Jul 6, 2009

#40

Khabar buruk yang baru diterima mencampak jauh Encik Ahmad ke dalam jurang derita yang sungguh dalam. Hati dan akalnya tidak terdaya menerima berita itu yang dianggap sebagai mengundang petaka. Kecuaian seorang warga hospital beberapa tahun lalu menyebabkan arwah abah disahkan menghidap virus pembawa maut yang masih belum ditemui penawarnya yang ketika itu. Segala-galanya bermula apabila dia mengendalikan sebuah kes kecemasan melibatkan seorang wanita muda yang cedera parah akibat kemalangan 22 tahun lalu. Arwah abah menghantarnya ke hospital daerah yang berdekatan. Disebabkan dalam masa yang sama terdapat juga kes lain yang memerlukan perhatian yang tinggi, khidmat arwah abah turut diperlukan. Namun, malang tidak berbau. Jarum yang digunakan untuk mengambil sampel darah wanita berkenaan tercucuk ke tangan abah ketika masing-masing sibuk mengendalikan kes tersebut. Tidak menganggap apa-apa, proses rawatan diteruskan sahaja.

Usai beberapa hari, wanita muda itu dilaporkan telah meninggal dunia. Pihak hospital segera menghubungi abah supaya menjalani ujian darah untuk tujuan kesihatan. Arahan yang sedikit pelik, tetapi dituruti jua. Usai hasil ujian dikeluarkan, abah tersentak apabila dikhabarkan yang wanita muda itu telah meninggalkan kenangan untuknya yakni virus HIV yang secara tidak sengaja menular dan menjadikan badan abah sebagai perumah barunya. Kenyataan yang semestinya mengubah segala-galanya. Berita tentangnya mula tersebar. Cukup luas. Abah mula dianggap sampah oleh masyarakat sekeliling. Pelbagai ragam cerita turut disebarkan dari mulut ke mulut. Sungguh kejam, sehingga abah turut dikatakan meniduri wanita muda itu menyebabkan virus itu menghinggapi tubuhnya. Kebaikan abah selama ini mula dilupakan. Tiada lagi keluarga yang membahagiakan semua. Yang ada hanyalah lanskap hidup tinggalan sejarah yang tidak terbela. Kusam. Kelam. Dibiarkan sahaja tanpa sebarang usaha pembelaan.

Keluarga mula dipulaukan sejak itu. Sakit abah semakin teruk, lantaran desakan motivasi diri yang merudum seiring perjalanan waktu. Abah juga diberhentikan kerja di atas permintaan masyarakat setempat. Kononnya takut abah menularkan pula virus itu kepada orang lain. Abah sangat kecewa. Tergelincir dia dari landasan hidup berpaksikan kebenaran. Iblis dan syaitan yang telah lama mengukir senyum, mula melonjak keriangan. Abah mula mendekati arak. Setiap hari, dia mabuk. Alasannya, ingin melupakan tekanan hidup. Ibu yang menegur, dihadiahkan dengan sepak terajang. Penangan tangan abah sering hinggap di tubuh ibu. Dia seperti melepaskan segala rasa tidak puas hati dan kemarahannya kepada masyarakat ke atas batang tubuh ibu yang lemah. Sudahnya, ibu menyerahkan aku yang baru berusia tiga tahun secara senyap-senyap kepada ayah kerana dirasakan sudah tidak mampu untuk melindungi. Arwah abah kemudiannya ditahan polis atas aduan tetangga yang masih ada perasaan. Kasihan melihat ibu diperlakukan sebegitu teruk.

Saat aku berusia empat tahun, abah pergi meninggalkan aku. Kali ini, untuk selama-lamanya. Dia meninggal di dalam penjara. Tidak lama, ibu turut mengikut jejaknya. Dia menghembuskan nafas terakhir di hospital daerah setelah mengalami kecederaan dalaman yang serius akibat terlalu sering dipukul abah. Atas segala kejadian dan tragedi yang menimpa, emak tidak mampu menerima kehadiranku dalam hidupnya. Ketika itu juga, Khiriah baru dilahirkan ke dunia. Menjadi permata kesayangan emak. Sekaligus membenamkan pucuk kasih yang mungkin berputik, bertunas cantik jika emak hanya mempunyai aku dalam hidupnya.

1 comment:

comei said...

oooo
sgt sedih huhuhu

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape