dua keningnya yang tidak rapi itu hampir-hampir
bercantum.
Tetap, mulutnya diam bagai memberi ruang kepada Papa untuk
terus meluah rasa dan mengirim pesan.
Kemudian, Papa tersenyum lagi dan menyambung, “Seringkali,
tanpa kita sedar dua malaikat di atas bahu kita tidak pernah berhenti mencatit.
Entah-entah, buku amalan kiri kita lebih tebal berbanding catatan malaikat di
bahu kanan. Tahukah kamu, anak-anak itu adalah dugaan buat semua ibu bapa?
Alhamdulillah, Tuhan masih sayangkan Papa kerana menghadirkan kamu dalam hidup
Papa.”
Kemudian, Papa menuju ke pintu tanpa mengajaknya lagi.
Tanpa pamitan, Papa berlalu ke kereta dan terus memandu ke arah tujuannya.
Aliya hairan benar. ‘Sejak bila Papa menjadi insan yang begitu penyabar?’ Tanya
hatinya.
Aliya bergumam lagi, “Adakah sabarnya itu terhasil dek
pengalaman berjarak 60 tahun? Atau itu rombakan rasa seorang lelaki yang telah menemukan
pelbagai jenis manusia dan merasai bermacam-macam rencah hidup?”
Sampai sekarang, Aliya tidak pernah punya jawapan yang
pasti.
***
Titis-titis air jernih
bertumpu di hujung kertas putih. Aliya mengesat mata sebelum mencapai sehelai
tisu dan menekapnya ke bahagian yang basah itu dengan hujung jari.
Kemudian, dia mencapai
pen dan menulis lagi.
‘Maafkan anakanda kerana menjadi patung bisu yang tidak
meluahkan rasa.
Maafkan anakanda kerana menjadi anak yang tidak baik.
Maafkan anakanda kerana menyimpan semuanya di dalam
hati.
Maafkan anakanda kerana tidak mampu tersenyum.
Untuk semua ini, maafkan anakanda.
Salam maaf. Maafkan anakanda kerana menyayangi dengan
cara begini. Semoga masa mengubat segalanya.'
Dia meletakkan pen. Air mata yang sedang mengalir disapu
perlahan.
Usai dia menulis, telefon bimbitnya berbunyi dan skrin
kecil alat telekomunikasi itu menyala-nyala.
‘Belajarlah memaafkan dirimu sendiri. Dengan itu, kamu akan
selalu tersenyum dan mampu menjadi insan yang paling berbahagia.’
Aliya tersentak. Ayat-ayat itu dibaca beberapa kali lagi selepas
itu. Kemudian, perlahan-lahan bibirnya menyungging senyum. “Rupa-rupanya, Papa
tahu!”
Selang beberapa minit, skrin kecil itu terkelip-kelip lagi.
Laju, Aliya menekan butang bagi membuka mesej yang diterima.
‘Bagaimana mungkin Papa biarkan si gadis manis yang
mewarisi kebanyakan peribadi bondanya ini bersedih hati? Bukankah kamu itu
dugaan buat Papa? Maka, menjadi tanggungjawab Papa bagi menjaga dan membimbing
kamu di jalan lurus yang tersedia oleh Tuhan selagi mana kamu belum bergelar
isteri. Sehingga waktu itu belum tiba dan sampai bila-bila, jadilah anak yang
terbaik buat Papa dan Mama, supaya doa-doa kamu mudah terjawab oleh Tuhan.’
Demi membaca baris-baris pesan itu, Aliya merenyuk kertas
putihnya yang sudah penuh dengan tulisan. “Astaghfirullah, astaghfirullah,
astaghfirullah.” Dia mengucap kata-kata memohon ampunan Tuhan itu sehingga
hatinya berasa ringan. Kemudian, dia melafaz kalimah syahadah dan memohon ampun
lagi sampai beban di dalam hati terasa bagai terusir pergi.
Kemudian, dia tersenyum dengan payah selajur berkata,
"Alhamdulillah."
***
Al-Fatihah, buat arwah bonda tercinta Puan Hajah Zaliah binti Ahmad. Semoga bonda sentiasa disayang Allah. Amin.
Al-Fatihah, buat arwah bonda tercinta Puan Hajah Zaliah binti Ahmad. Semoga bonda sentiasa disayang Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment