Oleh: Rahmah Mokhtar
Perlahan-lahan, Dato’ Harith melepaskan pelukannya. Yana yang masih teresak-esak menegakkan badannya lalu mengelap air mata yang masih bersisa di hujung matanya. Kemudian, dia mencapai album gambar yang sudah terlungkup di atas lantai. Foto lama itu ditatap dan disentuh lagi dengan penuh perasaan. Kasihnya tertumpah pada wajah mulus yang cantik di dalam gambar itu.
“Ayah, di mana ibu sekarang?” Tanya Yana dengan wajah
penuh mengharap.
“Ayah tidak tahu, kerana kami tidak pernah bertemu sejak berpisah
dua puluh tahun lalu.” Kata Dato’ Harith dengan payah.
“Mengapa ayah tidak tahu? Bukankah sepatutnya ayah
mengetahui khabar ibu, sekurang-kurangnya lokasi terakhirnya?” Ujar Yana yang
masih berharap. Nadanya kedengaran merayu.
“Ayah minta maaf, kerana kami tidak berpisah secara baik
dan semua itu berlaku tanpa kerelaan ayah! Janganlah bertanya mengenainya lagi.
Ayah mohon Yana mengerti, bahawa ayah mahu melupakan hal itu.” Kata Dato’
Harith seraya mengusap rambut anak perempuannya.
Yana yang masih bersedih itu mematikan kata-katanya, lalu
bangun dan keluar dari kamar kerja ayahnya. Tangannya sempat mencabut sekeping
foto lama dari album di tangan ayahnya itu dan Dato’ Harith langsung tidak
melarang. Sampai di pintu, Yana menoleh ke arah ayahnya. Wajah kusam lelaki tua
itu yang sarat dengan kesedihan ditatap lama, dan pipinya basah lagi.
Tanpa sengaja, Yana bertembung dengan pekebun ayahnya
yang tiba-tiba muncul di luar pintu kamar kerja ayahnya. Foto di tangannya
terlepas dari tangan dan Abdul Samad segera mengambilnya dari lantai. Wajah
pekebunnya yang kusam tetapi tenang itu berubah apabila matanya tertancap pada
foto wajah ibu Yana yang tanpa warna itu. Namun, dia cepat-cepat meneutralkan
riaknya sambil memulangkan foto itu kepada Yana yang sedang teresak-esak.
Seketika kemudian, Yana berlalu dari pintu itu dan menuju
ke kamarnya dengan esakan yang tetap belum berhenti.
“Apa yang berlaku di antara ayah dengan ibu? Mengapa ayah
tidak mahu bercerita apa-apa mengenai perpisahan mereka?” Gumam Yana.
Malam itu Yana termenung sendirian di meja kerja di dalam
biliknya. Skrin laptopnya yang berwarna-warni dipandang kosong. Emosinya
benar-benar kacau. Perasaannya yang tenang berkocak saat dia mengetahui bahawa
ibunya masih hidup. Sebagai seorang anak yang merindui kasih ibunya, dia sangat
mengharapkan ayahnya membuka kisah yang menyebabkan perpisahan mereka berdua
itu.
“Ibu, Yana rindukan ibu tetapi bagaimana mungkin Yana
sanggup melukakan ayah kerana keinginan hati yang mahu mencari ibu? Ayah yang
menjaga Yana sebaik mungkin dan ayah yang tidak pernah membiarkan Yana
kekurangan apa-apa.” Kata Yana lalu dia tenggelam dalam kesedihan.
Bunyi ketukan di pintu biliknya mengejutkan Yana. Selepas
itu, suara pembantu rumahnya kedengaran, “Yana, belum tidur lagi?”
“Belum lagi Mak Dayah. Masuklah, saya tidak mengunci
pintu.” Ujar Yana tanpa bangkit dari kerusinya.
Sejurus, seorang wanita tua muncul di muka pintu dan dia
memandang Yana dengan penuh perhatian dan kasih.
“Mengapa belum tidur lagi? Bukankah hari sudah lewat?” Tanya
Mak Dayah prihatin.
“Saya tidak dapat melelapkan mata kerana asyik
teringatkan ibu. Saya rindukan ibu, tetapi ayah masih mahu merahsiakan
segalanya mengenai ibu.” Ujar Yana lalu dia menangis lagi. Esakannya meninggi
apabila tangan tua Mak Dayah menyentuh kepalanya.
“Sabarlah, teruslah berdoa supaya Dato’ terbuka hati
untuk membuka kisah lama.” Mak Dayah berkata lembut.
“Tetapi, sudah dua puluh tahun. Kenapa luka ayah belum
sembuh-sembuh?” Kata Yana dalam tangisnya yang kian sayu.
Mak Dayah mendiamkan diri dan terus mengusap kepala Yana
dengan penuh kasih. Sesekali, tangannya singgah di bahu Yana yang
terhinggut-hinggut. Dia bersimpati, kerana dia yang menjaga Yana sejak kecil
dan dia tahu keluh-kesah anak yang dahagakan kasih ibu itu.
“Mungkin sahaja hati Yana belum cukup kuat untuk menerima
cerita itu, sebab itulah Tuhan belum melembutkan hati Dato’ untuk bercerita
dengan Yana.” Kata Mak Dayah akhirnya dan perlahan-lahan, tangisan Yana berubah
nada sebelum berhenti.
Malam itu, Yana tidur bertemankan Mak Dayah yang setia
memujuk resahnya. Dato’ Harith yang singgah melihat keadaannya hanya mengusap
rambutnya perlahan, sebelum mengeluh perlahan dan berlalu. Mak Dayah terhimpit.
***
“Pada malam kejadian itu, Tok sedang berehat-rehat di
serambi rumah dengan ayah Tok sementara menanti emak Tok menyediakan kopi ‘O’
panas. Masa itu Tok pelik juga. Sunyi benar malam itu, tiada sahutan cengkerik,
mahupun lolongan serigala. Langit pula hitam, Langsung tiada sebutir bintang
pun menghiasi dada langit. Semuanya hitam. Gelap, macam warna kopi ‘O’ pekat!”
Tok Leman memulakan kisahnya dan Akma yang dihurung rasa seram segera meneguk
liurnya sendiri.
“Tiba-tiba, suara jeritan seorang wanita yang membingit
memecah hening. Tersentak semua orang! Kopi ‘O’ yang masih panas tercampak ke
lantai. Masa itu, wajah mak Tok pucat tidak berdarah! Berderau betul!” Tok
Leman menyambung lagi.
“Selepas itu, apa yang ayah lakukan?” Akma bertanya
dengan wajah yang mula tegang.
“Ayah berkejar keluar dengan datuk kamulah. Nenek kamu
menunggu diam-diam di rumah jiran, dan kami bergegas mencari arah suara itu
datang. Di pertengahan jalan, kami terserempak dengan beberapa orang kampung
yang lain yang berjaya mengenal pasti yang suara itu berasal dari rumah Abdul
Muin.” Tok Leman bercerita lagi dan wajah Akma terus menegang.
“Lepas itu, apa yang terjadi?” Tanya Engku Saadiah.
“Ketika kami sampai di rumah Abdul Muin, lelaki itu
sedang terkaku di tepi mayat isterinya dengan wajah yang pucat. Waktu itu,
hanya Tuhan yang tahu betapa kecutnya hati kami ketika melihat mayat Haslinda
Usman yang mengerikan itu. Sampai sekarang, Tok tidak pernah melupakan rupa
tubuhnya yang dipenuhi kesan tetakan itu!” Tok Leman menyambung ceritanya dan
Hariri Khan yang sudah duduk di sebelahnya itu mendengar dengan penuh minat.
Engku Saadiah pula, setia berdiri di tepi tingkap dengan
sebuah buku nota yang penuh dengan catatan. Akma awal-awal sudah bertopang
dagu, menanti ayahnya membuka cerita lama yang hitam sejarahnya itu.
“Bagaimana keadaan Abdul Muin semasa itu?” Engku Saadiah
bertanya.
“Kasihan benar Tok melihat dia. Rupanya sangat tidak
bermaya dan wajahnya langsung tidak bercahaya! Tok masih ingat, masa itu Tok
terpaksa memapahnya sepanjang malam kerana kakinya terlalu lemah. Tenaganya
lenyap dan dia langsung tidak boleh memijak tanah!” Ujar Tok Leman dan wajahnya
mula basah dengan bintik-bintik peluh.
“Kasihan betul. Selepas itu, apa yang berlaku?” Hariri
Khan bertanya pula.
“Kami semua tidak bergerak dan hanya berdiri di tepi
pintu. Semuanya tidak sanggup hendak masuk ke dalam! Ngeri! Orang-orang tua
yang ada juga melarang kami mendekati mayat, katanya nanti terkena badi. Tetapi
akhirnya Tok pergi juga kepada Abdul Muin kerana terlalu kasihan melihat
keadaannya masa itu. Tok ingat lagi, tangannya terketar-ketar dan tubuhnya
menggigil seluruhnya masa Tok peluk tubuh dia.” Kata Tok Leman lagi.
Tok Leman berhenti berkisah dan meneguk liurnya. Akma
cepat-cepat menghulurkan segelas air yang sudah tersedia di meja kepada ayahnya
yang sudah kehausan. Sehelai kain putih yang tersangkut di dinding juga dicapai
oleh Akma, lalu diserahkan kepada ayahnya dan Tok Leman segera menggunakannya
untuk mengelap dahinya yang semakin basah dengan peluh.
“Akma, ayah laparlah. Kamu masak apa untuk makan tengah
hari ini?” Tiba-tiba Tok Leman bertanya dan spontan, wajah Akma yang sedang
tegang itu berubah riak. Tidak lama, ketawanya pecah dan Akma berlalu ke dapur
bagi menyediakan meja makan. Engku Saadiah menurutinya sementara Hariri Khan
menemani Tok Leman berbual-bual di ruang tamu.
***
***
![]() |
Iklan: Sudah beli novel sulung saya ini? Dapatkan di kedai buku berhampiran anda atau hubungi pts bookcafe di http://www.bookcafe.com.my/! |
Maria tercegat di hadapan Kedai Jahit-Sulam MK itu dengan
hati yang berdebar-debar. Kelibat wanita tua berbangsa Cina di dalam kedai itu
yang sedang terbongkok-bongkok di hadapan mesin jahitnya dipandang lama.
Kemudian, Maria menarik nafas dalam-dalam tanpa mengalihkan matanya dari
memandang wanita tua berbangsa Cina itu.
“Aku pasti, dia adalah Mei Ling yang selalu diingati oleh
Mak Cik Tina itu.” Maria berdesis.
Akhirnya, Maria menghembus nafasnya lalu melengkukkan
hujung bibirnya yang dilapisi gincu merah. Kakinya diatur kemas menuju ke pintu
masuk kedai kecil itu. Wajahnya merah disimbah semangat, dan sebuah bungkusan
kemas tergenggam di tangannya.
“Selamat pagi, mak cik.” Kata Maria sambil menolak pintu
kedai itu.
“Selamat pagi.” Wanita tua berbangsa Cina itu mendongak
dan spontan, dia berhenti daripada melakukan kerja-kerja menjahitnya.
Maria merapati wanita tua berbangsa Cina itu sambil
tersenyum. Melihatkan wanita tua itu tidak bereaksi, bungkusan di tangannya
semakin erat dikelek. Debaran yang sudah bersisa tadi membukit semula.
“Ada apa kamu datang sini? Saya tidak berurusan dengan
orang Melayu!” Wanita tua berbangsa Cina itu bertanya tanpa nada. Wajahnya yang
tiada reaksi itu sudah berubah tegang. Maria tersentak dan pantas, raut manis
terpadam dari wajahnya.
“Saya minta maaf, Mak Cik Mei Ling. Saya ke sini untuk
menghantar...” Tergagap-gagap, Maria berusaha menjelaskan.
“Mengapa kamu tahu nama saya? Kamu mahu hantar apa?
Sudahlah, saya sudah khabarkan yang saya tidak berurusan dengan orang Melayu!”
Mei Ling mula meninggikan suaranya, dan Maria terkaku!
“Mengapa kamu masih tercegat di sini? Lebih baik kamu
keluar sebelum saya berbuat apa-apa!” Sekali lagi, Mei Ling menghambat Maria
keluar.
Desakan yang diiringi nada tinggi itu membekukan fikiran
Maria. Seperti orang yang bingung, dia menuruti permintaan Mei Ling dan mula
bergerak meninggalkan kedai itu. Namun, dia sempat meletakkan bungkusan yang
dikelek di tangannya itu di atas meja kerja Mei Ling.
“Ini bungkusan apa? Bawa balik, saya tidak mahu terima
apa-apa dari orang Melayu!” Mei Ling menyergah lagi, dan Maria terus mencapai
bungkusan itu dan berlari keluar dari kedai jahitnya.
***
Zatul dan Husna menyelak halaman akhbar tabloid itu
dengan kasar. Mereka berdua langsung tidak bersuara apatah lagi bergurau-senda,
sebaliknya mata masing-masing tertumpu pada halaman akhbar yang sudah bersepah
di atas meja itu.
“Mana iklan mencari orang hilang itu? Mengapa kita belum
jumpa apa-apa?” Akhirnya Zatul bersuara setelah keletihan.
“Saya tidak tahu mengapa kita tidak menjumpainya, tetapi
memang Tok Leman menatap akhbar tabloid ini tadi.” Husna membalas sambil
mengerling wajah rakannya yang sudah tersandar di kerusi itu.
“Iya, saya juga pasti yang Tok Leman membaca akhbar ini
tadi kerana tajuk berita sukannya begitu menarik perhatian saya.” Balas Zatul
pula.
“Tajuk berita sukan yang di muka belakang itu? Apa
tajuknya? Saya langsung terlupa hendak membacanya, kerana terlalu ghairah
hendak mencari iklan mencari orang hilang itu.” Kata Husna lalu dia ikut
bersandar juga.
Zatul memandang temannya lalu tersengih nakal. Husna
segera memasang wajah hairan, kerana temannya itu tidak menjawab soalannya.
‘Zatul mahu membuli aku?’ Fikirannya cepat-cepat mentafsirkan yang Zatul
sengaja mahu mempermainkannya. Namun, dia tidak segera melatah dan cepat-cepat
memasang wajah bersedia.
“Betul awak mahu tahu tajuknya?” Tanya Zatul, dengan
senyuman yang cuba dikawal.
Husna tidak menjawab, tetapi hanya menganggukkan
kepalanya laju-laju. Zatul kemudiannya menunjukkan halaman akhir akhbar yang
sudah tercerai dari naskhahnya itu dan Husna terus menjerit sesudah membacanya!
‘MAJLIS PERKAHWINAN ‘SINGA’ ARGENTINA MERIAH!’
“Oh, tidak! Kenapa saya terlupa mengenai hari perkahwinan
hero bola sepak saya ini! Zatul, kenapa awak tidak mengingatkan saya?” Kata
Husna geram.
Zatul ketawa mengekek, melihat rakannya yang tampak tidak
menentu itu. Sememangnya dia sengaja menyimpan perkara itu, kerana dia tahu
rakannya akan terjerit-jerit begitu sebaik sahaja membacanya. ‘Kalaulah dia
terbaca berita ini semasa di rumah Tok Leman tadi.’ Kata Zatul di dalam hati
dan sengihannya semakin melebar.
“Awak memang sengaja, kan Zatul? Sampai hati awak
sorokkan berita mengenai Messi kesayangan saya ini!” Kata Husna tiba-tiba lalu
dia memalingkan wajahnya.
Zatul tersengih dan membiarkan sahaja ulah rakannya itu
tanpa dipujuk. Dia kemudiannya bangun dari kerusi dan menuju ke dapur. Seketika
kemudian, dia keluar semula dengan dua biji cawan berisi air yang masih berwap.
Haruman air itu segera menerobos ke rongga hidung Husna yang sedang merajuk
itu.
“Nescafe panas!” Husna berpaling semula dengan senyuman
girang dan Zatul hanya ketawa sambil meletakkan dua biji cawan di atas meja.
***
Wajah Tok Leman yang bersemangat bertukar murung secara
mendadak semasa makan tengah hari itu, membuatkan suapan Akma yang laju sebelum
itu berubah rentaknya. Dia menoleh, dan memandang Hariri Khan dan Engku Saadiah
yang juga tampak terganggu dengan perubahan Tok Leman itu.
Namun, mereka bertiga tidak bertanya apa-apa kepada
lelaki tua itu dan meneruskan suapan sehingga akhir. Tok Leman yang kelihatan
terganggu itu dibiarkan bertenang sendiri. Selesai makan, Hariri Khan duduk
berehat-rehat di hadapan tangga sambil menghisap sebatang rokok. Engku Saadiah
yang mengetahui tabiat rakannya itu segera menyertainya di luar sesudah
membantu Akma mengemaskan pinggan.
“Apa pendapat awak? Perlukah kita meneruskan siasatan
pada hari ini atau datang kembali pada esok hari?” Tanya Engku Saadiah dengan
nada yang perlahan.
“Saya fikir, ada baiknya kalau kita pulang dan mencari
Maria binti Abdul Muin. Lagipun, Tok Leman nampak seperti perlu berehat. Sudah
banyak yang dia ceritakan tadi, dan kita boleh menyiasat banyak perkara
berpandukan ceritanya itu.” Kata Hariri Khan tenang.
“Perancangan yang baik! Nampaknya, selepas ini Hariri
Khan boleh bergerak sendiri! Dia sudah tidak memerlukan Engku Saadiah!” Ujar
Engku Saadiah kemudiannya lalu dia kembali ke ruang tamu.
Hariri Khan tersengih-sengih sendiri. ‘Mana mungkin aku
tidak memerlukan teman yang cantik dan bijak macam kamu.’ Desis hatinya.
Tidak lama kemudian, mereka berdua meminta diri untuk
pulang supaya Tok Leman dapat berehat. Sebelum pulang, mereka sempat berpesan
kepada Akma agar menghubungi mereka berdua jika memerlukan sebarang
pertolongan. Akma mengangguk lemah, dengan wajah yang dibalut keresahan.
No comments:
Post a Comment