Jun 22, 2009

#11

Setelah hampir tiga bulan aku bekerja makan gaji dengan Tuan Kamal Abdullah bin Musa di rumah besar ini, barulah aku berkesempatan bertemu mata dengan kedua-dua anak bujangnya. Selama ini, aku hanya sempat bersisih bahu, bertukar senyum dengan anak sulungnya – Kamal Akram apabila terserempak di rumah. Anak bongsu Tuan Kamal dinamakan Kamal Adrian. Rupanya Kamal adalah nama keluarga. Patutlah Dr. Fahmi selalu tersenyum bila aku membahasakan tuan sebagai Tuan Kamal. Maknanya, aku memanggil mereka bertiga! Lucu juga bila mengingatkannya.

Entah apa alasannya, tuan tegas meminta aku memanggilnya sebagai Tuan Kamal. Selesa. Hanya itu jawapan yang keluar dari mulutnya melihatkan aku membuat muka pelik semasa di meja makan tadi. Aku hanya senyum dan mengangguk. Sebagai tanda patuh dengan permintaan majikan. Abang Akram dan Adrian juga ikut mengangguk. Mungkin hormatkan ayah mereka. Aku enggan ambil pusing.

Abang Akram dan Adrian masih muda. Bujang, dengan usia masih di awal 30. Usia yang boleh dianggap muda bagi lelaki berkerjaya hebat seperti mereka. Kesibukan memantapkan perniagaan keluarga mungkin menyebabkan mereka memilih untuk terus membujang sehingga kini. Aku tak berani untuk bertanya lebih, walau timbul rasa pelik melihatkan mereka yang tampan bergaya masih menyendiri. Tak perlu aku sibuk tentang mereka. Hidup mereka, biarlah mereka yang mengaturnya. Aku pula, terus menjadi bidak catur. Menurut perintah Tuan Kamal selagi tidak salah dan memberi ruang untuk aku maju ke hadapan.

Apabila difikirkan, kedua-dua Abang Akram dan Adrian adalah calon yang sangat menarik dan mantap jika mahu memilih calon suami. Andai ada pembahagian markah atau mata, pasti ramai yang tanpa berfikir panjang meletakkan nilai 9 per 10 atau terus memilih 10, markah penuh dalam kategori calon suami. Semua nilai yang baik ada dalam diri mereka. Hensem. Itu sudah pasti. Kacak lagi bergaya. Sangat indah dan kena pada masanya jika aku mahu memulakan segmen ‘mari mencuci mata’.

Kedua-duanya juga tidak pernah bersikap sombong padaku. Selalu juga mereka menegur aku. Bertanyakan perihal kesihatan ayah, dalam nada pertuturan yang sopan dan penuh hormat. Timbul juga rasa segan dalam diri kerana mengetahui taraf aku sebagai pekerja apabila dihormati sebegitu rupa. Mungkin itu sebagai tanda ucapan terima kasih mereka padaku, yang sudi mengabdikan diri di rumah besar itu menjaga orang tua mereka. Kagum aku. Mereka tidak memandang orang sekeliling berdasarkan status, walau mereka boleh bertindak demikian denganku.

Tidak mahu dikatakan melebih-lebih, aku memilih untuk membalas segala perlakuan mereka atas dasar menghormati majikan. Hanya sekadar berbalas senyum bila berjumpa. Bercakap apabila perlu. Tidak salah rasanya, kerana mereka majikan yang sangat baik padaku. Tidak pernah terlintas untuk menunjukkan perangai manja, dan meminta yang tidak-tidak daripada mereka. Cukuplah sekadar itu batas pergaulanku dengan mereka. Semuanya atas dasar kerja. Professional. Pesanan ayah sering aku ucapkan dalam diri, supaya aku tidak terbawa-bawa dengan kesenangan yang dilimpahkan. Tidak lupa diri dengan perhatian dan kasih sayang yang dikurniakan.

“Nisa, walau apa pun yang berlaku. Selalu ingat siapa kita. Asal-usul kita. Selalulah ucapkan hamdalah dan istighfar, supaya kita selalu ada dalam landasan yang betul. Jangan lupa minta pada Tuhan untuk tetapkan hati kita dan selalu merasa cukup. Tuhan marah jika kita tidak meminta dari-Nya.”

Itulah antara ingatan ayah setiap kali aku menghubunginya. Alhamdulillah, ayah faham dengan tugasku. Tuntutan kerja menyebabkan aku tidak berpeluang untuk pulang ke kampung. Sekadar berkesempatan menghubungi ayah dalam kekerapan tiga kali setiap minggu. Emak juga seperti senang dengan situasi itu. Aku sangat jarang menunjukkan muka di rumah. Apabila berbual di talian juga, aku hanya berpeluang menitip salam padanya. Dia masih enggan berbual, berbicara panjang denganku. Seingatku, aku tidak pernah lagi pulang ke rumah semenjak bekerja di sini.

Sesekali, ayah memberi khabar tentang Khiriah di Jakarta. Adikku nampaknya gembira dengan pengajiannya di sana. dia sudah lulus tahun tiga. Jika diizinkan Tuhan, dia akan menamatkan pengajiannya pada tahun hadapan. Setelah itu, dia akan pulang. Meneruskan khidmat bakti sebagai doktor di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh setahun. Sebagai syarat yang perlu dipatuhi kerana perbelanjaan pengajiannya ditanggung oleh pihak kerajaan Malaysia. Melepasi tempoh itu, dia bebas memilih untuk berkhidmat di mana-mana yang dikehendaki.

Pernah juga ayah maklumkan padaku, Khiriah pernah bercuti di sebuah tempat dinamakan Bogor. Aku pun tak pasti tentang tempat itu. Cantik katanya. Begitulah yang ayah khabarkan, sepertimana yang diceritakan oleh emak kepadanya. Rapat sungguh adik dengan mak. Terkadang cemburu juga aku dengannya. Seketika cuma. Pantas aku tepis semua rasa yang negatif. Mengelakkan percambahan rasa yang bakal menjadi racun dalam diri. Yang akhirnya akan merobohkan institusi kekeluargaan yang bahagia.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape