Sep 24, 2012

7 Hantaran

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, berjaya juga saya sudahkan cabaran cerpen Geng Urban bagi bulan September ini. Cabaran kali ini, adaptasi kisah dongeng atau hikayat.

Selamat membaca! Feel free to leave comment also! ^^_

***


7 HANTARAN
Oleh: Rahmah Mokhtar

Nuansa pagi itu bening amat. Sejuknya membuatkan Rania terasa malas mahu berbuat apa-apa. Lalu, dia berehat-rehat di ruang tamu dan membaca sebuah hikayat. Selepas beberapa ketika, Rania meletakkan buku itu dan termenung panjang di tepi tingkap. Pemandangan hijau yang terlindung kabus itu dipandang lama-lama, tanpa berkelip.

Mak Cik Lisa muncul sambil membawa segelas gelas jernih yang dingin menegur, “Ada apa kamu termenung-menung begini? Masih fikirkan hal rombongan Dato’ Seri dari negeri jiran yang mahu datang esok?”

Rania mengangguk lemah. Halaman buku di riba yang masih terbuka ditutup. Kemudian, dia mendekati Mak Cik Lisa dan mereka minum bersama-sama.

Mak Cik Lisa tersenyum melihat buku tebal dan lusuh itu. “Kamu masih baca lagi kisah hikayat lama itu? Bukankah kamu sudah khatam isinya bulan lalu?”

Rania memicingkan mata lalu mengangguk kecil. Kemudian, dia menjawab, “Ada perkara yang perlu saya belajar dari kisah lagenda itu. Terasa macam ada perkaitan pula kisah saya dengan si puteri yang diam di atas gunung itu. Bahkan, rasa persamaan itu bercambah-cambah pula sejak mengetahui ada rombongan dari negeri sebelah mahu datang.”

“Jadi, sudah tahu apa yang perlu diperkatakan esok kepada wakil orang besar itu?” tanya Mak Cik Lisa lagi dan Rania mengangguk sambil menunjukkan sehelai kertas.

Bersama-sama, mereka membaca nota tulisan itu sebelum tawa kecil Mak Cik Lisa kedengaran. Selang beberapa detik, tawa itu bersatu dengan gelak Rania.
***

Ketua Turus Negeri dan Setiausaha Negeri beriring menuju ke bilik di tingkat atas sebuah bangunan pejabat yang besar dan tinggi.

“Jarang benar Dato’ Seri memanggil kita berdua serentak. Ada apalah dia mahu waktu pagi-pagi begini?” tanya Ketua Turus Negeri.

Setiausaha Negeri menggeleng sambil terus melangkah kemas-kemas ke lif. Dia menambah, “Entahlah, dengarnya ada kaitan dengan si puteri yang tinggal di atas gunung tertinggi di negeri jiran itu.”

Terjungkit sebelah kening si Ketua Turus Negeri. “Maksudnya, Puteri Rania pewaris tunggal peneroka dan pembina taman tema di hujung Malaysia itu?” Wajahnya berubah riak namun segera ditenangkan. Namun, di luar sangkanya, ulah itu terlihat oleh Setiausaha Negeri melalui ekor mata.

Anggukan Setiausaha Negeri menyaingi soalan itu. Perbualan mereka berakhir apabila masing-masing sudah berada di hadapan pintu pejabat Menteri Besar. Mereka segera mengemaskan pakaian sebelum masuk ke ruang itu.
***

Awal-awal pagi, rombongan yang dikepalai Sang Ketua Turus Negeri perkasa bertemankan Setiausaha Negeri yang bijaksana berangkat ke negeri jiran.

Selepas separuh perjalanan, Setiausaha Negeri mula menoleh-noleh ke arah Ketua Turus Negeri. Wajah serius lelaki itu dipandang dan berhati-hati, dia bertanya, “Semasa bertugas di negeri itu tempoh hari, pernah kamu terserempak dengan Puteri Rania itu?”

Tersentak, lelaki perkasa itu berdehem-dehem. Kemudian, dia berkata, “Berkemungkinan, kami pernah bersua dan berbicara dengan mata. Boleh jadi juga, kami pernah bertukar pendapat namun tidak bertentang pandang.”

Jawapan itu mendiamkan Setiausaha Negeri. Tergeleng-geleng dia bersama senyum yang tidak jadi terukir. Dia membuka mulutnya tetapi tidak berjaya meluah suara. Akhirnya, mereka sama-sama diam menelusur laluan gunung yang berpusing-pusing lagi sempit itu.

Sementara itu, Rania dan Mak Cik Lisa bersedia di ruang tamu. Sesekali, Mak Cik Lisa menjeling nakal ke arah helaian kertas di dalam genggaman Rania. Setiap kali bertentang pandang, mereka sama-sama mengangguk dan tersenyum nipis.

Tiba-tiba, Rania tertunduk dan berkata, “Bolehkah mereka faham maksud sebenar kita, sekiranya saya gunakan cara begini?”

Mak Cik Lisa meletakkan kusyen yang sedang dipegang. Perlahan-lahan, dia menarik nafas dan merapati Rania. Sambil menyentuh tangan Rania, dia berkata lembut, “Kita doakan banyak-banyak supaya mereka maklum dan mengerti. Ini usaha kita yang paling akhir, daripada terus menolak dan mengeruhkan keadaan yang tenang.”

Kata-kata pujukan itu berhasil membuat Rania tersenyum. “Yakinlah, Rania. Ini untuk yang terbaik.”

“Bagaimana jika Mak Cik menunggu tetamu kita di hujung pintu gerbang sana? Rasanya jika dibiarkan, mereka boleh tersesat di celah-celah laluan rumput tinggi yang bersimpang-siur dan banyak pintu keluar itu. Silap-silap, ada pula yang pulang tanpa minum air.” Mak Cik Lisa menambah seloroh supaya Rania tersenyum. Rania membenarkan selepas wanita itu berjanji akan mengirim pesanan ringkas jika ada sebarang berita penting.
***

Jalal sang perwira negeri adalah wakil Dato’ Seri.
Senyum Rania terpadam sebaik membaca mesej ringkas Mak Cik Lisa.

“Mengapa Abang Jalal, setia benar abang di sisi ketuamu itu. Tega sekali....” Rania menekup muka lalu menghambur tangis.
***

“Apa maksud permintaan dia? Mengapa dia meminta perkara-perkara mewah lagi mustahil sebagai hantaran?” Setiusaha Negeri bertanya garang. Matanya mencelang dan merah-merah. Beberapa kali, dia menyeluruhi senarai itu dari atas ke bawah dan membelek-belek bahagian belakangnya yang kosong.

Ketua Turus Negeri hanya diam. Dia mengintai senarai permintaan Puteri Rania sepintas lalu. Tanpa sedar, senyum nipis bertamu di hujung bibirnya namun segera disembunyikan daripada pandangan Setiausaha Negeri.

Masih tidak berpuas hati, Setiausaha Negeri menyebut senarai itu satu per satu, “Pertama, puteri kita mahukan tujuh buah bangunan francais restoran makanan segera di lokasi strategik di serata negara.” Ketua Turus Negeri mengangguk-angguk dan langsung tidak mencelah.

Setiausaha Negeri menyambung lagi, “Lagi, dia meminta Dato’ Menteri sediakan tujuh buah kereta mewah yang semuanya berwarna merah darah! Saya pasti, Ferrari 458 idaman saya itu adalah salah satu daripada deretan kereta itu! Tidak cukup dengan itu, dia berhasrat juga terhadap tujuh bidang tanah 20 ekar di setiap pelusuk negeri dipindah milik kepada namanya!” Suara Setiausaha Negeri memekik sehingga Ketua Turus Negeri terpaksa menutup telinga.

“Lagi, apa yang dia idamkan? Ada set barang kemas dalam catatan itu?” Soal Ketua Turus Negeri tiba-tiba. Setiausaha Negeri menggoyang-goyangkan lutut sambil menarik nafas dalam-dalam. Kemudian, dia menyemak senarai di tangannya lalu membalas, “Tidak, tiba-tiba dia beralih kepada alam pula. Tertulis di sini, tujuh tempayan air sungai yang diambil dari muara setiap sungai dari tujuh buah negeri yang berlainan....”

Bicara Setiausaha Negeri terhenti apabila dia tersedak. Selepas membasahkan tekak dengan bekalan air manis, dia menyambung lagi, “Permintaannya semakin dahsyat! Seterusnya dia mendesak kita supaya membinakan sebuah lebuh raya tanpa tol dari bandar Melaka ke Puncak Gunung!”

Mata Setiausaha Negeri terbeliak dan mulutnya terbuka luas. Dia kemudiannya menampar pipi berkali-kali. Sementara Ketua Turus Negeri memandang sahaja tindakan rakan sekerjanya itu tanpa menyokong mahupun melarang. Selepas beberapa ketika, Ketua Turus Negeri mengambil senarai di tangan Setiausaha Negeri dan membacanya, “Permintaan seterusnya pula, dia mahukan sebuah laluan keretapi transit dari bandar Melaka ke Puncak Gunung!”

Setiausaha Negeri mula mengepal penumbuk. Pintu kereta yang rapat menjadi tempat dia melampias emosi. “Permintaan akhirnya paling gila! Dia menuntut semangkuk darah putera bongsu Dato’ Seri yang masih belum belajar bercakap itu sebagai mahar! Mana mungkin kita cucukkan jarum picagari dan alirkan darah Afzal sampai penuh satu mangkuk!”

Mata Ketua Turus Negeri terus terfokus ke atas jalan. Dia menelan liur, ‘Rania, mengapa meduga hati abang sampai begini?’

Iklan: Sudah beli novel sulung saya ini? Ia kisah Hamdan, Azila dan Abang Azran dalam usaha menyelamatkan sebuah rumah anak yatim. Dapatkan di kedai buku berhampiran anda atau hubungi pts bookcafe di  http://www.bookcafe.com.my/!

***
Namun, hasrat Dato’ Seri langsung tidak tergugah. Setiap permintaan Puteri Rania setia dipenuhi satu per satu. Di atas gunung, Rania berduka setiap saat apabila permintaannya itu tertunai sedikit demi sedikit.

Di bandar Melaka, para penduduk mula berhimpun di jalan masuk ke ibu kota dan pejabat Dato’ Seri. Mereka melaung-laung sambil memegang sepanduk, “Dia bukan puteri negeri! Lupakan sahaja si puteri cantik yang bersemayam megah di takhta tinggi itu. Segala kemahuannya hanya menyukarkan rakyat serata negeri!”

Jawab Dato’ Seri, “Berkorbanlah kamu untuk kebahagiaanku. Sesungguhnya aku berhak mendapat semua pengorbanan dan sumpah setia ini selaku ketua! 

Selepas itu, rakyat memujuk Jalal si Ketua Turus Negeri. Namun, lelaki perkasa yang setia itu hanya berkata, “Turuti sahaja kemahuan Dato’ Seri, kerana dia tempat kita bernaung. Senang dia, mudahlah kita. Resah dia, susahlah kita.”

Baru sahaja mereka hendak mengadu kepada Setiausaha Negeri, tokoh itu awal-awal sudah berpihak kepada Dato’Seri. Belum sempat sesiapa bersuara, dia berkata dengan dahi yang berlipat-lipat, “Mengapalah kamu semua ikutkan perasaan? Seharusnya kamu semua menyokong dan memuji kesediaan Dato’ Seri Yang Dipertua Negeri kita mengambil risiko membina laluan keretapi transit merentas negeri! Janganlah seperi orang-orang di negeri jiran! Boleh pula mereka kata negeri kita membuat binaan sia-sia sehingga menambah defisit negara!”
***

“Hentikan projek binaan keretapi transit! Lupakan hal peminangan Puteri Rania!” Semakin ramai yang mengelilingi bangunan pegawai pemerintah itu setiap hari.

“Apa permintaan terakhir Puteri Rania?” soal Dato’ Seri tanpa mempedulikan laungan rakyat yang kian membingit di luar bangunan itu.

Tergagap-gagap, Setiausaha Negeri membalas, “Dia berkehendakkan semangkuk darah anak bongsu Dato’ Seri, Afzal.” Memeranjatkan, Dato’ Seri mengangguk penuh bersemangat! Setiausaha Negeri pula menggaru-garu kepala.

Berita mutakhir yang sampai ke telinga semua lantas membangkitkan naluri pembangkang di hati rakyat. Mereka mula melaung lebih nyaring, “Kami mahukan reformasi!” Berlapis-lapis memorandum ditulis dan dihantar ke bangunan pejabat pentadbiran negeri. Namun, semua raungan itu tidak dihiraukan oleh sang pemerintah yang sudah keras hati dan bulat tekadnya itu.

Sekali lagi, wakil Daerah dan kampung berkumpul lalu mengadap beberapa pemimpin tinggi negeri. Bersungguh-sungguh, mereka merayu Si Ketua Turus Negeri yang masih taat membuta-tuli itu supaya tersedar. Kata mereka, “Wahai Ketua Turus Negeri yang bestari, bantulah kami membantah kehendak Dato’ Seri Menteri yang semakin hilang warasnya ini. Sesungguhnya Ketua Turus Negeri adalah orang yang paling berhak mengetuai perbantahan ini.”

Tetapi, seumpama mencurah air ke daun keladi, permintaan mereka hanya senyap di telinga Ketua Turus Negeri. Lelaki itu masih mahu berdiri tegak di sisi Dato’ Seri dan membalas tegas, “Dato’ Seri Menteri itu ketuaku! Apa yang dikata, itulah yang aku junjung! Apa juga bantahannya, itulah yang akan aku sanggah! Maka, usah goda aku menyertai golongan sang penderhaka! Pergilah kamu jauh-jauh dari pandanganku!”

Dek tidak tahan mendengar laporan berita setiap hari, Rania menghubungi Si Ketua Turus Negeri. Dia memujuk, “Wahai abang, tidak mengertikah abang akan hasrat saya ini? Mengapa diturutkan permintaan saya yang tujuh itu?”

Senyum yang terukir di hujung bibir Si Ketua Turus Negeri terlihat pahit. Dia membalas dengan wajah yang tersembunyi emosinya, “Abang ini hanya kuli yang diajar supaya selalu taat kepada ketuanya tanpa membantah walau sekelumit di dalam hati. Fahamilah abang, wahai Rania. Terimalah pinangan Dato’ Seri. Berhentilah mendatangkan kesusahan dalam hidup abang yang sedia tidak mudah ini.”

“Bagaimana abang sanggup membuat permintaan begitu sedang abang maklum hati ini sudah terpaut pada lembutnya perilaku Sang Ketua Turus Negeri yang perkasa! Sampainya hati abang! Benarlah, Ketua Turus Negeri itu seorang yang taat tanpa kenal erti derhaka! Baiklah, jika itu pilihan abang, biar kita sama-sama sendiri sehingga hujung usia!” bentak Puteri Rania di hujung talian. Air matanya yang sudah tumpah banyak itu, mengalir lagi ke pipi. Ketua Turus Negeri hanya diam dengan mata yang sedikit berkaca.

Tiba-tiba, Mak Cik Lisa mendatang dengan langkah tergesa-gesa. Tanpa menghiraukan nafas yang masih mengah, dia berkata, “Rania, kita perlu ke Kota Melaka! Dato’ Seri sudah menyiapkan anaknya bagai memenuhi hantaran kamu yang terakhir!”

Tergesa-gesa, Rania mendapatkan penerbangan merentas negeri yang paling awal. Lalu, bertemulah dia dengan Dato’ Seri yang tersengih-sengih di luar bilik pembedahan anak lelakinya sendiri. Dengan langkah yang longlai, Rania bertanya, “Bagaimana tega Dato’ Seri menyakitkan si kecil itu semata-mata mahu menuruti kemahuan kita? Bukankah darah Dato’ Seri sendiri yang mengalir di dalam tubuhnya? Ketahuilah wahai Dato’ Seri yang bijaksana, permintaan kita itu bukan bererti kita menurut. Kita hanya menguji dan ternyata, tiadalah Dato’ Seri layak menjadi pelindung kita.”

“Beraninya kamu mempermainkan aku! Aku ini Ketua Negeri dan ketahuilah kamu bahawa Melaka ini negeri yang berdaulat! Pulanglah kamu ke puncak gunung tinggi itu dan hiduplah bersendirian sampai ke hujung nyawa! Sesiapapun yang mahu menemui kamu aku sumpah dia tidak hidup lama!” Bagai petir bersabung, suara lantang Dato’ Seri lantang memenuhi ruang udara hospital yang sunyi.

Lutut Rania terketar-ketar. Tangisannya melebat. “Suara itu... bagaimana ia boleh terdengar begitu menggerunkan?”

Bagai lalat yang menghurung makanan, berita sumpahan Dato’ Seri pantas tersebar ke serata negeri. Ketua Turus Negeri tidak senang duduk kerana ia seumpama mengulang sejarah! ‘Tidak, hanya kata-kata Tuhan yang akan benar-benar terjadi! Dato’ Seri itu hanya hamba yang tidak punya kuasa atas manusia dan kejadian alam!’

Lalu, bergegaslah dia ke puncak gunung itu. Di pertengahan jalan, brek keretanya tiba-tiba enggan berfungsi. Dia terbabas di pembahu jalan. Lebih malang, tangki minyak keretanya bocor dan tumpahan minyak yang banyak membuahkan letupan dahsyat yang menambahkan sadis berita murka si Dato’ Seri.

“Ketua Turus Negeri kemalangan! Ketua Turus Negeri ditimpa celaka kerana menderhaka!” Setiausaha Negeri bertindak bijak memulakan cerita. Lantas, suara-suara bantahan rakyat tersenyap sendiri. Terbahak-bahaklah si Dato’ Seri, umpama lelaki yang baru memenangi wang berjuta-juta.

Rania bergegas pulang. “Beginikah akhirnya kisah kita, Abang Jalal?” rintihnya sepanjang jalan.

“Bagaimana pula tulah Dato’ Seri menimpa Abang Jalal sedangkan Melaka bukan lagi negeri beraja? Apa benar dia terlalu marah?” tokok Rania lagi. Matanya dipejam rapat-rapat dan kedua-dua tangan dirapatkan ke atas bibir.

Tiba-tiba, telefonnya berbunyi nyaring. Sebaik panggilan dijawab, senyuman Rania terukir manis, seumpama gula yang tidak akan habis walau dihurung jutaan semut!

“Rania, Jalal menanti kamu di sini!” jeritan Mak Cik Lisa membingit.

2 comments:

Ria Natsumi said...

sempat buat iklan novel ye kak???ria komen kat group geng urban..

Rahmah Mokhtar said...

Ria, ini namanya strategi. Hehehe. Okey, terima kasih!