Jun 22, 2009

#8

Cita-cita untuk menjadi usahawan tani masih juga belum tercapai. Aku ingin membela ayam dan itik, dan menjadi pembekal kepada pasaran tempatan. Wang simpananku masih tidak mencukupi. Ayah pernah menawarkan bantuan dari segi kewangan, namun aku menolak kerana tidak mahu mak bising lagi. Atas kesedaran itu, aku pernah memohon kerja lain yang menawarkan bayaran yang tinggi. Satu kerjaya yang pasti mengundang amukan mak andai sampai ke pengetahuannya. Sudah lama aku memohon kerja itu. Temuduganya aku hadiri lebih kurang enam bulan lalu di Teluk Intan. Semua itu aku hanya maklumkan pada ayah berserta permemohonan agar merahsiakan dari mak.

Sungai Manik. Cantik tempat itu. Seingat aku, banyak kawasan kebun dan sawah milik persendirian di situ yang majoritinya adalah kawasan sawah. Kawasan pinggir bandar yang sangat sesuai untuk beristirehat dan lari dari kesibukan kota. Kerja yang aku mohon – sungguh jauh dari bidang yang aku pernah ceburi. Menjadi pembantu peribadi di sebuah rumah mewah yang besar dan indah. Bayaran yang ditawarkan memang lumayan, kerana kerjanya memerlukan ketelitian selain kesanggupan untuk berjauhan dari keluarga dalam tempoh yang lama. Kerja ini pastinya menuntut tahap komitmen dan dedikasi yang tinggi.

Deringan telefon mematikan lamunan. Kembali aku ke alam nyata. Panggilan yang nyata mengejutkan. Panggilan yang bakal mengubah cara hidupku. Tergamam aku seketika. Mengetahui aku mendapat kerja yang bergaji besar itu, sungguh jauh dari titik realiti rasanya. Tapi, aku tersedar mendengarkan deheman dari bakal majikanku. Segera aku respon dan menyatakan persetujuan dengan tawaran yang diberi.

Dalam tempoh seminggu itu, aku menghantar notis perletakan jawatan kepada Encik Halim. Segala urusan pertukaran aku uruskan secepat mungkin. Senarai tugasan telah aku serahkan kepada Hana, penolong penyelidik yang baru mula bertugas dua bulan lalu. Encik Halim nampak berat untuk melepaskan aku. Namun untuk kebaikan, aku harus melangkah jauh. Aku perlu meniti pengalaman baru, mencari pengetahuan lain, serta membentuk jatidiri yang lebih jitu. Aku harus mencari identiti diri. Mengubah segala persepsi negatif mak padaku. Mencari titik baru dalam hidupku. Melabuhkan sauh kehidupan pada satu haluan yang pasti.

Masih aku ingat. Sewaktu aku memohon kerja itu, sudah ada seorang wanita yang menjaga makan minum lelaki tua itu. Dia kini sudah mendirikan rumah tangga. Aku agak terlewat melihat iklan tersebut. Namun, lelaki tua itu baik hati membenarkan doktor peribadinya menemuduga aku. Agak tegas nada doktor muda bernama Fahmi waktu itu. Namun, aku abaikan segalanya dan memakukan diri mendengar dan menjawab segala persoalan yang diutarakan. Mungkin atas sebab itu, aku akhirnya mengisi senarai menunggu untuk jawatan tersebut.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape