Jun 22, 2009

#13

Tetamu. Itulah kali pertama rumah agam ini menerima tamu sejak aku bekerja di sini. Pastilah seorang yang istimewa. Yang rapat. Melihatkan persiapan Kak Ana dan Mak Limah. Tidak siap-siap semenjak jam 4 petang tadi. Pelbagai hidangan yang enak terhidang di atas meja panjang itu. Hampir penuh. Banyak sungguh.

Aina. Nama yang cantik. Mesti secantik orangnya. Kawan Abang Adrian. Mungkin bakal menantu Tuan Kamal. Tapi, tidak kisahkah Abang Akram? Mengapa teman adiknya yang berkunjung ke rumah terlebih dahulu? Tidak terasakah dia? Jika aku, tentunya berbekas juga rasa sedih di relung hati andai teman istimewa Khiriah yang terlebih dahulu mengunjungi rumah kami. Mahu tidak mahu, kecil juga hati aku jika Khiriah mendahului aku dalam perkara itu.

“Apa yang aku melalut ni? Jauh benar jangkauan fikiran ini. Banyak lagi perkara lain untuk disempitkan dalam minda ini. Fokus. Sekarang ini masih waktu kerja. Biarlah apa pun yang berlaku di antara mereka. Aku tidak berhak mencampuri urusan majikan.”

Tepat jam 8.00 malam, tetamu yang dinanti-nanti tiba jua. Seperti yang dibayangkan, memang seorang wanita yang cantik. Tinggi. Bergaya. Penuh dengan ciri-ciri wanita Melayu yang sopan. Sama cantik, sama padan dengan Abang Adrian. Di datang berdua rupanya. Mungkin Aina datang bersama adik lelakinya. Seorang lelaki berbadan kecil. Cuma tingginya hanya di telinga Kak Aina. Berkaca mata. Kacak juga. Melalut lagi fikiran aku.

Salah lagi tekaan aku. Selalu sangat fikir yang bukan-bukan. Yang tidak-tidak. Rupa-rupanya kedua mereka adalah teman rapat Abang Adrian. Juga merupakan pengurus bahagian kewangan dan perhubungan awam di ibu pejabat KaTeCom di Shah Alam. Dengan pelbagai tekaan bermain di minda, aku hanya diam di meja makan. Sekadar mengangguk dan menyampuk bila-bila perlu. Kebanyakannya, aku hanya diam. Menahan tawa memikirkan segala terjahan minda tentang spekulasi kedatangan mereka. Tersenyum sendiri seketika.

Abang Shah dan Kak Aina. Pasangan yang cantik, dan mesra. Kedua-dua mereka diambil bekerja kerana menyambung bakti orang tua mereka di syarikat tekstil itu. Setia sungguh para pekerja Tuan Kamal. Perhubungan majikan-pekerja ini telah terjalin sejak kecil. Namun mereka lebih rapat dengan Abang Adrian kerana bekerja di Shah Alam. Kemesraan mereka dengan keluarga Kamal ini sungguh ketara. Bagai sebuah keluarga lagaknya. Atas sebab itu, aku lebih memilih menjadi pendengar setia di meja makan itu. Memilih untuk duduk diam di atas kerusi. Sekadar mengelakkan peristiwa tidak diingini berlaku. Mengurangkan peratus kesilapan yang bakal aku lakukan jika bertindak dan berkata belebih-lebihan.

Keluarga Kamal seperti memahami aku. Menyorong bantal untuk aku terus menjadi lebih pendiam. Mereka tidak banyak melibatkan aku dalam perbualan aku, melihatkan aku lebih selesa dengan mendengar. Mereka sekadar bertanyakan latar keluargaku secara kasar disebabkan aku menjawab seperti hampir tiada suara. Suara yang keluar juga seperti berbisik sahaja. Terlalu segankah aku dengan situasi seperti ini? Ketara sangatkah? Akhirnya aku hanya memilih untuk menguntum senyum. Nasiblah Kak Ana banyak menjawab bagi pihak aku. Laksana seorang jurucakap peribadi gayanya. Aku cuma mengangguk, tanda mengiyakan segala jawapan yang dituturkan oleh Kak Ana.

Perasaaan akukah? Sepertinya Abang Shah banyak mencuri pandang melihatku. Keadaan itu menambahkan rasa segan dalam diri.

“Adakah aku salah pakai baju? Atau suapan aku terlalu gelojoh? Kenapa dengan dia ni? Sudah ada kekasih yang cantik masih cuba mencari orang seperti aku?” Aku bermonolog sendiri.

Aku mula berasa tegang. Namun, segala rasa curiga dan tegang mengendur apabila dia menguntum senyumnya untukku. Mungkin menyedari aku mula tidak selesa dengan tingkahnya. Aku segera mengalih pandangan, mengalih tumpuan. Kembali fokus kepada topik perbualan di meja makan.

Menghampiri jam 11 malam, mereka mula meminta diri untuk pulang. Aku sedikit pelik. Melihat mereka datang berasingan. Pasangan kekasih, tapi tidak datang bersama. Tapi bekerja di tempat yang sama. Tentunya rumah mereka juga berhampiran. Kedua mereka memandu kereta besar. Proton Persona dan Proton Perdana V6. Tinggi juga semangat kenegaraan mereka. Biasanya eksekutif muda lebih memilih untuk menggunakan kereta mewah, kereta besar keluaran luar negara. Kereta import yang lebih mahal. Lebih menawan dan lebih gayanya

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape