Jul 6, 2009

#39

Tinggal dua hari. Bergolak lagi. Aku sudah tidak pasti apa yang harus dibuat kini. Kucar-kacir lagi hidupku yang baru sahaja berombak tenang. Taufan melanda tanpa sebarang amaran. Memusnahkan segala harapan kehidupan yang ada. Aku berharap kehancuran itu akan digantikan dengan kehidupan baru yang lebih baik, tetapi akan adakah sinar itu lagi?

Di sebalik kelalaian aku, Khiriah-Aina mengatur strategi yang lebih kukuh. Saluran apa yang digunakan, aku tidak tahu. Yang pasti, rancangan itu berjaya menterbalikkan hidupku. Menumpulkan rasa yakin dalam diri yang telah disemai dengan susah-payah sekian lama. Kemunculan semua ahli keluarga Tuan Kamal di rumah menimbulkan keraguan dan debaran yang cukup tebal di dalam rasa. Bagai ingin pecah dadaku dek degupan jantung yang terlalu deras. Serasa inilah punca rasa tidak senang yang muncul dalam intuisi hati sejak beberapa hari lalu. Malam itu, segala persoalan tentang asal-usulku dibangkitkan di tengah-tengah umum. Nama baik arwah abah langsung hilang calit jernihnya. Meninggalkan kesan hitam yang cukup legam dalam ingatan.

Akhirnya, sebuah kisah lama yang tersimpan kemas dibongkar jua. Dibacakan untuk hiburan sebelum tidur buat semua yang ada. Tetapi kisah yang diceritakan tidak mampu menyenangkan, sebaliknya menurunkan hujan derita dalam hati. Mengetahui punca kemarahan emak yang menjadi tanda tanya selama ini. Jika aku tahu inilah sebabnya, pasti aku rela memilih tidak pernah bertanyakan tentang ini pada sesiapa pun. Andai benar seperti yang dikata, aku tidak pernah menyalahkan emak kerana membandingkan kami. Jagaannya selama usiaku 26 tahun ini sudah sangat memadai buatku. Itulah manusia. Bila sudah terlanjur bicara, sering berusaha menariknya kembali. Ketahuilah hidup ini bukan sebuah perahu yang boleh dibolak-balikkan sesuka hati. Segala yang telah berlaku, tidak mungkin diulang kembali. Tiadalah kita berkuasa memutar masa yang sungguh berharga. Masa yang tetap berpusing setiap hari, tidak pernah terhenti kerana lelah.

Bukan anak kandung. Telah lama aku maklum aku adalah anak angkat ayah dan emak. Semenjak usiaku di awal remaja. Satu perkara yang tidak pernah aku tahu, aku juga anak saudara ayah. Maksudnya abah adalah wali aku yang sah. Aku anak kandung satu-satunya adik ayah, iaitu arwah abah! Abah yang meninggal ketika aku berusia empat tahun, tetapi tidak pernah aku dimaklumkan sebab kepergiannya yang terlalu awal. Arwah abah merupakan seorang pembantu perubatan di klinik kesihatan di sebuah daerah di Pahang. Sangat disegani semasa hayatnya, kerana sikapnya yang suka membantu sesiapa jua yang dalam keperluan. Semua orang mengenalinya. Begitu juga arwah ibu. Seorang surirumah yang penyayang, pemurah dengan senyuman. Wanita terhormat yang mudah didekati jika kena cara dan tempatnya.

Kelahiran bayi perempuan yang diberi nama Khairunnisa menceriakan lagi kehidupan pasangan penyayang ini. Anak kecil itu dilimpahi kasih sayang yang tidak bertepi. Sehinggakan semua yang melihat turut merasa bahagia. Teman-teman sekeliling turut tersenyum gembira melihatkan tiga beranak ini yang selalu riang, dengan senda-gurau yang tidak pernah kering. Takdir menduga, dugaan menimpa. Terlalu hebat sehingga meleraikan ikatan kasih yang telah dibina. Encik Ahmad bin Mamat kehilangan pegangan hidupnya, lalu mengabaikan isteri dan anak yang selama ini ditatang penuh rasa cinta.

1 comment:

comei said...

oooo
uishk2 cian nisa ye

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape