Jul 5, 2009

#38

Tiga hari selepas itu, dia kembali ke Sungai Manik. Alhamdulillah, masalah pembekalan fabrik telah dapat diselesaikan. Terdapat sedikit gangguan perjalanan kapal ke Pelabuhan Klang beberapa hari lalu, menyebabkan stok barangan tidak dapat sampai pada waktunya. Pihak pembekal juga telah memohon maaf di atas kelewatan tersebut. Pelanggan besar KaTeCom juga dapat menerima sebab yang dikemukan dengan baik. Mujurlah tiada gesaan yang memerlukan fabrik dihantar dengan kadar segera. Segalanya dipesan awal supaya tiada masalah timbul di belakang hari apabila keperluan penggunaan tiba. Bijak juga cara yang digunakan, dapat mengurangkan banyak tekanan berbanding penyediaan pada sela masa singkat atau pada saat-saat akhir.

Keadaan di rumah juga sudah semakin sibuk. Banyak persiapan sudah dibuat untuk majlis perkahwinanku. Tugas-tugasku juga kian diringankan atas permintaan Tuan Kamal sendiri. Dalam seminggu, tiga kali Dr. Fahmi akan datang ke rumah bagi memastikan prestasi kesihatan Tuan Kamal berada di tahap yang terbaik. Kesibukan dan debaran menanti ketibaan hari bahagiaku semakin mencucuk dada, kian mengerah tenaga. Usaha adik dan Kak Aina untuk mengkucar-kacirkan aku pandang tidak bermata. Dianggap tak pernah berlaku. Abang Shah juga semakin jarang datang. Sungguh melegakan perasaan. Menurut Abang Akram, dia kini sibuk dengan penghasilan produk fabrik baru untuk syarikat. Banyak tempahan dari syarikat bumiputera baik kelab, persatuan mahupun firma-firma tempatan untuk penghasilan baju korporat diterima.

Majlis aku juga hanya tinggal lima hari. Ayah sudah banyak kali mendesak supaya aku pulang. Katanya Kak Aina sudah tiba di rumah semalam untuk membantu kelancaran majlis nanti. Tersentak aku dengan kenyataan ayah. Perlu apa Kak Aina datang ke rumahku? Pastinya dia punya rancangan lain untukku. Aku mula berasa tidak sedap hati. Dengan rasa yang sebal, aku pulang juga dengan kebenaran bercuti selama seminggu dari Tuan Kamal.

Tiba di rumah ayah, aku berkeputusan berkurung sahaja di dalam bilik. Desakan kemurungan yang baru bersalam segera terbang pergi, bila melihat tujuh dulang barangan hantaran yang tersusun cantik di tepi katil. Gabungan warna biru muda terang dan perak. Cantik. Masih kurang dua. Cik Ina, jiran kami yang rapat memaklumkan keduanya masih belum siap. Sireh junjung dan bakul buah-buahan akan disiapkan pada pagi hari pernikahanku nanti. Bunga telur akan disiapkan menjelang dua hari sebelum majlis. Ruang kecil dalam kamarku juga akan berubah wajah pada pagi ‘hari itu’ nanti. Aku diam dan senyum, sejurus memeluknya erat. Tanda menghargai jasa Cik Ina menyiapkan segala perkara yang sepatutnya aku selesaikan bersama emak dan adik bersama-sama. Seharusnya tika ini suara emak dan tawa adik mengusik sudah berlagu riang memenuhi segenap ruang rumah. Entah di mana silapnya, perkara itu tidak berlaku di sini. Yang ada, hanyalah dengusan marah dan hembusan benci berbaur kesumat yang semakin kelam, gelap menyesakkan dada.

Ayah tampak memahami tingkahku yang semakin menyendiri. Perlahan dia melangkah memasuki kamar, pada malam ketiga sebelum hari penting hidupku itu. Memujuk. Menyatakan segalanya adalah untuk yang terbaik. Redhakanlah diri. Aku tahu. Aku maklum. Kemudian aku teresak kecil di bahu ayah. Lama. Menghamburkan segala rasa kecewa dengan perlakuan emak dan adik yang sungguh tidak difahami. Aku lebih tenang selepas itu. Lebih bersedia untuk menghadapi dugaan lain yang mendatang walau hati berkocak hebat dengan rasa kurang senang.

3 comments:

comei said...

huhuhu
cian die ek
ade mak pun cam xde aje
hohoho

Che Sue said...

apakah tujuan aina datang ke rumah nisa gaknyer yea...!

tak sabar nak tau citer yang selanjutnyer rahmah. dah nak abis ker citer nih?

rahmah said...

belum habis lagi.. masih mengarang.. ada few episodes lagi..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape