Jul 6, 2009

#42

Kesunyian terus menghuni. Hanya tangisan aku yang kedengaran memecah sunyi. Setelah beberapa ketika, Tuan Kamal berdehem. Cuba mewujudkan perbualan. Adakah dia akan menghentikan semuanya? Adakah tali persaudaraan yang bakal terjalin akan terputus sebelum waktunya? Aku segera mengangkat wajah, memerhatikannya dengan rasa yang berbaur. Dia tampak terkejut. Perlahan, dia mengalih pandangan. Memandang dari wajah ke wajah. Tanpa sedar, aku turut menghalakan anak mata ke arah sama, mengikut geraknya. Bermula dari Pak Sharif hinggalah ke Kak Ana. Aku terperasan, Abang Akram tiada di situ! Ke manakah dia menghilang? Atau dia memang tiada sejak mula?

Tika mata memandang Abang Shah, dia kulihat mengisyaratkan sesuatu kepada Tuan Kamal. Mengangguk penuh yakin persis menyatakan sesuatu. Tidak menunggu lama, Tuan Kamal terus menyatakan keputusan untuk meneruskan majlis perkahwinan yang dijadualkan berlangsung dua hari lagi tanpa perlu sebarang penangguhan. Mengapa perlu pada persetujuan Abang Shah? Mengapa tiada siapa yang memanggil Abang Akram dan bertanyakan perasaannya tentang hal itu sebelum keputusan dilafazkan? Apakah peranan Abang Shah dalam hal ini? Adakah dia terlebih dahulu maklum akan rahsia besar ini, seterusnya memberitahu semuanya kepada Abang Akram sebelum mereka semua mampir ke rumah kami dan kata putus dibuat tanpa perlu penyaksian kepada kekecohan yang berlaku?

Banyak sungguh persoalan yang berlegar-legar dalam kepala, tetapi tiada pula suara yang menyahut memberi jawapan. Sekali lagi, aku terkapai-kapai kelemasan. Mengharap ada tangan yang menyambut. Memberi ruang untuk berlabuh. Aku rimas. Lemas dengan semua perkara yang menghimpit, begitu menyesakkan dada. Entah kenapa, pertanyaan terakhir dirasakan begitu mendera. Tiba-tiba aku merasakan selama ini aku yang buta, meneka dan sesat di dalam gelap, sedang pintu cahaya terbuka luas di hujung lorong. Adakah sebenarnya bukan Abang Akram yang dijodohkan denganku? Buntu, pandangan kuhalakan kepada ayah. Air mukanya tidak tenang seperti selalu. Aku tahu, aku telah menjadi punca yang mengocak kedamaian jiwanya. Entah untuk ke berapa kali. Kepala mula terasa berpinar. Dunia kurasakan berpusing. Telingaku sempat menangkap jeritan ayah memanggil namaku sebelum aku rebah ke lantai.

Sepanjang malam aku berada di alam khayal. Rohku terbang meninggalkan tubuh. Lama aku mencari kekuatan untuk kembali bersatu dengan tubuh. Aku tersedar bila mentari pagi mula menerangi. Perlahan pelupuk mata ku buka. Melawan cahaya yang menerobos ke ruang kamar. Satu susuk tubuh kelihatan di hujung kerusi berdekatan meja solek. Puas juga aku menelek. Merakamkan aksi pengecaman, bagai dalam rancangan padankan dan menang. Akhirnya dia berkalih dan wajahnya kelihatan. Abang Shah! Apakah yang sedang berlaku? Mengapa dia yang hadir di sini dan bukan Abang Akram? Dia menunggu aku? Sepanjang malamkah? Setianya dia. Dalam kekeliruan yang menekan, tersentuh juga hatiku dengan sikap yang ditunjukkan. Tindakannya mengesankan, menghadirkan satu rasa asing dalam diri yang tercari-cari arah tujuan. Seperti ada insan yang cuba menarik aku yang sedang terkapar-kapar di hujung nyawa di persimpangan realiti dan fantasi.

2 comments:

sue said...

sper gaknye yer yang nak dijodohkan ngan nisa tu yea...!

semakin suspen nie...!

MaY_LiN said...

ala.......
abg shah ke..
nak abg akram..
hihihi..
demand nye kamu ni..
hikhikhik