Sep 1, 2009

KISAH 23


Hari ini Shah datang dengan adiknya. Adik kembar yang baru ditemui setelah sekian lama. Shahrul Azhar bin Abdullah. Terkejut juga aku sewaktu dia memaklumkan tentang hal itu. Tiba-tiba sahaja mengetahui tentang kewujudan seorang saudara sebegitu dekat. Entah salah siapa menyebabkan mereka terpisah jauh sebegitu. Walaubagaimana pun, setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Tentu ada hikmah lain yang tersembunyi di belakang, menanti kita menyelidik dan mencari dengan sabar. Sebab yang hanya dapat diketahui jika kita boleh bertahan dan bersikap rasional selalu. Andai kurang sabar, pasti telah ada tindakan kurang pintar yang telah dilakukan seterusnya membenamkan terus nilai pengajaran yang patut dipelajari. Kerugian yang sangat besar untuk sesiapa pun, kerana kita pasti akan mengulangi kesilapan yang sama kemudiannya dek sikap tidak mengambil iktibar dari kesalahan lalu.

Ayah begitu gembira mendengarnya, mengetahui dia akan mempunyai seorang lagi anak lelaki. Dia sangat suka apabila terdapat apa-apa kemungkinan yang membolehkan ahli keluarganya bertambah. Anak kandungnya hanya aku dan Adrian. Tidak cukup untuk memeriahkan rumah besar ini. Atas alasan itu, dia mengambil seorang budak lelaki untuk dijadikan anak angkat lebih kurang 30 tahun lalu. Menurut Mak Limah, aku baru berusia setahun setengah pada masa itu. Dialah kawan aku bermain, menangis, dan ketawa sejak kecil. Setahun kemudian, emak melahirkan Adrian. Kami sama-sama menjaga Adrian, sambil berebut-rebut untuk bermanja dengan arwah Mak. Sering aku tersenyum bila sahaja membayangkan kenangan manis itu. Emak sering tertawa melihat aksi kami bertiga. Kadang-kadang aku rindu untuk melihat senyuman dan tawa Mak. Mak yang lembut. Mak yang manis. Mak yang penyayang.

Masih jelas lagi dalam ingatanku, betapa Mak seorang ibu yang sangat penyabar. Suatu hari, aku terjatuh dari basikal ketika bermain bersama Shah dan Adrian. Agak jauh dari rumah. Berguling juga aku di jalan berbukit yang tidak rata itu. Habis bercalar seluruh badan. Juga mendapat luka yang agak teruk di lutut dan siku, sewaktu cuba menahan basikal dari jatuh bersamaku. Salah aku sebenarnya. Aku degil tidak mahu memakai peralatan pelindung diri walhal sudah berkali-kali Mak berpesan demikian. Tidak mahu mendengar kata, itulah akibatnya. Aku gagal mengawal basikalku lalu terjatuh. Nasib juga Shah pantas bertindak untuk membantu. Dialah yang memapah aku keluar dari kawasan itu. Selepas menemui pondok telefon, cepat-cepat dia menghubungi Mak. Kalut Mak saat mengetahui aku kemalangan. Terus sahaja dia datang bersama Pak Sharif, membawa sekotak ubat-ubatan untuk kecemasan. Mak memeluk aku sepanjang perjalanan. Cuba meredakan sakitku dengan kasih sayangnya. Aku senang dalam pelukan Mak.

Menitis airmataku menahan sakit ketika Mak mencuci lukaku. Mak seboleh mungkin merawatku dengan lembut, dalam diam dan tenang. Tidak langsung memarahi aku walau terang-terang itu salahku sendiri. Berhemahnya Mak mendidik aku. Aku sedar sendiri akan kesilapanku, tanpa perlu mulutnya bising memberitahu. Itulah Mak, satu dalam sejuta. Kelembutannya banyak mengajar kami. Keistimewaan Mak yang sangat sukar ditandingi. Ayah turut kalah dengan sikapnya yang satu itu. Agaknya kerana sifat itulah ayah tertawan dengan Mak, tidak berenggang sehinggalah Mak pergi meninggalkan kami.

Apa-apa pun, aku gembira untuk ayah. Sekurang-kurangnya kehadiran Azhar dapat mengalih tumpuannya dari terus mengingati arwah Mak. Jika aku pun boleh rindukan Mak, inikan pula ayah yang sudah lebih 30 tahun berkongsi hidup dengannya. Risau juga kadang-kadang melihat dia yang semakin kerap termenung akhir-akhir ini. Perkara apakah yang merunsingkan dia? Dia nampak sedikit runsing dan pendiam. Rindukan Nisakah? Sebut tentangnya, aku pelik juga kerana Shah hanya datang membawa adiknya, tanpa Nisa. Ada masalahkah? Nisa. Aku juga rindu padanya. Rindu melihat telatahnya yang cemerkap. Rindu segala-galanya tentang dia. Ah, sekali lagi aku begini. Cukuplah Akram, cukup!

3 comments:

Anonymous said...

akram pun ada hati dgn nisa ...?? ... nape tak rebut dia dari dulu lagi ...

MaY_LiN said...

ayok..
pe da jadi..
luv 3 segi..
akram-shah-azhar..

comei said...

oh no!makin bersegi2 pulak dah cinta mereka ni...

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape