Jun 22, 2009

#7

Hampir dua tahun setengah sudah berlalu. Zaman menjadi pelajar sudah lama aku tinggalkan. Hidup kembali berkisar di Bandar Melaka. Walaupun hanya 30 minit dari rumah ayah, aku memilih untuk duduk menyewa. Jika aku tinggal di rumah, pasti mak tidak akan berdiam diri. Herdikan dan sindiran pasti menjadi hidangan harian, walaupun akan disulami dengan senyuman dan kata-kata galakan dari ayah. Semua itu aku tolak dahulu ke tepi, asalkan aku tidak menyusahkan ayah lagi. Cukuplah ayah dan mak membesarkan aku dari kecil.

Kembali dari Sungai Melaka, aku masuk semula ke makmal. Menyediakan diri untuk melakukan ujikaji ke atas sampel air yang baru diambil tadi. Juga beberapa sampel air yang telah ditambah kultur dengan kultur bakteria. Itulah kerja harianku di sini. Makmal kecil yang kian sebati dengan diri. Tempat aku mengasingkan diri, untuk hidup dalam duniaku. Syarikat kecil ini menerima aku bekerja walaupun kelulusanku sepatutnya membolehkan aku ke tempat lebih tinggi. Atas budi bicara majikanku, dia membenarkan aku menjadi warga kerjanya. Semuanya gara-gara aku tetap berkeras memohon kerja ini, walaupun Encik Halim pernah cuba menawarkan aku kerja yang lebih baik.

Pada pendapatku, adalah lebih baik melakukan apa yang aku sukai. Berbanding aku melakukan sesuatu yang tampak gah, tapi tiada makna pada diri. Aku lebih memilih untuk mengumpul pengalaman terlebih dahulu. Berbekalkan gaji sebagai pegawai penyelidik di sini, aku membina hidupku sendiri. Gaya hidupku tetap sama, tiada yang banyak berubah. Cuma aku semakin berdisiplin, memandangkan tanggungjawab dan komitmen pada kerjaya yang menuntut kesungguhan.

Mak selalu bising. Katanya kalau tak mahu jadi jurutera, tak perlu aku habiskan duit ayah dahulu belajar sampai dapat ijazah. Aku diamkan sahaja kerana aku memang tidak mahu menjadikan jurutera sebagai kerjaya pilihan. Tekanan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan aku menjadi diriku. Atas alasan itu jugalah mak kembali membandingkan aku dengan Khiriah, anak kebanggaannya. Adikku itu memilih bidang perubatan sebagai kepakarannya. Doktor perubatan menjadi pilihan kerjayanya. Kini, dia sedang mengikuti pengajian perubatan di Universitas Gajah Mada di Jogjakarta, Indonesia.

Walau apa pun, aku tetap aku. Berusaha menjadi yang terbaik dalam caraku yang tersendiri. Laptop tetap juga menjadi teman baikku hingga kini. Menghabiskan kebanyakan masa di hadapan skrin 15 inci itu jugalah yang banyak memberiku kekuatan mengharungi hidup seharian. Sedar tak sedar, sudah lebih setahun aku bekerja di syarikat ini. Bebanan kerja yang dahulu kecil, semakin membukit. Skop kajian juga sudah semakin besar. Projek baru semakin banyak diterima, sedikit melemaskan. Aku semakin jarang pulang berhujung minggu di rumah ayah. Hanya panggilan telefon yang menghubungkan kami.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape