Sep 10, 2015

September 11, 2015 at 10:00AM

Persepsi ***** Pernah, saya diberi nasihat mengenai persepsi oleh seorang rakan. Katanya, setiap orang melihat kehidupan kita dari sudut yang dia pandang. Apa yang dia nampak, itulah persepsinya pasal kita sehinggalah ada orang yang memberitahu sebaliknya. Kata seorang rakan yang saya temui dan berkenalan di seminar3p, "Sebab kita tidak berhubung dengan telepati. Tak semua orang faham apa yang kita fikir, rasa dan mahu." Oh, nama rakan baru saya Cikpuan Mar. Beliau penulis komik di Comichat. *** Kisahnya begini. Hari ini, adik saya bercerita. Sebaik duduk di meja makan untuk bersarapan bersama dia berkata, "Tadi saya kena marah dengan pengawal." Dalam hati saya, 'Wah, ada cerita!' Langsung, mulut refleks bertanya, "Kenapa dia marah awak?" Jawab adik dan dia terus berkisah.... "Kelmarin, saya masuk pagar bawa helmet. Pengawal tanya mana motor. Saya cakap, suami bawa pergi kerja. Dia angguk-angguk." Waktu ini, saya mengangguk. Tetapi saya pasti, reaksi tak sabar menanti cerita lanjut sedang beriak di muka. Sambung adik lagi, "Semalam, dia nampak saya lagi dan tanya saya kerja di taska bawah rumah kita ke? Saya jawab tak, nak naik atas. Masa tu muka pak cik pengawal dah keruh. Tapi dia tak tanya apa-apa." Saya semakin teruja. Rasa mahu cepatkan halaju cerita adik. Sambil-sambil, saya suap nasi ke mulut. Orang kata, kita mudah berbuat hal luar jangka apabila teruja. Jadi, saya tak sangka saya boleh terus menyuap nasi walaupun sedang fokus mendengar cerita. Kemudian adik menyambung lagi, "Pagi tadi masa saya sampai pos pengawal, muka dia dah lain. Siap bercekak pinggang. Dia nampak saya sampai. Saya buat biasa, jalan terus. Tahu-tahu, dia panggil. Dah jauh juga masa tu." Rasanya mulut saya terlopong waktu ini. Membayangkan kes-kes pertengkaran penduduk dengan pengawal yang boleh tahan kerapnya, saya menelan liur. Kisah adik disambung lagi, "Terus dia tanya, sambil bercekak pinggang. Muka garang dan nada marah-marah."Sebenarnya pergi rumah siapa? Tadi nampak dari luar?" Laju adik membalas, "Saya jawablah, "Saya duduk sini. Dari rumah mertua." Nada tinggi juga, sebab jarak dah jauh tadi." Langsung si pengawal terdiam dan adik naik ke rumah dengan selamat. Saya, tidak dapat tidak terus refleks kepada pesanan sahabat saya mengenai persepsi. Ya, boleh jadi pengawal itu akan terus marah dan berpegang kepada anggapannya terhadap adik. Tetapi, adik saya mengubahnya dengan memaklumkan cerita sebenar tanpa mahu marah-marah. Walaupun kalau hendak dikirakan soal keselamatan, dia harus kenal wajah penduduk di sini, kita tolak tepi soal itu dahulu. Mungkin, dia marah atas faktor keselamatan juga. Saya tidak tahu. Moga tanggapan saya ini akan berubah juga nanti setelah saya tahu hal betul. Ya, persepsi itu tergantung perspektif. Kalau ia sangka-sangka yang baik, Alhamdulillah. Jika tidak? Hal ini, kita boleh ubah. Salah satu mula bersangka-sangka hal yang baik. Juga, ia boleh berubah apabila kita memiliki empati. Saat kita ada empati terhadap orang lain, hal-hal kecil yang biasanya bersebabkan salah faham dapat dielakkan. Insya-Allah. Hidup kita tidak lama. Maka kita isikan ia dengan cinta dan kasih sayang. Empati itu, salah satu entiti dalam hubungan cinta sesama manusia. Selamat bekerja kawan-kawan. Selamat solat Dhuha. Selamat membaca al-Kahfi. #HidupdanCinta Nota: Ada orang belum sarapan? Saya harap perut awak kuat.
by Rahmah Mokhtar

from Facebook
via IFTTTfrom Facebook
via IFTTT

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape