Jul 2, 2009

#33


Indah rasanya berpeluang beristirehat panjang. Memanjakan diri di teratak ayah yang sangat dirindui. Berseronok menikmati cuti, yang sudah terlalu lama tidak dirasai sejak alam universiti. Mengambil peluang mencuci kereta kompak milikku. Sudah agak lama kereta kecil ini tidak dibersihkan luar dan dalam dek kekangan masa yang menegah. Ayah juga tidak bertanya langsung sebab aku bercuti. Sudah dimaklumkan oleh bakal besannya mungkin. Biarlah, apa jua sebabnya. Pastinya tidak menyusahkan aku, bahkan memudahkan lagi perjalanan. Pandangan tajam dan sikap tidak ambil peduli emak aku endahkan. Sekadar memandang sepi. Bukan ingin menjadi anak yang biadap, tetapi aku sudah letih. Nanar rasanya sentiasa berfikir untuk kebaikan semua pihak sehingga diri sendiri terpaksa diabaikan. Dirasakan sudah tiba masanya untuk aku menjaga hati sendiri yang telah lama terluka, dan hampir bernanah.

Tidak lupa, aku mengambil peluang menjenguk sahabat-sahabat lama di tempat kerja lama. Melawat Encik Halim. Rupanya dia sudah pun dipindahkan ke cawangan lain. Ah, memang aku sahabat yang tidak baik. Tidak langsung berusaha menghubungi mereka yang pernah mengajar aku pelbagai perkara, ilmu dan rasa baru suatu masa dahulu. Rasa segan segera bermukim di hati. Malu dengan sikap sendiri yang tidak wajar dicontohi sesiapa pun. Harapnya aku tidak ulang lagi kesilapan ini, baik sekarang atau pada masa akan datang. Orang mukmin seharusnya selalu belajar dari kesilapan. Tidak akan membiarkan pisang berbuah kali kedua. Satu kemestian untuk dilakukan! Setiap hari yang dilalui harus sentiasa lebih baik dari sebelumnya. Itulah yang dinamakan kehidupan, belajar dari segala sumber. Pelajaran tidak formal seperti ini sangat penting untuk pembentukan peribadi seorang manusia. Namun, jika kita gagal belajar apa-apa, gagal jugalah kita. Gagal menjadi seorang yang prihatin dengan dirinya sendiri, justeru tidak berjaya meningkatkan nilai tambah dalam diri supaya lebih baik dari yang lalu. Terus diam, kekal di takuk lama hingga ke hujung nyawa. Kecewa sepanjang masa dengan diri, akibat tiada perubahan positif.

Hari ke-8 di kampung, aku dikejutkan dengan sebuah panggilan dari Sungai Manik. Rasanya seperti terkena renjatan elektrik. Rasa bersalah terus memukul diri. Tak berhenti-henti mulutku terkumat-kamit melafaz istighfar, memohon aku diampunkan kerana terlalai. Sikap aku yang mementingkan diri selama ini akhirnya berpatah balik seperti sebutir boomerang. Dibaling jauh, tetapi melayang kembali lalu tepat mengena pada batang hidung sendiri. Saat ini, aku rela jika aku yang dipersalahkan atas apa yang terjadi. Aku sanggup jika semua tangan menuding padaku, semua mata memandang jengkel, semua kata maki dilemparkan ke wajahku. Namun ia tidak terjadi. Sebaliknya, aku langsung tidak dianggap pesalah. Ah, mengapa tidak mereka mencampkakkan aku ke kandang penjenayah sahaja? Lebih baik begitu, supaya aku tersedar dan mengaku salah. Menyediakan diri menghadapi hukuman yang setimpal, bukan dimaafkan sebegini! Aku berharap supaya aku mempunyai kekuatan atau kuasa asing untuk menterbalikkan waktu, memutar kembali masa agar tragedi itu tidak berlaku.

Terus aku bergegas mencari ayah, memohon keizinan untuk pulang ke Sungai Manik. Ayah tetap dalam tenangnya, walau sewaktu perkhabaran itu disampaikan berubah juga air mukanya. Dengan restunya, aku bertolak ke Sungai Manik dalam keadaan yang sungguh bergelora. Terus-terusan menyalahkan diri. Mengutuk diri sepanjang laluan, sambil mengutuskan doa semoga semuanya berkeadaan baik sahaja. Tiada perkara kritikal yang berlaku. Jika itu yang terjadi, bagaimana mampu aku untuk menghadapi pandangan sinikalnya lagi? Sungguh aku leka, mengabaikan tanggungjawab yang satu itu. Deringan telefon aku abaikan sahaja. Panggilan Khiriah. Tidak mahu aku menambah kekusutan. Mode senyap segera aku aktifkan, supaya pemanduan tidak terganggu. Cukuplah fikiran aku sahaja yang berkecamuk. Tak perlu lagi elemen tambahan lain untuk menambahkan lagi kesan dramatik dalam kisah ini.


3 comments:

sue said...

apakah yg terjadi kpd tuan kamal ye..?
suspen gak ni rahmah!

khiriah tak habis-habis ganggu hidup nisa..terpengaruh sgt den kata-kata bondanya tu....

tunggu next n3 lak...!

MaY_LiN said...

aaa...
sebab pe tu..
saspen nye...

Anonymous said...

nk lg pleaseee....apa dh jd kt Tuan Kamal ek????