Jul 7, 2009

#43

Sedang aku asyik memerhati, ayah masuk ke dalam bilik. Menjenguk. Memastikan segalanya berkeadaan baik. Melihat aku telah sedarkan diri, segera dia mengejutkan Abang Shah dari lenanya. Abang Shah bangun, tersenyum dia ketika melihat keadaanku yang lebih baik setelah mengalami kekejangan fikiran semalam. Selepas itu, dia meminta diri untuk ke bilik air bagi menyegarkan diri sebelum bertolak pulang ke Perak. Setelah dia beredar aku terus bertanyakan ayah perkembangan yang berlaku sejurus selepas aku pengsan semalam. Ayah memaklumkan yang segalanya baik, tiada perkara buruk lain yang berlaku kemudiannya. Aku tergerak ingin mengetahui siapakah bakal suamiku. Langsung bertanya pada ayah.

Ayah tersenyum. Senang. Aku sudah mula berbicara.

Ayah: Heh, baru ingat nak tanya? Ayah ingat kamu dah tau.

Aku hanya menggeleng. Sesal. Malu. Segan. Bercampur-campur.

Ayah: Nama tunang kamu Shahizul Anuar bin Abdullah. Anak angkat Tuan Kamal.

Siapakah? Shahizul Anuar? Tak pernah rasanya nama itu bergetar di cuping telingaku selama ini. Tak mungkinlah Abang Shah? Mungkinkah? Senyuman dan lirikan ayah pada kerusi yang diduduki oleh Abang Shah tadi mematikan segala was-was yang ditiupkan syaitan ke dalam diri. Menjalarkan keyakinan untuk aku meneruskan langkah, dan memulakan perjalanan hidup yang baru bernakhodakan seorang lelaki bernama Shahizul Anuar bin Abdullah. Terbit juga rasa malu bila terkenangkan tekaan aku bahawa Tuan Kamal meminang aku untuk Abang Akram itu salah. Kenapalah aku tak pernah bertanya dari awal? Itulah, suka sangat membuat andaian sendiri. Pelajaran baru lagi untukku. Bertanyalah, jika tidak sesat jalan. Apakah yang berlaku andai aku langsung tidak membuka mulut untuk bertanya? Pastilah aku akan mengalami kejutan pada hari pernikahan nanti, terutamanya di saat-saat upacara pembatalan air sembahyang! Tidak! Takut aku untuk membayangkan.

Hari bahagiaku tiba jua. Sah. Memang Abang Shah yang sedang melafazkan akad untuk memiliku secara sah. Aku yang berwalikan ayah. Aku senyum. Gembira dengan kenyataan ayah yang mewalikan aku dan bukan orang lain. Bahagia menyaksikan kesungguhan seorang jejaka bernama Shahizul Anuar untuk memiliki diri ini menggunakan cara yang betul, walau dia diduga dengan cabaran yang bukan sedikit. Sungguh banyak kali aku menduga kesetiaan cintanya, tetapi hatinya tetap teguh memilih aku. Kagum. Tak pernah menyangka akan ada seseorang yang sepertinya hadir dalam hidupku. Memilih aku di kalangan jutaan wanita, untuk menjadi suri hidupnya. Jejaka bertubuh kecil tetapi mempunyai jiwa yang besar. Buktinya, dia tidak pernah merasa tewas dengan segala penolakan yang aku berikan. Dia tak pernah mengalah dengan semua layanan buruk aku padanya, walau dia tahu hatiku tak pernah terbuka menerimanya sebelum ini. Jika orang lain, sudah lama ucapan selamat tinggal diungkapkan. Atau terus berpergian tanpa sebarang pamitan. Iyalah. Untuk apa lagi kata-kata jika diri sudah awal-awal ditolak? Tetapi tidak baginya. Jiwanya yang besar menegah dia untuk melangkah jauh, sebaliknya menjadi asas untuknya meneruskan kayuhan dengan penuh yakin. Maka, langsung dia membuka jalan melalui sebuah peminangan setelah berkali-kali melihat aku dilanda badai kekecewaan yang tak sudah. Atas keyakinan dia akan berusaha sebaik mungkin untuk membahagiakan jugalah, dia membuat keputusan sebesar itu buat kami berdua.

Kenangan lama mula mendatang. Aku mula memahami. Patutlah dia tenang sewaktu datang mengucapkan tahniah. Juga menemani ketika membeli barang hantaran. Rupanya kami membeli untuk dirinya! Ah, aku bersama tunanganku selama ini rupanya! Aku terusik lagi. Melihatkan kasut dan beg idaman kelmarin tersusun dalam dulang hantaran. Prihatinnya dia pada kehendakku. Rasa bahagia mula merangkak masuk ke dalam hidupku. Aku senyum lagi. Hingga ke pipi! Selesai segala acara akad – yang mengikut syarak dan adat, dia menghampiriku. Melangkah perlahan.

Abang Shah: Nisa, terima kasih sebab Nisa sudi terima abang dalam hidup Nisa.

Nisa: Eh? Sepatutnya tu dialog Nisa. Sebab Nisa banyak kali sangat tolak kehadiran abang. Entah dah berapa kali taknak pun Nisa taktau. Tapi, abang jugak yang sudi terima Nisa akhirnya.

Abang Shah: Shh... Jangan menangis. Cukuplah abang tengok tangisan Nisa selama ni. Sakit hati abang tengok Nisa asyik kena buli dengan semua orang. Sekarang ni, Nisa tak payah takut-takut lagi. Abang ada. Insya Allah, abang akan melindungi Nisa sedaya abang.

Nisa: Nisa bukan sedih bang, Nisa gembira. Sangat. Terharu. Terima kasih. Untuk semuanya.

Dia memelukku. Erat. Kami sama-sama melafazkan hamdalah, tanda syukur atas nikmat perkahwinan ini. Semoga pintu rahmat akan selalu terbuka. Semoga malaikat rahmat akan sentiasa berada di sisi kami hingga akhir hayat.

Ayah: Ehem. Ehem. Taula dah sah. Tapi tunggu-tunggu lah dulu. Majlis kat luar tu belum selesai pun lagi. Kamu dah memerap dalam bilik pulak.

Abang Shah: Heheh. Ye, ayah. Kami keluar sekarang.

Ayah: Yelah. Tak baik biar tetamu menunggu. Semua dok sibuk nak tengok pengantin tu.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape