Jun 22, 2009

#10

Arthrosklerosis – simptom pengecilan salur darah. Merupakan simptom kritikal kepada serangan sakit jantung. Kebanyakan serangan hanya akan berlaku apabila simptom ini tidak dikawal, iaitu darah akan membeku di bahagian aliran darah yang sempit ini. Keadaan ini seterusnya akan menghalang sepenuhnya aliran darah ke otot-otot jantung, menyebabkan berlakunya serangan sakit jantung. Lemak yang terkumpul di dalam badan akan semakin mengeras menyebabkan salur darah semakin sempit, dan meningkatkan tekanan darah. Tekanan ini perlu dikawal dengan pengambilan ubat, supaya kadar kolesterol dalam badan tidak terus meningkat. Pada beberapa keadaan, keruntuhan salur darah mungkin berlaku dalam keadaaan hipertensi yang melampau. Dalam keadaan ini, serangan strok akan berlaku apabila darah beku yang terbentuk sampai ke otak.

Semua simptom berbahaya inilah yang perlu dielakkan dari berlaku. Berbekalkan pengetahuan baru ini, aku belajar akan kepentingan penjagaan pemakanan. Ada ketika, aku maklumkan pada ayah agar dia menjaga pemakanannya. Tak dapat aku bayangkan andai ayah atau mak menghidapi penyakit itu. Kehilangan arah juga walaupun sekadar membayangkan. Memikirkan kedegilan emak. Mungkin semuanya akan baik. Segalanya akan lancar. Khiriah bakal seorang doktor. Tentu dia tahu cara terbaik menjaga mereka jika ditakdirkan mereka dihinggapi penyakit berat seperti ini.

Kadang-kadang, aku menghabiskan masa belajar memasak dari Kak Ana. Bukan memasak makanan yang biasa, tetapi kaedah penyediaan makanan sihat. Pernah juga Dr. Fahmi datang memantau hidangan kami. Tegas sungguh doktor muda itu. Rasanya seperti menerima lawatan nazir sewaktu persekolahan. Juga seperti menerima lawatan pegawai **DOSH untuk sesi audit. Cuak. Mungkin atas sebab itu Tuan Kamal melantiknya sebagai doktor peribadinya. Sangat berdedikasi. Tiada ruang untuk kesilapan.

Menghabiskan masa di dapur, aku mengetahui akan wujudnya dua jenis daging. Daging putih dan daging merah. Daging putih seperti ikan dan ayam boleh dimakan dengan kerap oleh penghidap sakit jantung seperti Tuan Kamal. Bagaimana pun, kandungan lemak dari daging putih ini perlu diseimbangkan dengan hidangan makanan berserat seperti sayuran hijau dan buah-buahan segar. Kandungan lemak tepu yang tinggi dalam daging merah menyebabkan hidangan ini tidak boleh dinikmati terlalu kerap oleh Tuan Kamal. Orang yang sihat juga perlu mengurangkan pengambilannya untuk menjaga kesihatan diri.

Aku juga mendapat ilmu baru: iaitu kacang pea, kekacang dan tofu yang rendah lemak dan kolesterol serta kaya dengan serat merupakan hidangan terbaik untuk menggantikan daging. Cara penyediaan daging seperti kaedah stim, rebus, dan bakar juga aku pelajari dari Kak Ana. Banyak rupanya cara untuk menjaga kesihatan. Aku mula sayang dengan kerja baru ini. Pelbagai perkara baru aku pelajari setiap hari. Menarik. Sentiasa ada perkara baru untuk diterokai.

Umumnya, segala tugasku melibatkan penjagaan kesihatan Tuan Kamal dari segala aspek. Baik dari segi pemakanan, aktiviti mahu pun gaya hidup. Aku juga perlu sentiasa memastikan Tuan Kamal bersenam selama tujuh hingga 10 minit setiap pagi, secara perlahan-lahan. Mulanya, agak kekok juga aku kerana perlu memerhatikan dan membantu pergerakan tuan. Namun atas bantuan dan nasihat Dr. Fahmi, aku berjaya juga mengatasi rasa negatif itu. Senaman dilakukan dengan beransur-ansur, dalam pergerakan yang sederhana. Cukup sekadar memastikan tuan melakukan sedikit pergerakan dan mengeluarkan sedikit peluh. Tujuannya, membantu merangsang aliran darah supaya mengalir dengan lebih lancar. Semasa senaman dilakukan, aku perlu memastikan Tuan Kamal tidak mengalami sebarang komplikasi dan serangan jantung. Tanda-tanda seperti sakit dada, sesak nafas, berpeluh sejuk dan loya perlu aku perhatikan dan awasi sepanjang sesi senaman setiap hari.

**DOSH – Department of Safety and Health

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape