Jul 6, 2009

#41

Aku menangis bila mengetahui cerita sebenar. Hampir sahaja aku terjelepuk di lantai dan meraung. Mengapa adik tahu sedangkan aku tidak? Fahamlah mengapa emak begitu membenci. Sejarah hitam yang sangat pahit disimpan kemas dalam lipatan ingatannya. Ah, tega mereka merahsiakan segalanya dari pengetahuanku. Mengapa aku harus tahu dari orang lain dan bukan dari mulut kedua orang tuaku? Lelah rasanya menerima tamparan sebegini hebat dalam hidupku. Berita yang sungguh sekelip mata. Hampir merobohkan titian iman yang sememangnya nipis selama ini.

Sebak. Melihat wajah ayah yang serba-salah kerana tiada upaya melarang segalanya dari berlaku. Memerhatikan ayah yang kelihatan begitu sukar membuang sedihnya melihatkan aku diperlakukan sebegitu di hadapan keluarga Tuan Kamal, dan dia tiada daya untuk mempertahankan. Aku akui. Itu bukan salahnya. Dia tidak pernah salah. Ayah telah sedaya-upaya melindungi aku selama ini. Cuma kali ini benteng pertahanan yang dibina sekian lama berjaya diruntuhkan oleh mereka yang sememangnya telah lama menyimpan kesumat. Dendam yang tidak berkesudahan. Satu rasa yang mampu memusnahkan segala bentuk ukhuwah dalam tempoh yang cukup singkat. Walaupun berita yang dihamparkan adalah kebenaran, aku sukar untuk menerimanya.

Kulil haq walau kana murran. Ya! Berkata benarlah walaupun pahit! Aku tahu itu, tetapi wajarkah disampaikan seperti ini? Aku tak mampu menyerap hakikat ini! Disebabkan pembongkaran itu bertujuan menghina! Satu matlamat yang sungguh cela! Mengaibkan sesama manusia, apatah lagi saudara sendiri. Apakah salahku ya Allah? Mengapa perlu dibuka kisah yang telah lama berlalu? Tenangkah arwah abah ketika ini? Ringankanlah seksaan buatnya di lahad. Biarlah kisah di atas muka dunia ini aku yang tanggung. Usahlah ditambah penderitaan arwah lagi. Kirimkanlah doa untuk meringankan seksaannya, dan bukan hinaan seperti ini! Sudahnya aku terkulai. Melepas tangis lesu di bahu ayah. Ayah memujukku tanpa jemu. Memahami keperitan yang aku rasai.

Ah! Masih relakah Tuan Kamal bermenantukan aku? Masih sanggupkah dia bersaudara dengan ayah? Masih adakah nilai insan dalam dirinya yang akan menerima diri ini? Bagaimana dengan yang lain? Abang Akram? Abang Adrian? Abang Shah? Sependapatkah mereka dengan Khiriah dan Aina sekarang setelah tahu kenyataan kejam ini? Khiriah dan Aina yang melempar pandangan sinis serta senyuman kejayaan. Semua mata yang lain memerhatikan aku dari sudut berbeza. Simpati. Kasihan. Tetapi, tiada yang tampil untuk mempertahan. Mereka sekadar memandang, tapi masing-masing tetap tegak tanpa tindakan. Aku mengerti. Mereka juga tidak menyangka kisahku yang begitu. Seperti aku, mereka juga mengalami kejutan. Sehingga tubuh terkaku. Beku. Koordinasi minda dan badan tidak tersambung. Mengakibatkan kata dan tindakan tidak seiring, bagai dari dua alam berbeza walau berasal dari tubuh yang sama. Relevankah andai aku meminta agar semua melupakan sahaja segalanya? Anggap sahaja semuanya rekaan Khiriah dan Aina, supaya tiada tali silaturrahim yang akan terlerai. Agar aku terus berupaya berdiri sendiri, gagah mencari kekuatan diri yang mula berarak pergi. Mengharapkan tiada yang percaya kisah dongeng ini, dan aku tidak perlu menerima pengalaman yang membejatkan ini. Inikah apa yang abah rasa? Adakah ini yang menimpa ibu?

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape