Jun 22, 2009

#12


Kebun Raya Bogor. Nama lainnya, Taman Botani Indonesia. Tempat yang cantik. Meninggalkan 1001 memori indah dalam diri. Khiriah tersenyum seorang diri di sudut ruang kecil itu. Tenggelam dalam dunia sendiri. Gembira. Tidak sia-sia menghabiskan masa dan sedikit wang untuk bercuti ke tempat itu. Perkenalan dengan jejaka tampan itu membawa satu rasa yang sukar diungkapkan.


Adrian. Satu nama yang indah. Bisa membawa aku terawang-awang hanya dengan mengingatinya. Belum lagi menatap wajahnya yang tampan, penuh karisma. Akibat satu pertembungan yang tidak disengajakan, kami sempat berkenalan sebelum menghabiskan masa bersama sepanjang petang. Menikmati keindahan air terjun dan panorama indah di Kebun Raya. Dia sempat menitipkan kad perniagaannya padaku. Seorang ahli perniagaan berpusat di Shah Alam. Aku juga memberinya nombor telefon bimbitku untuk dihubungi. Semoga perkenalan ini berterusan. Tidak bernoktah setakat di situ.

Sepanjang petang itu, kami menghabiskan masa bersiar-siar di sekitar Kebun Raya. Taman botani seluas 80 hektar itu punya sejarahnya yang tersendiri. Hasil inspirasi seorang Professor kelahiran Jerman terhadap Sir Stamford Raffles, gabenor Jawa dari tahun 1811 hingga 1816. Kawasan hijau yang indah dan segar itu terletak sejauh 60 km jauh ke selatan Jakarta. Lokasinya cantik di tengah-tengah bandar Bogor, dan menjadi taman kepada Istana Bogor – salah sebuah Istana Presiden Indonesia.

Taman besar ini diilhamkan oleh Professor Casper George Carl Reinwardt, seorang pakar botani. Dibuka secara rasmi pada tahun 1817, taman ini kemudiannya digelar sebagai Tamab Botani Nasional. Kini, ia memuatkan lebih 15 000 spesies pohon dan tumbuhan yang tumbuh cantik dan hijau sepanjang aliran sungai dan tasik yang dipenuhi teratai. Terdapat juga lebih 400 jenis pohon palma dari serata lokasi yang menjadi kawasan teduhan lebih 50 spesies burung dan kumpulan kelawar.

Melewati Istana Bogor, banyak sisa sejarah dapat dilihat dan dikutip di sini. Bangunan sejarah ini dibina sekitar Ogos tahun 1744, semasa zaman pemerintahan British di sini. Istana mewah ini telah dibina semula pada 1856, setelah musnah pada 1834 akibat gempa bumi. Mempunyai kawasan istana utama yang besar dan dua sayap, bangunan ini turut dilengkapi kemudahan seperti pejabat ekslusif presiden, perpustakaan, dewan makan, bilik mesyuarat menteri, bilik teater dan Bilik Garuda yang dikhaskan untuk menerima tetamu Negara. Namun, penggunaannya terhad sejak pemerintahan Suharto yang kemudian membukanya kepada umum pada 1968.

Di Rumah Orkid, kami sempat merakamkan kenangan bersama. Beberapa keping gambar diambil sebagai tanda kenangan. Rumah ini boleh memuatkan lebih 3000 jenis orkid yang berbaga-bagai saiz, rupa dan warna. Aku tertawan melihat keindahan bunga-bungaan yang cantik di sini. Juga tertawan dengan kelembutan budi dan laku Adrian padaku. Sungguh menghormati wanita, sering mendahulukan aku sebelum dirinya.

Segar rasanya berada di situ. Mata yang letih dan badan yang lesu dapat direhatkan. Melihat pemandangan yang hijau, bagai memberi vitamin kepada mata yang kian lesu dan layu. Kesegaran air terjun pula menjana semula keringat dan tenaga tubuh yang lenyap di tengah kota batu. Mengembalikan kecergasan dalam diri. Membuatkan aku kembali ceria. Cerdas. Bersedia untuk mengharung semula kepayahan menghabiskan pengajian sebelum kembali semula ke tanahair tercinta.

Perkenalan singkat dengan Adrian aku sampaikan pada pengetahuan mak. Dia kedengaran gembira mengetahui berita itu. Bagai sudah tidak sabar untuk menerima ahli keluarga yang baru, sedangkan aku baru sahaja ingin mengorak langkah. Tersenyum aku membayangkan gelagat mak. Lega juga mendengar suaranya yang dirindu sekian lama. Ayah? Aku sekadar bertanyakan khabarnya. Berbasa-basi, sebagai syarat aku menghormatinya sebagai ayahku. Ketua keluarga kami. Dia lebih rapat dengan Kak Nisa.

Kak Nisa? Kakak? Bukan. Dia bukan kakak. Sekadar seorang saudara yang menumpang di rumah kami sejak kecil. Begitulah yang dimaklumkan oleh emak padaku. Aku hanya mengetahui kisah sebenarnya semasa aku Tingkatan Empat. Peristiwa itu mendedahkan siapa perempuan itu dalam keluarga kami. Barulah terungkai sebab mengapa aku benci benar melihatnya. Malu rasanya mengakui dia sebagai kakak. Aku tidak pernah menganggap dia sebagai kakakku. Hanya menghormatinya di hadapan ayah. Kerana aku tahu, ayah sangat menyayanginya. Kasih ayah padaku telah dirampas olehnya. Mujur emak masih menyayangiku. Tidak termakan dengan pandangannya. Rayuannya. Permintaannya. Kononnya dahagakan kasih sayang ibu dan bapa. Sentiasa berpura-pura menjadi anak malang yang perlu perhatian dan bantuan.

Sejak kecil, aku tidak pernah betah berada dekat dengannya. Aura kebencian emak padanya melampias padaku. Aku mengaku. Aku benci padanya. Benci mendengar suaranya. Benci melihat mukanya. Ingin sahaja aku menggelarnya tukang gaji di rumahku jika ayah tidak memberi perhatian yang lebih padanya. Disebabkan kehadirannya, emak sering menangis. Sering bersedih melihat ayah yang begitu prihatin pada anak kotor itu. Emak selalu bergaduh dengan ayah. Ayah yang selalu membela perempuan pemusnah itu. Ayah yang selalu memenangkannya dalam apa jua keadaan. Terkadang ayah menepikan emak hanya kerana anak tak guna itu.

Mengingati semua kenangan pahit itu, aku semakin membenci. Khabar dari emak tentangnya sedikit menceriakan. Mengetahui yang dia semakin jarang pulang ke kampung melegakan aku. Sekurang-kurangnya emak tidak akan tertekan dengan tingkahnya yang menjelikkan. Emak akan gembira selalu. Emak tidak perlu bersedih melihat perlakuannya yang manja dan cengeng di hadapan ayah. Ayah juga tidak perlu menghabiskan wang untuknya lagi. Dia sudah punya kerja sendiri. Kerja cabuk. Kerja yang sungguh tidak sesuai dengan taraf pengajiannnya. Kerja kecil, tetapi pasti sesuai dengan dirinya yang tidak sebagus aku. Penjaga makmal. Kutip air sungai yang kotor. Memang sangat menggambarkan keperibadiannya yang juga perempuan seperti itu.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape