Sep 14, 2015

September 15, 2015 at 09:37AM

#TipCerpen101 Hari ini, tip saya masih dengan isu masa. Tip : Seperti laptop, pen dan kertas adalah alat untuk menulis. Tidak semestinya perlu menulis di depan laptop. Cukup dengan install aplikasi Evernote atau menggunakan ruang memo di telefon, halaman manuskrip boleh bertambah. Kadang-kadang, ia bukan soal suasana persekitaran, tetapi mental. Sebabnya, persekitaran selesa boleh diwujudkan dalam fikiran. Cukup 15 minit sehari, hantar catatan ini ke emel sendiri. Alhamdulillah, dengan izin Allah saya menyudahkan manuskrip Lelaki Berbaju Biru selama tiga bulan, dengan menulis setiap hari di dalam beberapa buah buku nota dalam Komuter, dalam perjalanan pergi dan balik ke UKM. Kemudian, sebelum tidur setiap hari atau sekurang-kurangnya berselang dua hari saya pindahkan catatan itu ke laptop. Tuan / Puan boleh lakukan begini juga. Pada hujung minggu atau suatu waktu tertentu setiap minggu, masukkan semua catatan dari nota harian itu ke dalam laman manuskrip. Boleh juga tulis dahulu dalam buku nota atau kertas kajang. Tuan Rafi Harumin, penulis kumpulan cerpen Barisan Hadapan (terbitan ITBM) berbuat begini. Beliau menulis pada waktu senggang di tempat kerja, dan menaip tulisannya kembali pada hari cuti atau waktu rehat di rumah. (Saya kepilkan gambar contoh karyanya, dengan izin) Sebagai orang Islam, kita ada kelebihan yang sangat berhasil apabila dimanfaatkan. Ya, kita ada Pemilik Masa dan Takdir yang tidak pernah berhenti mencintai dan memberi kepada kita. Jadi, kita minta Dia rezekikan ilham, kelapangan masa dan kesihatan untuk menulis. Salah satu cara yang boleh diaplikasi, utamakan Dia dalam urusan harian kita. Dalam senarai pekerjaan yang mahu dilakukan selepas anak tidur, letakkan solat, berzikir dan mengaji sebagai aktiviti utama, sebelum perkara lain. Insya-Allah, ada jalan akan terbuka. Ambil sedikit masa daripada kerja harian untuk aktiviti penulisan kita. Tetapi, jika perkara ini tidak dapat dilakukan, tanya semula soalan ini kepada diri, “Mengapa aku mahu menulis?” Baik, itu sahaja dulu. Sampai jumpa lagi. Selamat menulis!
by Rahmah Mokhtar

from Facebook
via IFTTTfrom Facebook
via IFTTT

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape