Jun 22, 2009

#20

Sejak peristiwa di Brinchang itu, aku mula menjauhkan diri dari Abang Shah. Rasa tidak selesa dengan apa yang berlaku. Aku mula menjadi pendiam di hadapannya. Terkadang Kak Aina seperti terkesan sesuatu di sebalik tingkah kami, tetapi dia lebih memilih untuk menjadi seorang pemerhati. Tidak mencampuri urusan antara kami. Aku menjadi buntu. Memikirkan kedudukan Kak Aina di hati Abang Shah. Sepatutnya rasa kasih itu bukan untuk aku. Seharusnya ia dipupuk, dihias indah buat Kak Aina. Apabila difikir-fikirkan, nyata tercapailah matlamat percutian itu. Membawa kenangan baru dalam hidup aku. Satu-satunya kenangan yang langsung tidak pernah aku bayangkan!

“Bantulah aku menghadapi kemelut perasaan ini ya Allah. Ungkaikanlah segala kekusutan di hati ini.”

Aku tidak memaklumkan pada ayah tentang perkara itu. Tidak mahu menambah beban pada fikirannya. Sementelah aku masih mampu menanggung semuanya sendiri. Cukup aku simpan semuanya untuk perhatian diriku sendiri. Kadang-kadang seperti ingin menjerit padanya. Mengapa aku? Siapa Kak Aina di sisinya? Tetapi, semuanya hanya terluah di dalam hati. Tidak berani aku muntahkan di hadapannya. Kehadirannya ke rumah Tuan Kamal sentiasa aku pandang sepi. Menganggap tiada yang hadir, walau aku sedar ekor matanya kerap mengikuti gerakku. Menampal rasa segan dalam hati. Membukitkan rasa malu. Menyuburkan pohon segan dalam diri.

Abang Shah makin sering mampir ke rumah. Singgah seorang diri usai waktu bekerja, dengan alasan melawat Tuan Kamal. Aku semakin tidak selesa. Tidak tahu ke mana ingin disembunyikan wajah yang pasti merona merah tiap kali pandangan kami bertembung. Tidak keruan memikirkan reaksi sendiri tatkala menyedari diriku menjadi santapan matanya, walaupun sekadar dari jauh. Pernah, aku hampir tersadung karpet di ruang tamu rumah, sebaik tersedar Abang Shah sedang memerhati aku di hujung meja makan. Mujurlah ada Kak Ana. Sempat aku paut lengannya, mengelakkan diri dari jatuh tersungkur di celah sofa. Kak Ana yang tidak mengetahui punca hanya tergelak besar, kerana dia memang mengenali aku sebagai seorang yang cemerkap. Aku turut tersenyum lebar, menampakkan barisan gigi melihatkan gelagatnya yang ceria itu. Sekurang-kurangnya aku terlupa seketika tentang dia.

Masalah timbul lagi. Aku tidak tahu sama ada aku yang mengundang kecewa atau bukan. Adakah aku yang salah kerana meletakkan harapan pada seorang jejaka bernama Azhar itu? Sesungguhnya bukan dia yang akan mengisi ruang kosong di sudut hati ini. Nyata aku tersalah teka. Segalanya bermula apabila aku membuka kisah tentang Abang Shah padanya. Reaksinya yang gembira dengan ‘perkara baik’ itu menghujankan rasa sebal dalam diri. Tega dia bergembira dengan peristiwa itu? Siapakah aku di hatinya? Semua persoalan akhirnya aku luahkan sebagai bait-bait kata dalam pesanan ringkas, lewat malam itu.

Nisa: Salam. Saya nak tau, kenapa ya awak suka sangat masa saya bagitau pasal Abang Shah?

Azhar: Mestilah saya suka, ada orang mencintai kawan baik saya ni.

Kawan baik? Ya Allah! Salah tafsirkah aku atas keprihatinannya selama ini?

Nisa: yeke? Saya nak tanya lagi. Memang selama ni awak anggap saya kawan baik je ke? Tak pernah lebih?

Agak lama, SMS aku tidak dibalas. Aku mengirim lagi pesanan lain buatnya.

Nisa: Awak, saya rasa saya boleh terima apa-apa pun jawapan awak malam ni. Saya harap awak boleh tunaikan permintaan saya yang satu ni sebelum saya melangkah lebih jauh.

Tidak lama kemudian, skrin L7 milikku menyala. Ada pemanggil. Buat pertama kalinya Azhar menghubungiku. Menggigil juga tanganku ketika menekan butang jawapan di telefon nipis itu.

Nisa: Hello...

Azhar: Assalamu’alaikum.

Nisa: Wa’alaikum salam.

Azhar: Awak.. Ehem..

Diam seketika..

Nisa: Macam ni lah, awak. Awak dah ada ‘someone’ kan?

Azhar: Awak, saya minta maaf kalau saya buat awak salah faham. Saya sebenarnya...dah ada seseorang dalam hati saya. Dah lama sangat saya menyayangi dia.

Nisa: Habis tu? Apa tujuan awak rapat dengan saya? Kenapa awak sungguh-sungguh nak kenal dengan saya dulu?

Azhar: Saya minta maaf awak. Saya langsung takde niat nak buat awak fikir macam ni. Saya ikhlas nak kawan dengan awak.

Nisa: Boleh jalanlah dengan ikhlas awak tu. Sampai hati awak buat saya macam ni! Awak datang dekat saya, kawan dengan saya lama-lama, lepas tu tiba-tiba cakap sebenarnya awak sayang kat orang lain! Saya rasa takde apa lagi saya boleh harap dari awak, saya nak minta tolong satu perkara je. Lepas ni tolong jangan hubungi saya! Saya perlukan masa untuk kuatkan diri saya, dan lupakan awak dari hidup saya.

Azhar: awak, janganlah putuskan persahabatan kita ni..

Nisa: Saya minta maaf. Saya perlukan masa untuk diri sendiri. Assalamu’alaikum.

Klik. Aku menutup talian, sekaligus mematikan telefon. Memikirkan juga untuk ‘mematikan’ perhubungan aku dan Azhar. Sesungguhnya aku perlukan masa untuk bersendiri. Membawa lari kekecewaan hati. Melempar jauh kegusaran di benak. Mencari semula keteguhan seorang perawan bernama Khairunnisa. Menerobos jalan mencari cahaya. Sinar yang bakal meruntuhkan gunung mazmumah yang mula memuntahkan laharnya. Perlahan-lahan, aku mengucap istighfar. Menyejukkan larva dendam yang seperti mula membakar diri. Menutup ruang buat sang iblis menguatkan kubu melalui runtuhan akhlak seorang lagi kaum Hawa.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape