Jun 22, 2009

#9

Tanggungjawab baruku ternyata berat. Memastikan makan minum Tuan Kamal terjaga. Ubat-ubatnya harus ditelan mengikut waktu. Menu harian Tuan Kamal telah ditentukan oleh Dr. Fahmi. Kandungan gula, garam, minyak dan sebagainya diletakkan seminimum mungkin dalam setiap hidangan supaya paras kolesterol dapat dikawal. Segala masakan dimasak oleh Kak Ana, tukang masak di rumah Tuan Kamal. Aku hanya memastikan Tuan Kamal makan pada waktunya dan hidangan yang dimasak adalah mengikut senarai Dr. Fahmi.

Syarat utama untuk memegang jawatan ini adalah sanggup untuk menetap di rumah besar ini, dengan waktu bekerja sepanjang masa kecuali pada waktu tidur Tuan Kamal. Kami diberikan sebuah bilik di tingkat bawah. Tuan Kamal dan anak lelakinya mempunyai ruang mereka sendiri di tingkat atas. Mak Limah dan Pak Sharif pula tinggal di rumah kecil di belakang rumah Tuan Kamal. Pasangan ini sudah berkhidmat hampir 15 tahun dengan Tuan Kamal sebagai orang gaji dan pemandunya. Sebelum ini mereka juga berkhidmat di rumah Tuan Kamal di Shah Alam, sebelum beliau membuat keputusan berpindah ke sini.

Tuan Kamal lebih senang jika kami semua berada dekat dengannya. Mudah andai ada sebarang kecemasan. Tambahan pula, beliau akan bosan jika semua perkara dibuat berseorangan. Pemergian isterinya lebih enam tahun lalu membuatkan dia banyak bersedih. Dia banyak menghabiskan masa di pejabat, bekerja hingga lewat malam sehingga kesihatannya terganggu. Atas nasihat doktor peribadinya, Tuan Kamal berpindah ke Teluk Intan. Rumah mewah ini telah lama tersedia sejak dibina 15 tahun lalu untuk arwah bapa dan ibunya. Setelah kematian mereka, rumah ini dijaga oleh Pak Hassan. Lelaki tua itu telah berhenti tahun lalu dan tinggal bersama-sama anak lelakinya di Ipoh.

Tuan Kamal adalah pemilik sebuah syarikat tekstil. KaTeCom, ringkasan untuk Kamal Tekstil Company. Nama yang unik padaku. Syarikat tersebut kini diuruskan sepenuhnya oleh kedua-dua anak bujangnya, sekaligus menambahkan kesunyian hidupnya. Anak kedua beliau jarang pulang ke rumah, kerana menguruskan segala hal-ehwal ibu pejabat syarikat mereka di Shah Alam. Anak sulungnya lebih selesa berada di rumah, melaksanakan tanggungjawab menjaga ayahnya di samping menguruskan cawangan perniagaan mereka di Teluk Intan. Kesibukan anak-anaknya menyebabkan dia sering mengajak kami menemaninya sewaktu makan tengahari dan malam. Rasa gembira dan bahagia membantu mengurangkan rasa sakitnya.

Bak kata ayah, “Rasa gembira dan cukup itu adalah ubat yang paling baik untuk kita.”

Jadual waktu makan Tuan Kamal perlu dipatuhi. Sarapan dengan oat kosong, tepat jam 7 pagi sebelum ubat diambil untuk mengawal tekanan darah. Kemudian makan berat seperti mi goreng, nasi lemak dan sebagainya diambil pula dalam kuantiti yang kecil pada jam 10 pagi. Waktu makan tengahari pula, 1.30 ke jam dua petang. Biasanya, Tuan Kamal lebih selesa makan selepas solat Zohor. Lebih selesa dan mudah katanya. Jam 5 petang, Tuan Kamal perlu minum petang. Cukup sekadar minum teh tanpa gula atau kopi kosong dengan sedikit gula dan biskut tawar beberapa keping. Usai solat maghrib, makan malam sudah terhidang disebabkan Tuan Kamal harus mengambil ubat untuk mencairkan darah sebelum jam 8 malam.

Penyakit jantung koronari. Juga dikenali sebagai penyakit kardiovaskular. Merupakan salah satu penyakit yang menjadi punca kematian di Malaysia selain kanser. Penyakit ini disebabkan oleh pengumpulan lemak dan kolesterol pada dinding arteri salur darah di dalam badan. Penyakit ini jugalah yang sedang menghuni badan Tuan Kamal. Penyakitnya hanya dapat dikesan setelah tuan mengalami serangan jantung pertama ketika sibuk bekerja di pejabatnya tiga tahun lalu. Sebelum ini, beliau cukup degil dan tidak mahu berehat walaupun sudah berkali-kali dinasihatkan oleh Dr. Fahmi. Selepas serangan itu, dia terpaksa juga menurut nasihat doktor muda itu atas desakan anak-anaknya.

Jadual harian aku agak padat. Memastikan menu harian Tuan Kamal dihidang mengikut menu diet yang disediakan oleh Dr. Fahmi. Hidangan daging merah seperti daging lembu, kerbau dan kambing hanya boleh disediakan dua kali dalam sebulan. Selebihnya, kebanyakan menu melibatkan ayam, ikan, bijirin, roti, dan lain-lain. Hidangan seperti telur kuning juga terpaksa dihadkan kepada dua kali seminggu kerana kandungan kolesterolnya yang sangat tinggi. Hidangan makanan berserat seperti oat, sayuran hijau dan buah-buahan segar dikerapkan sehingga dua ke lima hidangan per hari supaya dapat menyerap sebahagian lemak dan kolesterol dari badan.

Kesemua faktor pemakanan ini sentiasa berada dalam pemerhatian aku untuk aku laporkan kepada Dr. Fahmi, bagi memastikan serangan kedua tidak berlaku. Usia Tuan Kamal sudah mencecah 62 tahun. Adalah sangat berisiko jika serangan demikian berlaku lagi. Pemakanan yang terkawal dapat mengurangkan jumlah kolesterol yang diserap oleh badan, justeru mengurangkan kadar berlakunya arthrosklerosis.

Tergeliat juga lidah aku ketika mula-mula menemui istilah perubatan ini. Hampir dua minggu aku cuba belajar menyebutnya dengan betul. Merah muka Mak Limah dan Kak Ana menahan tawa setiap kali mendengar aku menyebut nama penyakit yang satu itu. Kadang-kadang, aku juga ikut ketawa setelah kepenatan dalam usaha mempelajari pelbagai istilah perubatan yang pastinya baru untuk aku. Mujurlah Dr. Fahmi sabar dengan tingkahku. Dia tetap mengajar aku dengan penuh wibawa dan tegas, supaya aku memahami akan peri pentingnya peranan aku dalam menjaga kesihatan Tuan Kamal.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape