Jun 22, 2009

#21

Aku tidak tahu sudah berapa lama aku berfi’il pelik seperti ini. Menjadi seseorang yang lain. Menjadi seseorang yang bukan aku. Tenggelam dalam kenangan dan alam sendiri. Asyik dalam fikiran sendiri. Meminggirkan semua aspek luaran. Menepikan segala sumber asing. Sehinggalah suatu hari, Tuan Kamal menegur.

“Nisa, kamu ada masalah ke? Kenapa saya tengok kamu makin senyap sekarang ni? macam dah tak peduli hal lain pun ada jugak. Di meja makan pun macam nak tak nak je kamu makan. Pasal Shah pulak, kadang-kadang saya nampak si Shah tu nak bercakap dengan kamu, tapi kamu lari. Dia ada buat apa-apa yang tak elok pada kamu ke?”

“Aaahh.. prihatinnya majikan aku yang satu ini.” Aku bermonolog dalam hati.

Aku menggeleng, dan senyum. Menidakkan segala tekaan yang diletakkan. Memahami, dia juga tidak bertanya lanjut. Sebaliknya menambah rasa bersalah dalam hati atas perhatian yang ditunjuk untukku.

“Kalau kamu rasa nak rehat, cutilah. Insya Allah saya ok. Mak Limah dan yang lain-lain ada untuk perhatikan saya. Untuk jaga saya. Risau saya tengok kamu macam ni.”

Seperti ingin menitis airmata mendengarkan bicara Tuan Kamal. Terharu. Aku mengutus bicara melalui senyum lagi. Tidak tahu apa yang harus diutarakan. Terputus kata. Namun, aku memilih untuk terus berada di sini. Jika pulang, aku pasti tidak dapat mengelak jika ayah bertanya. Ayah yang mengerti aku tidak arif menguruskan soal hati dan perasaan ini.

Perkara itu senyap di situ. Tidak sempat difikirkan selepas Tuan Kamal memaklumkan bahawa Adrian akan pulang hujung minggu itu. Membawa seorang teman dari jauh. Kami semua menyiapkan segala yang perlu untuk menyambut kehadiran tamu istimewa itu. Aku pasti ini tentu kekasih Abang Adrian. Melihatkan perilakunya yang semakin riang. Senyuman manis kerap menghiasi bibirnya. Indah betul saat memadu kasih. Mengenangkan itu, fikiranku menerawang. Mengingat si dia. Segera aku menggeleng-gelengkan kepala. Mengharapkan ingatan itu tercampak keluar dari kotak fikiran. Kembali fokus kepada kerja-kerja yang perlu diselesaikan.

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Tepat jam 1.30 petang, Abang Adrian tiba dari KLIA bersama temannya. Kami hanya menunggu di dapur. Menguruskan persiapan akhir untuk hidangan tamu. Tidak menunggu lama, Tuan Kamal memanggil aku. Ingin memperkenalkan pada tamunya. Pelik juga. Mengapa perlu aku yang dipanggil? Tiba di ruang tamu, aku segera memaniskan muka. Mengelakkan tetamu berprasangka yang tidak-tidak tentang aku. Sekaligus menjatuhkan air muka Tuan Kamal. Sebaik mengangkat muka, lidah aku terkelu. Pucat rasanya muka aku. Jika ditoreh, pasti tiada darah yang mengalir.

“Khiriah?”

Dia juga tergamam. Seketika cuma. Kemudian dia berpura-pura tidak mengenali aku. Menghulurkan tangan dan berjabat salam. Tuan Kamal memperkenalkan aku sebagai jururawat peribadinya. Mahu tidak mahu, aku perasan akan jelingan wanita muda di hadapanku ini walau dia cuba menunjukkan riak mesra. Kekok aku dengan semua ini. Rasa seperti segala yang aku buat tak kena. Ada sahaja yang silap. Sudahnya, aku hanya duduk di hujung meja makan. Menjadi pendengar dan pemerhati dengan lagak bagai boneka yang dikawal oleh akal yang kian sempit. Akal yang mula terbejat dek kejutan yang dirasai awal pertemuan tadi. Aku tidak bercakap. Sekadar mengangguk, menggeleng dan senyum tika perlu.

Edaran waktu terasa seperti sangat perlahan. Ingin rasanya aku menyelinap di balik pintu dan lari menuju ke kamarku. Melarikan diri. Menjadi halimunan. Mengharapkan aku tidak berada di sini. Adik pastinya akan memaklumkan emak tentang ini. Tidak dapat aku bayangkan apa yang berlaku, jika berita ini sampai ke pengetahuannya. Tidak henti-henti aku berdoa supaya hati emak lembut dan menerima berita baru ini dengan gembira. Tetapi, mungkinkah? Tidak berani aku membayangkan akibatnya. Cuak.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape