Jun 22, 2009

#15


Persahabatan kami bermula sejak itu. Hanya dengan perkenalan yang singkat itu. Kami mula berbalas-balas mesej semenjak itu. Pelik juga. Dia tidak pernah menelefon. Kami cuma berbicara menerusi tulisan. Bicara yang tiada bunyi. Tiada suara. Hanya irama yang dimainkan sendiri bergema di dalam hati. Cuma alunan muzik diiringi kumpulan pancaragam yang entah datang dari mana. Tiada mula. Juga tiada akhir. Sekadar berpusing-pusing memutar semula bahagian korusnya tanpa henti.

Aku gembira. Tercalit sekelumit rasa bahagia. Walaupun pada awalnya aku sedikit segan memulakan bicara. Membuka cerita. Sekadar setia menjadi pembaca bicara tinta mesejnya. Membalas dengan pertanyaan yang perlu. Yang berkaitan. Supaya cerita tidak ternoktah. Agar bicara berlanjutan panjang. Hanya dengan begitu, hidup aku terasa sedikit ceria. Warna-warni pelangi seperti mula menyaduri butiran warna kelam hidupku. Dia pandai mengambil hatiku. Seperti seorang yang sudah terlalu mengenaliku. Bijak membaca hatiku. Perangaiku juga seperti sudah difahami.

Diam tak diam, sudah hampir enam bulan kami berbicara begini. Mengenali hati budi masing-masing. Aku kian selesa berbual dengannya. Perkara bualan? Tidak ke mana. Sering berkisar tentang kehidupanku di rumah agam ini. Selebihnya aktiviti Tuan Kamal, Abang Akram dan Abang Adrian. Satu perkara yang aku rasa pelik. Tidak pernah pula timbul keinginan untuk bertemu mata dengannya. Rasa malu dan segan masih menggunung. Mungkin aku lebih selesa bertukar cerita tanpa mengenali rupanya. Sama seperti aku selesa bercerita di alam siber dulu. Kegiatan yang satu itu telah dikurangkan sejak aku bekerja di sini. Kekurangan masa. Kini, aku sekadar menghabiskan setengah jam masa yang berkualiti sekitar dua hingga tiga kali seminggu menulis di ruangan blog.

Tentang dirinya? Aku cuma mengetahui dia seorang yang sangat perahsia. Jarang membuka cerita peribadinya. Sentiasa sibuk dengan urusan kerja yang menuntut komitmen yang tinggi. Apabila hujung minggu, dia pasti pulang ke kampung halaman di Sabak Bernam jika tiada urusan penting. Menguruskan adik-adiknya yang ramai. Itulah katanya setiap kali aku bertanya. Itu jualah yang menjadi topik pergaduhan kami jika aku berasa sangsi akan kejujurannya. Tetapi selalunya tidak lama. Aku rajin memujuk diri sendiri. Positif. Sikap negatif hanya akan memakan diri. Sering aku mengingatkan hati. Menabahkan hati sendiri.

“Bila sudah bersedia, dia pasti akan bercerita juga. Semuanya hanya perlukan masa. Suatu hari nanti, pada masa dan tempat yang tepat, dia akan beritahu semuanya padaku.” Begitulah lazimnya yang berlaku.

Satu perkara yang sama pada kami, dia juga tidak bekerja sebagai seorang jurutera. Lebih meminati bidang pengurusan, dia mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan. Kini, dia bekerja sebagai pengurus bahagian sumber manusia di sebuah syarikat di Shah Alam. Hebat. Dia mendahulukan pelajarannya sebelum menceburkan diri dalam alam kerjaya. Tahu kehendak hatinya sendiri. Tidak seperti aku. Macam lalang. Terkadang memilih untuk mengikut arus. Membiarkan masa menentukan segalanya. Membiarkan diri melangkah mengikut arus perdana.

Kehadiran Azhar membuahkan riang. Bunga-bunga bahagia semakin mengisi ruang hati. Dia juga mula menunjukkan yang dia menyayangi aku. Pertanyaan, ayat-ayatnya lebih menunjukkan keprihatinannya padaku. Kadang-kadang dia lebih risaukan kesihatan dan keadaan aku berbanding diriku sendiri. Sering juga dia memarahi atau menegur bila aku kurang peka.

Dalam masa yang sama, Kak Aina dan Abang Shah semakin kerap berkunjung ke rumah Tuan Kamal. Kadang-kadang, hadir mereka semata untuk melawat Tuan Kamal. Terkagum aku dengan sifat hormat dan setia yang mereka tunjukkan. Mereka menyayangi Tuan Kamal seperti ahli keluarga mereka sendiri. Layanan mereka juga lebih kepada meladeni orang tua sendiri. Mereka tahu kehadiran mereka akan lebih menggembirakan hati Tuan Kamal yang selalu sunyi.

Disebabkan kunjungan mereka yang kian kerap, aku juga semakin rapat dengan Abang Shah dan Kak Aina. Banyak kali juga ajakan untuk bercuti bersama terpaksa aku tolak. Bukan berniat untuk menyombong, tetapi aku tidak betah meninggalkan Tuan Kamal tanpa diuruskan sesiapa, walau dia telah menyatakan keizinannya. Bukannya Kak Ana dan Mak Limah tak mampu menjaganya. Cuma aku yang memilih untuk setia di samping Tuan Kamal.

2 comments:

Anonymous said...

shah n azhar....org yg samakn??? Pandainya sembunyikan identiti......

rahmahmokhtaruddin said...

yeke sama? pasti?

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape